PEMBUKAAN pusat penghutanan semula tanah lombong pada 1997.
DR Ang (kanan) memberi penerangan kepada peserta.
PESERTA membuat lawatan ke Stesen FRIM Bidor.
TASIK di Stesen FRIM Bidor.
Mohamad Hussin dan Muhammad Apendy Issahak
rencana@hmetro.com.my


Siapa sangka tanah yang dahulunya bekas lombong bijih timah yang berpasir dan berselut dan dianggap tidak sesuai untuk sebarang tanaman kini mampu menjadi hutan buatan manusia terbesar dengan pelbagai spesies pokok termasuk balak bernilai komersial.

Hutan dikenali sebagai Rimba Bidor yang berusia 20 tahun itu terletak di Pusat Penghutanan Semula Tanah Lombong (TTAC), di Stesen Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) di Bidor, Perak.

Pada Julai 1996, kerajaan negeri Perak meluluskan permohonan FRIM untuk penubuhan sebuah stesen penyelidikan di kawasan bekas lombong bijih timah seluas 121.4 hektar di Bidor bertujuan memastikan institut berkenaan mampu memenuhi aspirasi dan misi membangunkan sistem perhutanan yang sesuai untuk pemulihan tanah terosot.

Pembangunan kawasan terbabit mula dilaksanakan mengikut Pelan Strategik Stesen Penyelidikan Bidor 1997-2002 dengan cadangan peruntukan sebanyak RM1.82 juta.

Ia membabitkan penyelidikan dalam membangunkan teknik tanaman pokok secara kos efektif di lombong bijih timah, meningkatkan kualiti lombong bijih timah, mewujudkan plot demonstrasi spesies perladangan dan menjana keuntungan kewangan daripada penggunaan kawasan lombong.

Melalui penanaman pokok spesies hutan menggunakan teknologi saintifik dengan pembiayaan dan sokongan agensi penyelidikan kebangsaan serta antarabangsa sebuah hutan berjaya dibangunkan.

Diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai hutan buatan manusia terbesar di atas bekas lombong bijih timah pada 8 Oktober 2016, Rimba Bidor mempunyai kira-kira 10 spesies pokok balak selain lebih 70 fauna liar termasuk burung penghijrah, enggang, tupai, babi hutan, ayam hutan, musang, monyet, ular dan pelbagai spesies serangga.

Antara spesies pokok bernilai komersial adalah akasia, merbau, merawan siput jantan, meranti temak nipis, malabera, nyatoh, jelutong dan spesies bernilai tinggi seperti tongkat ali, cengal dan rosewood merah.

Hutan buatan manusia di kawasan lombong bijih timah yang pertama dan terluas itu berjaya dimajukan secara sistematik dan kini menjadi model hutan diiktiraf sebagai tapak penyelidikan antarabangsa bagi kajian berkaitan penanaman semula hutan, biodiversiti, pengaruh hutan, fitoremediasi dan eko-toksisiti.

Penyelaras Stesen FRIM Bidor yang juga Pegawai Penyelidik Kanan FRIM, Dr Ang Lai Hoe berkata, penubuhan Bidor Rimba turut memberi faedah dalam aspek persekitaran, sosial dan ekonomi yang dikenal pasti untuk pembangunan taman rekreasi, tarikan eco-pelancongan serta depositori kepelbagaian biologi.

Katanya, sebagai bekas lombong, tanah di kawasan berkenaan pada awalnya berdepan masalah kehadiran logam berat seperti kadmium, plumbum, arsenik dan raksa, selain kawasan yang banyak ambang akan menghasilkan radiasi tinggi.

“Bagi melakukan kerja penambahbaikan tanah, tanah perlu disuburkan dengan bahan organik dan arang untuk menarik logam berat serta mudah menyerap air di kawasan berpasir.

“Pengairan atau melakukan sistem siraman tiruan untuk membolehkan tumbuhan yang ditanam terus hidup di TTAC juga perlu dilakukan.

“Dengan dana terhad, kami menggunakan bahan terbuang seperti pelepah kelapa sawit dan najis haiwan untuk melakukan kerja penambahbaikan sifat tanah selain menanam pokok eksotik seperti akasia yang mampu menghasilkan bahan organik bagi melakukan perubahan iklim mikro di tanah lombong itu,” katanya.

Dr Ang ditemui ketika lawatan peserta seminar Penebusgunaan Tanah, Rehabilitasi dan Pemulihan Kawasan Terosot Kuala Lumpur 2017 membabitkan 40 peserta terdiri daripada pakar, penyelidik, ahli akademik dan pihak pengurusan hutan dari sembilan negara ASEAN antaranya Indonesia, Filipina, Kemboja, Vietnam, Singapura dan Thailand.

Beliau berkata, apabila tanah yang sudah dipulih­kan itu ditumbuhi pokok akasia dan mempunyai 50 peratus silara, ia sudah bersedia dan boleh ditanam dengan pokok spesies hutan hujan tropika, malah kini boleh dikatakan ditanam dengan apa saja jenis tumbuhan.

“Kewujudan hutan ini memerlukan aktiviti penyelidikan dan pembangunan bagi menyokong pertumbuhan pokok spesies hutan di kawasan bekas lombong yang panas serta ketandusan nutrien.

“Rimba Bidor antara contoh yang berjaya dimajukan dan menjadi pusat penyelidikan serta rujukan terbaik dan pilihan lawatan lapangan penganjur persidangan, universiti dan pencinta alam,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah FRIM Datuk Dr Abdul Latif Mohmod ketika merasmikan seminar berkenaan di Kuala Lumpur berkata, FRIM terbabit dalam penebusgunaan tanah dan pemulihan tapak yang terganggu dan bermasalah termasuk hutan telah ditebang, bakau, tapak bekas perlombongan dan tapak pelupusan.

“Malah, kampus utama FRIM antara contoh bagi usaha penghijauan semula dan pemulihan hutan yang dimulakan pada tahun 1920-an.

“Hari ini, FRIM antara hutan hujan tropika buatan manusia yang tertua dan terbesar di dunia dan ia menjadi model bagi penghijauan semula kawasan terosot.

“FRIM telah diwartakan sebagai Tapak Warisan Semulajadi pada tahun 2009 dan Warisan Kebangsaan pada 2012. Kami juga berusaha ke arah mencapai status Tapak Warisan Dunia UNESCO menjelang 2020,” katanya.

Dr Abd Latif berkata, dengan perkembangan ekonomi yang rancak, penebangan hutan tidak mungkin dapat dielakkan. Pengurangan hutan dan penggunaan spesies tumbuhan untuk kayu dan resin boleh menyebabkan kepupusan spesies tertentu.

“Seminar serantau ini bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan peserta mengenai amalan penambakan, rehabilitasi dan pemulihan kawasan yang terosot.

“Berkongsi pengetahuan dan pengalaman dalam bidang yang berkaitan dari seluruh rantau Asia serta menggalakkan kolaborasi dan penubuhan rangkaian kerjasama yang lebih baik di seluruh Asia Tenggara dalam penjagaan dan pemuliharaan hutan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 September 2017 @ 2:01 PM