KAKITANGAN IRRI memilih biji benih padi yang masih elok diterima dari seluruh dunia untuk penyimpanan.
FLORA menunjukkan biji benih padi disimpan dalam bilik sejuk beku.
BIJI benih padi disimpan dalam bilik sejuk beku supaya tahan lama.
BIJI benih padi disimpan dalam bilik sejuk beku supaya tahan lama.
VARIETI baru hasil penyelidikan sains padi tahan lasak terhadap penyakit dan cuaca.
Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my

Bank Gen Padi Antarabangsa yang diselenggara Institut Penyelidikan Padi Antarabangsa (IRRI) di Los Banos, Filipina, menyimpan hampir 128,000 aksesi atau sampel padi terdiri daripada varieti moden, tradisional dan liar.

Ia juga menjadi pusat pengumpulan kepelbagaian biji benih padi di dunia yang dihantar oleh negara yang mengusahakan tanaman itu untuk pemuliharaan sumber germplasma padi, penyelidikan, pembiakbakaan dan perkongsian maklumat.

Ini kerana padi varieti tradisional termasuk spesies padi liar mengalami kepupusan menerusi penghakisan biji benih disebabkan petani yang menanam varieti baru tidak lagi menanam padi varieti lama mereka usahakan sebelum ini.

Malah, padi spesies liar juga diancam kepupusan berikutan habitatnya dimusnahkan manusia.

Penambahbaikan tanaman pada masa hadapan pula memerlukan variasi biji benih daripada varieti tradisional dan spesies liar berkaitan untuk menangani banyak tekanan biotik serta abiotik yang mencabar pengeluaran padi di seluruh dunia.

Menurut penyelidik kanan dan pengurus bank gen padi, Pusat Sumber Genetik IRRI Flora De Guzman, bank biji benih padi ditubuhkan selepas wujudnya kesedaran untuk mengumpul dan menyimpan germplasma padi tradisional dari seluruh dunia bagi mengelak kepupusan selain bagi kegunaan pada masa hadapan.

Oleh itu, IRRI berusaha memastikan pemeliharaan jangka panjang biodiversiti padi sebagai sebahagian strategi global untuk pemuliharaan sumber genetik padi.

Usaha dilakukan dengan kerjasama organisasi dari seluruh dunia termasuk Program Penyelidikan Untuk Pengurusan dan Pemampanan Pengumpulan Tanaman dari Konsortium Pusat Penyelidikan Pertanian Antarabangsa (CGIAR).

Katanya, kepelbagaian tanaman adalah asas kepada penambahbaikan genetik tanaman dan IRRI yang memahami konsep berkenaan berusaha membuat penyelidikan genetik baru dan ciri padi dalam usaha untuk membantu tanaman padi berkembang maju.

Usaha ini juga untuk membantu petani menuai padi dengan lebih baik walaupun menghadapi pelbagai cabaran akibat perubahan iklim, serangan serangga dan penyakit tanaman serta pelbagai masalah lain.

“Spesies padi yang dipulihara di bank biji benih ini boleh dikategorikan kepada Oryza sativa atau padi Asia yang paling banyak ditanam dan dimakan secara global. Mungkin berasal dari Himalaya dan Indochina. Ia kemudian diklasifikasi kepada dua kumpulan besar iaitu indica dan japonica.

“Bagi kategori Oryza glaberrima atau padi Afrika yang berasal dari Afrika Barat, ia tidak ditanam secara meluas tapi digunakan untuk membiak baka jenis padi lain ditanam di Afrika. Kategori lain dipulihara adalah 23 spesies padi liar berkaitan dengan Oryza sativa dan Oryza glaberrima yang ditemui di Asia, Afrika, Australia dan Amerika,” katanya.

Beliau memberi penerangan demikian kepada delegasi media dan wakil sektor pertanian dari Malaysia, Singapura, Indonesia, Thailand, Vietnam dan Filipina yang membuat lawatan ke IRRI sempena seminar ‘Plant Science Primer’ anjuran CropLife Asia di Manila, baru-baru ini.

Seminar berkenaan membincangkan peranan sains dan teknologi yang dimainkan dalam pertanian moden dan manfaatnya kepada pertanian di rantau Asia.

Di samping itu, ia turut mengutarakan permasalahan dihadapi dalam pertanian masa kini terutama tanaman membabitkan jaminan bekalan makanan dan pembentangan kertas kerja daripada pakar pertanian.

Flora berkata, biji benih setiap varieti padi yang berbeza disimpan dalam dua jenis pengumpulan iaitu asas dan aktif. Pengumpulan asas untuk pemuliharaan jangka panjang disimpan dalam bilik sejuk beku pada suhu -20 darjah Celsius, sementara pengumpulan aktif untuk pengedaran disimpan dalam bilik sejuk beku pada suhu antara dua hingga empat darjah Celsius.

“Sampel biji benih yang disimpan berpotensi untuk bertahan selama puluhan tahun. Namun, sampel yang daya tahannya jatuh bawah 85 peratus akan diperbaharui sebelum tempoh jangka hayatnya berakhir bagi menjamin simpanan biji benih sentiasa dalam keadaan berkualiti.

“Tanpa bilik sejuk beku, daya tahan biji benih padi boleh menurun dengan sangat cepat dalam tempoh beberapa bulan. Ujian daya tahan semua sampel dijalankan setiap lima tahun bagi biji benih dalam pengumpulan aktif, manakala 10 tahun bagi biji benih dalam pengumpulan asas.

“IRRI turut memastikan amalan terbaik digunakan kakitangan bank biji benih bagi memulihara sumber genetik penting ini untuk generasi akan datang mengikut panduan yang ditetapkan Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO). IRRI juga menjalankan penyelidikan untuk mengurangkan risiko kehilangan mana-mana kepelbagaian genetik,” katanya.

Beliau berkata, IRRI juga memberikan biji benih dengan percuma atas permintaan kepada mana-mana pihak untuk tujuan penyelidikan, pembiakbakaan atau latihan makanan dan pertanian menggunakan panduan ditetapkan perjanjian antarabangsa Sumber Genetik Tumbuhan Untuk Makanan dan Pertanian (ITPGRFA) yang ditandatangani pada Oktober 2016.

“Menerusi akses kepada pengumpulan padi terbesar dunia, kita mempunyai peluang yang unik untuk mengkaji kepelbagaian padi dan IRRI mengkarakterkan padi mengikut ciri serta genetiknya bagi menghasilkan versi lain biji benih yang berguna.

“IRRI juga bekerja dengan Rangkaian Antarabangsa Evaluasi Genetik Padi (INGER) iaitu model global untuk pertukaran, penilaian, pelepasan dan kegunaan sumber genetik. Data semua padi yang dipulihara di IRRI diurus dan diselenggara dengan cekap menggunakan sistem maklumat dikenali Sistem Maklumat Pengumpulan Bank Gen Padi Antarabangsa (IRGCIS),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Disember 2017 @ 1:35 PM