ISMAIL Sabri melihat alat ‘Ring Guard’ yang menghalang air hujan membasahi pokok getah antara inovasi ketika melawat gerai pameran sempena Hari Inovasi RISDA 2017.
Mohamad Hussin


Hari Inovasi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) 2017 bertemakan Budaya Inovasi Rangsang Produktiviti membuktikan manifestasi iltizam dalam membina ekosistem inovasi yang kreatif ke arah pemerkasaan produktiviti dalam kalangan pekebun kecil dan warga RISDA.

Inovasi yang dihasilkan tidak seharusnya hanya untuk menjuarai pertandingan atau mempamerkan produk dan perkhidmatan semata-mata, sebaliknya ia perlu memberi manfaat jangka panjang kepada pekebun kecil khususnya penoreh getah.

Sebanyak 29 kumpulan inovasi terdiri daripada 15 kategori teknikal dan 14 kategori pengurusan dipertandingkan pada majlis berkenaan.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kunci kepada keberhasilan inovasi atau kreativiti bertaraf tinggi sangat bergantung kepada cara ‘mereka’ memandang rakyat, pelanggan atau pihak berkepentingan dengan pendekatan lebih luas dengan bergerak daripada pemikiran di luar kotak.

Beliau berkata, setiap warga RISDA seharusnya dipandang sebagai aset penting yang perlu diberi kefahaman berkenaan semua strategi baru supaya badan itu sentiasa di hadapan.


ISMAIL Sabri menyempurnakan majlis Hari Inovasi RISDA 2017 sambil diperhatikan Zahidi (kiri), Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan dan Korporat, Abdullah Zainal (kanan) serta Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan, Nasarudin Malek.

“Pengurusan tertinggi perlu lebih bertanggungjawab untuk menjadikan strategi baru sebagai suatu keperluan sekiranya mahu minda inovasi dan kreativiti ini dilahirkan.

“Dalam hal mengekalkan kejayaan pula, kita sering kali lupa bahawa selain menumpukan kebolehan bercakap atau memberi pendapat, kita juga harus menjadi individu yang pandai menyoal serta menerima pandangan orang lain walaupun berkhidmat dalam sebuah kementerian, jabatan atau agensi yang memiliki kuasa.

“Sering kali sikap malu atau ego memungkinkan pengabaian kebijaksanaan kita untuk bertanya hingga akhirnya menyebabkan maklumat, kreativiti atau inovasi terhalang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis Hari Inovasi RISDA 2017 di Ibu Pejabat RISDA, Kuala Lumpur, baru-baru ini. Turut hadir, Pengerusi RISDA, Datuk Zahidi Zainul Abidin dan Ketua Pengarah RISDA, Datuk Wan Ahmad Shabri Zainuddin Wan Mohamad.


WAKIL Risda Negeri Johor, Damanhuri Toha menerima Anugerah Perdana daripada Ismail Sabri.

Ismail Sabri berkata, untuk RISDA terus unggul dan mendahului, ia perlu disokong individu yang memiliki kepelbagaian kebijaksanaan selain kecerdasan intelektual (IQ).

“Oleh itu, saya ingin menyarankan supaya RISDA dapat meluaskan skop kreativiti dan inovasi celik akal di luar persekitaran kerja operasi harian yang biasa dilakukan bagi menghasilkan kepelbagaian inovasi pada tahun hadapan.

“Skop idea kreatif dan inovasi boleh diperluaskan dalam aspek pengiraan sesuatu, linguistik, ruang pejabat, muzik, interpersonal, mengawal diri dan personal, alam sekitar atau spiritual tanpa terikat kepada skop tugas yang diamalkan seharian.

“Ini supaya potensi pelaksanaannya meluas signifikannya serta dapat memberi impak yang tinggi kepada perkhidmatan awam dan negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Disember 2017 @ 12:25 PM