BAHAN elektronik yang mempunyai gambar dan muzik menjadi
Fazurawati Che Lah

Ekosistem pencarian maklumat mengubah realiti pembacaan masyarakat termasuk pelajar dan mahasiswa.

Teknologi digital pula mempelbagaikan cara untuk membaca, begitu juga dengan cara mempersembahkan bahan bacaan.

Dari buku fizikal ke e-books dan kini teknologi Augmented Reality (AR) memperlihatkan bahan bacaan mengalami satu revolusi.

Namun kini, golongan muda khususnya lebih gemar membaca bahan santai dan jarang menjadikan bahan ilmiah sebagai pilihan. Sebaliknya lebih gemar merujuk kepada bahan elektronik.

Menurut Dekan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor, Dr Massila Hamzah pelbagai faktor yang menyumbang hilangnya budaya membaca bahan ilmiah dalam kalangan pelajar kerana naluri golongan muda yang suka dengan isu atau elemen santai, sensasi atau sesuatu yang menghiburkan.

“Isu yang timbul adalah pembaca yang selektif iaitu hanya pada bahan yang memberi kepuasan kepada mereka.

“Walaupun dengan teknologi yang dimiliki, majoriti tercabar dan menghadapi masalah dalam membuat pertimbangan apa yang perlu dibaca dan bagaimana menilai bahan bacaan.

“Secara logiknya, mahasiswa hari ini yang dikurniakan teknologi dalam era maklumat tanpa batasan seharusnya lebih berilmu, membentuk jati diri, bijak dan matang tetapi apa yang berlaku hari ini seperti mana yang kita saksikan,” katanya.

Sementara itu, Guru Cemerlang Bahasa Arab, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Maahad Hamidiah, Kajang, Mohd Saudi Abdullah berkata, program Nadi Ilmu Amalan Membaca (Nilam) yang dianjurkan sekolah masih relevan dan berjaya membentuk budaya membaca dalam kalangan pelajar.

Program Nilam yang mula diperkenalkan pada 1998 itu bertujuan membina tabiat membaca dan menggalakkan murid menjana idea kreatif serta inovatif.

Pada 2018, Nilam ditambah baik supaya dapat melestarikan budaya membaca sepanjang hayat dalam kalangan murid selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013- 2025.

Mohd Saudi berkata, Nilam yang ditambah baik lebih berfokus kepada kualiti pembacaan bahan yang dibaca seseorang pelajar.

“Ia adalah gabungan aktiviti pembacaan dengan aktiviti penggayaan selepas pembacaan. Bahan yang boleh dibaca lebih pelbagai dan tidak terikat kepada buku berbentuk fizikal sahaja.

“Pengesanan pembacaan dibuat melalui rekod bacaan yang diisi murid. Pengukuran minat membaca diukur berdasarkan kiraan yang tercatat dalam rekod bacaan Nilam,” katanya.

Bagi Nilam yang ditambah baik, bahan buku, mata ganjaran dikira berdasarkan jumlah halaman buku bermula dengan buku kanak-kanak untuk mendapatkan mata ganjaran paling rendah.

Sementara mata ganjaran tertinggi pula, halaman buku mestilah melebihi 101 bagi sekolah rendah dan mata ganjaran wajib iaitu membuat rumusan selain aktiviti selepas pembacaan yang lain.

BACAAN santai pilihan masyarakat kini.

Katanya, Nilam yang ditambah baik jelas lebih fokus kepada peningkatan pengetahuan dan kemahiran selepas pembacaan sama ada bahan buku atau bahan bukan buku.

Beliau berkata, hal itu memberi peluang kepada ramai murid untuk mengumpul mata ganjaran dan mencapai lima bintang.

“Pusat sumber sekolah pada setiap tahun menilai peratus pinjaman buku yang dipinjam murid.

“Pemilihan bahan bacaan juga sangat penting, selain perlunya pembabitan dan kerjasama ibu bapa serta masyarakat setempat dalam meneruskan minat membaca dalam kalangan murid di luar waktu persekolahan.

Katanya, bagi menarik minat membaca, program tahunan itu turut menyediakan pelbagai insentif kepada pelajar sebagai penghargaan.

Ibu bapa juga memainkan peranan dalam membentuk tabiat membaca anak-anak. Norol Huda Yusof, 38, dari Shah Alam sering membawa dua anaknya ke pesta buku.

“Saya masih mengekalkan bahan bacaan fizikal kepada anak-anak dengan membawa mereka ke pesta buku sekurang-kurangnya tiga kali setahun.

“Setakat ini, kedua-dua bahan bacaan sama ada fizikal atau elektronik menjadi pilihan anak saya. Tapi bahan bacaan elektronik yang didatangkan dengan muzik dan gambar menarik menjadikan kanak-kanak,” katanya.

Bagaimanapun, guru muda itu sentiasa memantau bahan daripada media elektronik dan hanya membenarkan anaknya yang berusia sembilan dan 10 tahun menggunakan akses itu pada hujung minggu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 January 2020 @ 6:10 AM