AHMAD Bashah (kiri) bersama Anuar (dua dari kiri) menunjukkan produk minuman pada majlis pelepasan lori yang membawa produk IAT Kedah ke pasaran Singapura.
HM Digital

Cuka nipah, jus asam gelugur, rempah kari, jem mangga dan coklat antara 61 produk industri asas tani (IAT) Kedah yang bakal menembusi pasaran Singapura.

Produk usahawan tempatan industri kecil dan sederhana (IKS) itu bakal dipasarkan di tiga lokasi di Kota Singa itu menerusi Agrobazaar Malaysia Singapura (ABMS).

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, selain 61 produk IAT, 14 usahawan dari negeri itu bakal dibawa ke Singapura menerusi kerjasama dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Katanya, produk berkenaan bakal dipasarkan di Malaysia Halal Centre atau Pasaraya Big Box, Global Halal Hub di Jalan Chai Chee dan di ABMS selama sebulan bermula 23 November lalu hingga 23 Disember depan.

“Kerajaan negeri menyokong segala usaha yang dilakukan dengan kerjasama agensi Persekutuan iaitu FAMA bagi sama-sama memajukan produk usahawan tempatan.

“Kami harap lebih banyak promosi produk Kedah ke Singapura dilakukan berikutan negara itu mempunyai hampir enam juta penduduk dengan kehadiran pelancong lebih 15 juta setahun,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelepasan Produk IAT Negeri Kedah ke Pasaran Singapura Sempena Program Kedah Month di Pasaran ABMS di Perkarangan Wisma Darul Aman, Alor Setar, Kedah, baru-baru ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat Kedah Datuk Suraya Yaacob dan Pengarah FAMA Kedah Anuar Mohamed.

Dalam pada itu, Ahmad Bashah berkata, kerajaan negeri komited membantu usahawan IKS negeri itu dengan menyasarkan jualan produk mereka di ABMS sebanyak RM500,000 tahun ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Bashah berkata, usahawan Kedah juga berpeluang mempromosikan produk mereka di di Expo Halal International 2017 yang berlangsung selama empat hari iaitu pada 23 hingga 26 November ini di Changi.

Katanya, ia adalah peluang terbaik untuk memastikan produk Kedah menembusi pasaran antarabangsa selain usahawan perlu berusaha keras bagi memastikan kualiti, pembungkusan dan persijilan produk ditingkatkan.

Sementara itu, Anuar berkata, 836 usahawan IAT Kedah menerima perkhidmatan daripada FAMA pada tahun ini.

“Daripada jumlah itu, 30 usahawan meraih jualan lebih RM1 juta manakala empat usahawan mencipta jualan lebih RM10 juta.

“Oleh itu, pada tahun ini, nilai jualan usahawan IAT Kedah secara keseluruhan dijangka meningkat kepada RM35 juta berbanding RM32.2 juta tahun lalu,” katanya. -Noorazura Abdul Rahman

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Disember 2017 @ 1:07 PM