PAK Su antara usahawan bimbingan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) yang mengusahakan industri pemprosesan hasil laut sebagai produk makanan.
Noor Hidayah Tanzizi

Pulau Pangkor, Perak bukan saja terkenal dengan tarikan keindahan tersendiri baik pulau mahupun pantainya yang mempesonakan.

Malah, pulau peranginan itu turut terkenal sebagai ‘syurga’ hasil laut hingga wujud pelbagai produk makanan berasaskan ikan, udang dan sotong.

Jika terlepas peluang mendapatkannya di pulau itu, kini anda boleh dapati hasil laut berkenaan di sekitar pekan Lumut.

Antara produk hasil laut yang sinonim dengan Pulau Pangkor adalah ikan bilis mata biru, sate ikan dan sotong kering bergula.

Sebut saja sate ikan di pulau itu, nama Rasdi Ibrahim, 45, tidak tidak asing lagi dan muncul sebagai usahawan tunggal Bumiputera yang mengusahakan produk itu.

Beliau yang mesra disapa Pak Su itu juga antara usahawan bimbingan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) yang mengusahakan industri pemprosesan hasil laut sebagai produk makanan.

Menurutnya, dia sudah 18 tahun terbabit dalam industri pemprosesan hasil laut yang menjadi satu daripada industri utama Pulau Pangkor dan bermula dengan produk ikan masin dan pekasam.

Bagaimanapun, lembaran baru pembabitan dirinya dengan pemprosesan produk makanan berasaskan ikan bermula selepas beliau diberi peluang berpindah ke premis yang disediakan LKIM.

“Semuanya bermula di situ apabila saya berpindah dari bengkel ikan masin di Kampung Teluk Raja Bayang ke premis yang disediakan LKIM.

“Ketika itu, saya risau kerana lokasi premis ini berada di hujung dan dekat dengan hutan berbanding bengkel sebelum ini berhampiran pekan Pangkor.

“Ternyata keputusan itu memberikan rezeki yang tidak disangka apabila masuk tahun kedua di sini, seorang pengusaha kilang sate ikan menjualkan peralatan mesin kepada saya,” katanya di kilangnya di Pusat Pemprosesan Hasil Perikanan LKIM di Kampung Hujung Kelawai, baru-baru ini.

Rasdi berkata, pengusaha terbabit tidak hanya menjual peralatannya, malah turut menurunkan resipi sate ikan yang kini menjadi antara produk utama kilangnya.

“Saya ambil masa tiga bulan untuk belajar menghasilkan sate ikan kerana ia sangat rumit dan memerlukan kemahiran yang tinggi.

“Alhamdulillah, kini produk kami mendapat sambutan yang sangat menggalakkan hingga turut menerima tempahan dari luar negara,” katanya yang sudah tiga tahun beroperasi di premis berkenaan.

Beliau berkata, ia juga menjadikan produknya diyakini bersih, suci dan halal kerana kebersihan sangat diutamakan selain orang Islam tidak perlu khuatir.

Malah, beliau turut mengeluarkan dua produk berasaskan ikan dan sotong dengan pelbagai rasa seperti asli, pedas manis, bijan, bergula serta tanpa gula.

“Untuk ikan bilis kami mengambilnya di pelantar usahawan di sini, namun ia akan dicuci dan dikeringkan semula menggunakan sistem pengeringan ‘solar thermal’.

“Kami menggunakan pengeringan solar supaya kebersihan sentiasa terjamin dan terhindar daripada debu, habuk dan haiwan selain lebih cepat berbanding secara terbuka,” katanya yang dibantu tiga anak dan seorang menantu selain 16 pekerja.

Bercerita berkenaan proses pembuatan sate ikan, bapa kepada enam anak itu berkata, ia membabitkan tujuh peringkat iaitu bekalan bahan mentah, cara memotong ikan, proses pengeringan, meleperkan, adunan sos cili, cara memasak dan pembungkusan.

“Proses paling sukar adalah pemotongan ikan yang masih menggunakan cara manual selain perlu memastikan ikan bersih sepenuhnya serta tiada darah bagi mengelakkan hanyir selain proses pengeringan dan meleperkan ikan supaya tulang hancur serta mudah menyerap ramuan cili.

“Kami menggunakan ikan biji nangka, timah, ubi, gelama dan kerisi kerana isinya putih, mudah didapati dan cepat kering manakala sotong pula bekalan didapati dari Vietnam.

“Bagi ikan bilis, ada perancangan untuk menghasilkan sendiri, tetapi buat masa ini saya mahu memfokuskan kepada produk sate ikan dulu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Jun 2018 @ 3:21 PM