AHMAD Shabery menyiram pokok durian Musang King di Kluster Durian Raub, di Kampung Pamah Rawas sebagai gimik ketika Majlis Penanaman Musang King ke 500,000.
AHMAD Shabery menerima anak pokok Musang King daripada pengusaha nurseri Musang King, Zamri Othman.
RASA isi yang pahit, lemak, manis, ulas yang tebal serta kekuningan selain tidak melekit di tangan pakej lengkap terdapat dalam durian Musang King serba lengkap sebagai buahan Raja Buah.
PERMINTAAN meningkat untuk pasaran eksport menunjukkan potensi penyumbang ekonomi negara.
Mohamad Hussin
mohamad_hussin@hmetro.com.my


Projek Kluster Tanaman dan Projek Bantuan Tanam Semula Pokok Buah-Buahan Terpilih dimulakan dalam usaha meningkatkan pengeluaran dengan cara peningkatan produktiviti memandangkan kawasan baru untuk penanaman adalah terhad.

Ia bagi memenuhi permintaan pasaran tempatan dan eksport sekali gus dapat meningkatkan pendapatan petani dan usahawan selain menggalakkan penyertaan agropreneur muda dalam bidang pertanian.

Sehubungan itu, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) melalui Jabatan Pertanian (DOA) mengambil inisiatif memperkenalkan program Pembangunan Kluster Tanaman Durian Daerah Raub, Pahang.

Permintaan terhadap buah durian terutama Musang King atau Durian Raja Kunyit (D197) meningkat kerana Malaysia mendapat laluan pasaran untuk mengeksport durian ke beberapa negara terutama China, Singapura, Hong Kong, Australia dan Indonesia.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, bagi menampakkan potensi tanaman durian sebagai penyumbang kepada ekonomi negara, MOA mengambil inisiatif untuk mempromosikan tanaman durian sebagai sumber kekayaan baru bagi sektor agromakanan negara.

“Sehingga tahun lalu, keluasan penanaman durian di Malaysia membabitkan 66,000 hektar dengan pengeluaran sebanyak 302,000 metrik tan.

“Sehingga kini, sebanyak 204 varieti durian sudah didaftarkan di bawah DOA. Antara varieti durian yang popular ialah varieti Musang King, D24, Hajah Asmah (D168) dan Duri Hitam (D200).

“Durian kini dianggap sumber kekayaan baru, maka kita perlu pastikan kualiti penanaman, pembungkusan, pelabelan dan pemasaran berada pada tahap tertinggi dan ia memerlukan kerjasama semua pihak,” katanya pada majlis penanaman Musang King yang ke-500,000 di Kluster Durian Raub, di Kampung Pamah Rawas, Raub, Pahang, baru-baru ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Koperasi, Keusahawanan dan Kepenggunaan Pahang merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong Datuk Seri Shahiruddin Ab Moin dan Ketua Pengarah Pertanian Datuk Ahmad Zakaria Mohamad Sidek.

Ahmad Shabery berkata, dengan kejayaan penanaman Musang King ke 500,000, daerah Raub akan menjadi pengeluar durian Musang King terbesar di Pahang sekali gus akan menjadi ikon untuk daerah Raub.

“Setakat ini, terdapat 370 pengeluar dan penanam durian di daerah Raub membabitkan keluasan tanaman 11,152.69 hektar membabitkan tujuh mukim di Batu Talam, Dong, Gali, Hulu Dong, Sega, Semantan Hulu dan Tras.

“Jumlah keseluruhan nilai eksport durian pada 2015 adalah RM65 juta (25.0 tan metrik) manakala RM74 juta pada 2016.

“Durian yang dieksport dalam bentuk sejuk beku (frozen) seperti paste dan pulp serta produk berasaskan durian serta durian segar terutama ke Singapura dan Hong Kong.

“Nilai eksport durian Malaysia ke China pula meningkat daripada RM1.6 juta pada 2012 kepada RM18 juta pada 2016,” katanya.

Menurutnya, pada tahun ini, Malaysia menyasarkan akan dapat mengeksport sebanyak RM23 juta manakala pada tahun 2020 menyasarkan sebanyak RM92 juta.

“Kementerian yakin dengan mengamalkan pengurusan ladang yang baik, negara mampu melonjakkan peratus eksport durian terutama ke negara China.

“MOA melalui jabatan dan agensinya mengadakan program Festival Durian Malaysia 2017 (FDM 2017) di Nanning, China, pada 3 hingga 5 November lalu bagi mempromosikan durian Musang King selain mempamerkan lebih 250 produk berasaskan durian.

“Ia memberi peluang penduduk negara itu menikmati durian segar dan penganjuran program berkenaan diharap dapat meningkatkan serta memperluaskan pasaran durian di sana,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 November 2017 @ 1:28 PM