PELANGGAN mengambil peluang menikmati durian CW.
ISMAIL (kanan) menerangkan kepada pelanggan mengenai anak benih pelbagai gred.
HM Digital

Sebanyak 100 hingga 200 pokok durian pelbagai gred yang terjual dalam tempoh sebulan membuktikan anak durian disemai dan dihasilkan pesara guru, Ismail Tawang, 70, dari Kampung Kuala Ibai berkualiti tinggi dan mendapat kepercayaan pengusaha kebun buah-buahan di negara ini.

Permintaan anak benih durian termasuk musang king, udang merah, D101, monthong, cheni selain durian yang dihasilkan sendiri melalui teknik tertentu dipanggil durian Cikgu Wei (CW) meningkat apabila sebanyak 50 pokok durian pelbagai gred yang ditanam di kebunnya di Kampung Lingai, Tepoh, Terengganu, mengeluarkan hasil memuaskan.

Ismail berkata, pelanggan yang datang membeli anak benih berpeluang merasa sendiri durian yang ditanam di kebun justeru mereka tidak dapat mempertikaikan dan memberi kepercayaan seratus peratus terhadap anak pokok durian yang dihasilkan itu.

“Sebut saja anak jenis pokok durian yang mereka perlukan, saya sedia memenuhi permintaan mereka. Mendapatkan benih durian yang bergred bukan mudah kerana ramai peniaga anak pokok yang menjual anak pokok durian yang bukan daripada gred yang diminta.

“Antara sebab saya terdorong menghasilkan anak benih durian bergred itu ialah kerana mengenangkan nasib rakan yang baru berjinak-jinak mengusahakan kebun durian tertipu apabila membeli anak pokok durian kampung yang didakwa Musang King.

“Rata-rata pelanggan yang membeli anak pokok durian saya tidak mempertikaikan anak pokok durian yang dijual itu kerana mereka boleh melihat induk pokok durian asal seperti musang king, udang merah, D101, monthong, dan cheni yang ditanam di kebun,” katanya.

Tambahnya, dia menjual semua jenis anak pokok durian itu termasuk CW dengan harga RM80 sepokok yang berusia sembilan bulan dan dalam tempoh lima hingga enam tahun pokok itu akan mula mengeluarkan hasil.

“Proses menyemai anak benih dibuat menggunakan kaedah dan proses tertentu bagi memastikan kualitinya terjamin selain mengelak daripada diserang serangga perosak seperti belalang, ulat dan siput babi.

“Selain menjual anak pokok, saya juga memberi penerangan mengenai penjagaan anak pokok selepas ditanam kerana penjagaan anak pokok ketika ia dalam proses membesar sangat penting bagi menjamin pokok berkenaan mengeluarkan hasil yang memuaskan,” katanya.

Menurutnya, selain Musang King, anak pokok Udang Merah antara yang paling mendapat sambutan kerana ia mampu berbuah dengan banyak berbanding durian jenis lain.

“CW juga mendapat sambutan kerana ia durian yang dihasilkan sendiri melalui teknik baji dan boleh diketegorikan benih terbaru yang mempunyai rasa yang didakwa pelanggan lebih enak daripada Musang King,” katanya yang menyemai sebanyak 300 biji durian pada satu-satu masa.

Isterinya, Zalina Abas, 45, berkata, selain menjual durian, dia dan suaminya juga secara tidak langsung memperolehi hasil melalui penjualan anak pokok durian itu.

“Biasanya pelanggan yang membeli durian dan merasa durian yang dihasilkan pokok durian di kebun kami akan bertanya berkenaan anak benih pokok durian. Kami perlu menyediakan anak benih itu supaya tidak menghampakan permintaan pelanggan yang biasanya datang dari jauh.

“Pada musim durian sekarang ramai pelanggan yang datang terus ke kebun untuk membeli durian justeru mereka akan membeli juga anak pokok untuk ditanam di tanah atau kebun buah-buahan milik mereka,” katanya.

Menurutnya, ramai orang boleh menyemai anak benih dan mendakwa ia anak durian Musang King atau sebagainya namun proses menghasilkan anak benih durian bermutu tinggi tidak semudah itu dan mempunyai sekurang-kurangnya enam kaedah tertentu yang perlu dijalankan. - Ahmad Rabiul Zulkifli

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 September 2017 @ 2:08 PM