Skip this ad x
KAKITANGAN JPV memandikan lembu sebelum diagihkan kepada wakil komuniti masyarakat.
Mohamad Hussin

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) menerusi Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) memberi jaminan bekalan daging mencukupi menjelang Aidiladha pada Rabu depan.

Ketua Pengarah JPV Datuk Dr Quaza Nizamuddin Hassan Nizam berkata, bekalan ternakan bagi perayaan Aidiladha ditentukan berdasarkan perangkaan bekalan semasa lembu tempatan dan diimport dalam tempoh tiga bulan sebelum perayaan.

Beliau berkata, selain bekalan ternakan tempatan, sumber bekalan ternakan lembu dan kerbau juga diimport dari Thailand dan Australia. Sementara itu sumber bekalan ternakan kambing dan bebiri import adalah dari Australia dan Indonesia.

“Bagaimanapun, jabatan dimaklumkan berkenaan sekatan pengimportan lembu, kerbau, kambing dan bebiri dari Australia untuk tempoh 7 Julai lalu hingga selepas Aidiladha oleh kerajaan Australia berikutan isu pematuhan kepada keperluan Export Supply Chain Assurance System (ESCAS) yang ditetapkan.

“Selepas mengambil kira keperluan masjid, surau dan rumah sembelih, dianggarkan permintaan lembu dan kerbau untuk korban adalah 44,673 ekor sementara kambing atau bebiri 22,130 ekor untuk tahun ini.

“Mengikut statistik JPV, stok bekalan lembu dan kerbau tempatan bagi penyembelihan Aidiladha pada Jun lalu adalah 37,967 ekor sementara bekalan lembu dan kerbau yang diimport adalah 12,158 ekor.

“Jumlah keseluruhan bekalan untuk lembu dan kerbau bagi tujuan korban adalah 50,125 ekor,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di Putrajaya, baru-baru ini.


JUMLAH keseluruhan bekalan untuk lembu dan kerbau bagi tujuan korban adalah 50,125 ekor.

Dr Quaza Nizamuddin berkata, bagi kambing dan bebiri, bekalan tempatan untuk penyembelihan Aidiladha hingga pada Jun adalah 31,079 ekor. Begitu juga dengan bekalan kambing dan bebiri yang diimport dan bersedia untuk penyembelihan korban adalah 11,081 ekor.

“Jumlah keseluruhan bekalan untuk kambing dan bebiri bagi tujuan korban adalah 42,160 ekor. Bekalan ternakan korban untuk Aidiladha di seluruh Malaysia bagi tahun ini dijangka mencukupi.

“Bekalan ternakan ini berdasarkan kepada bekalan lembu, kerbau, kambing dan bebiri yang sudah diimport serta ternakan tempatan yang ada di seluruh negara pada masa ini.

“Sebanyak 28 rumah sembelih JPV di seluruh negara sedia untuk beroperasi. Setakat tahun ini, JPV sudah mengeluarkan lesen kepada 53 rumah sembelih ruminan swasta bagi tujuan penyembelihan ternakan korban,” katanya.

Menurutnya, penyembelihan yang dijalankan di luar rumah sembelih (contoh di masjid, sekolah, taman perumahan, tempat awam dan lain-lain) turut diberi kebenaran.


BEKALAN kambing dan bebiri yang diimport dan bersedia

“Bagaimanapun, ia perlu melalui permohonan permit penyembelihan luar yang boleh didapati di rumah sembelih jabatan dan JPV di negeri atau daerah.

“Antara dokumen yang wajib ada bagi semua ternakan untuk penyembelihan korban ini adalah Akuan Kebenaran Pindah Ternakan dan Sijil Kesihatan Veterinar (SKV).

“JPV juga sudah menerbitkan garis panduan penyembelihan ternakan korban untuk dijadikan panduan dengan mengambil kira aspek kebajikan haiwan, keselamatan makanan dan undang-undang,” katanya.

Katanya, ia termasuk peraturan berkenaan pemantauan ternakan korban, premis penyembelihan, operasi penyembelihan dan pengurusan sisa ternakan untuk mengelak risiko jangkitan penyakit zoonotik.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Ogos 2018 @ 12:48 PM