MOHD Ashraf bersama pemilik kebun cili, Ikmal semasa pengujian robot di Kebun Pewaris Bumi Hijau, Kuala Langat.
HM Digital

Pemegang Ijazah Sarjana Muda, Sains (Pembangunan Manusia), Universiti Putra Malaysia (UPM) menghasilkan inovasi robot penyembur racun yang diberi nama FARMO (Farm Assist Robot for Multi Operation).

Mohd Ashraf Shuib, 36, bersama pasukannya iaitu Ahmad Aizhad Abd Razak, 29 dan Mohd Firdaus Ibrahim, 27, mencipta sebuah robot penyembur racun untuk membantu petani melakukan semburan racun di ladang.

“Robot ini direka sendiri pasukan saya daripada melakar reka bentuk robot sehingga pembinaan robot ini sendiri. Tugas utama robot ini adalah melakukan semburan racun kimia atau organik di ladang.

“FARMO ini dikawal dengan menggunakan alat kawalan jauh membabitkan jarak sejauh 100 meter. Kerja-kerja semburan racun boleh dilakukan dengan mudah kerana robot berkenaan membawa tangki semasa semburan dilakukan.

“Semburan dilakukan pada dua barisan tanaman secara serentak. Ia menjimatkan masa apabila melakukan semburan lebih cepat berbanding kaedah manual yang perlu menyembur sebaris demi sebaris,” katanya ketika ditemui di Kangar, Perlis, baru-baru ini.

Beliau yang juga Pengasas Abi Agro berkata, pengendali FARMO tidak terdedah dengan racun yang berbahaya semasa melakukan semburan kerana ia tidak berada berdekatan robot.

“FARMO dapat dinaik taraf dengan menambah aksesori dan boleh melakukan beberapa tugasan lain.

“Selain berfungsi sebagai robot penyembur racun, FARMO dapat ditambah aksesori seperti pemotong rumput, bakul, kamera, kepala penyembur tambahan, pam dan tangki penyembur racun tambahan serta sensor untuk membolehkan robot ini bergerak secara automatik.

“Pemilik hanya perlu dapatkan aksesori bagi tugasan yang diingini saja. Tambahan aksesori ini tidak memerlukan pengubahsuaian pada robot. Pemilik perlu letakkan aksesori pada tempat yang telah disediakan,” katanya.

Menurutnya, robot FARMO mempunyai tiga jenis iaitu versi pertama dibina dengan saiz kompak dan menggunakan sistem yang dibina sendiri pasukan iaitu ‘FARMO Robot Controller’.

“Versi ini menggunakan sensor untuk kawalan secara automatik dan bergerak dengan menggunakan ‘wheel track’. Tangki semburan adalah sebanyak 15 liter.

“Versi kedua pula dibina dengan menggunakan sistem ‘Smart Drive’. FARMO versi ini dikawal menggunakan alat kawalan jauh. Tangki semburan pula lebih besar iaitu 30 liter dan bergerak menggunakan roda getah.

“Manakala versi ketiga pula bergerak dengan menggunakan ‘wheel track’. Sistem yang digunakan adalah ‘FARMO Robot Controller’ seperti versi pertama tetapi dikawal menggunakan alat kawalan jauh,” katanya.

Mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai FARMO boleh melayari laman web farmo-robot.com. - Mohamad Hussin

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 November 2017 @ 1:24 PM