MUHAMAD Yusof menunjukkan keputusan SPM. FOTO Ihsan Empower
MUHAMAD Yusof menunjukkan keputusan SPM. FOTO Ihsan Empower
Muhamaad Razis Ismail


“SAYA ingin ubah nasib keluarga,” kata Muhamad Yusof Alam, 18, yang memperoleh keputusan 6A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Biji Wangsa, Tumpat, Kelantan itu teruja apabila memperoleh gred A dalam subjek Matematik selepas menyertai program Empower Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

Muhamad Yusof berkata, dia datang daripada keluarga kurang berkemampuan.

Katanya, bapanya meninggal dunia dua tahun lalu kerana penyakit tua manakala ibunya bertarung nyawa selepas disahkan menghidap kanser payudara.

“Untuk menampung perbelanjaan keluarga, kami sekeluarga bergantung hasil perniagaan mi yang diambil alih kakak selepas ibu sakit.

“Pendapatan yang diperoleh hanya RM500 sebulan yang digunakan untuk menampung perbelanjaan harian dan kos rawatan ibu.

“Kami perlu sentiasa berjimat cermat dan merancang perbelanjaan harian,” katanya.

Menurutnya, sebelum ini, dia berdepan masalah menguasai subjek Matematik namun tidak mampu untuk membayar yuran tuisyen.

“Saya bersyukur apabila dapat sertai program Mathematics Boot Camp yang banyak memberi pendedahan teknik menjawab soalan dengan betul, sekali gus memperoleh A dalam subjek Matematik.

NUR Salsabila bersama ibunya. FOTO Ihsan Empower
NUR Salsabila bersama ibunya. FOTO Ihsan Empower

“Selain itu, saya dapat sertai tuisyen percuma di sekolah di bawah Program Empower ECER yang amat bermanfaat untuk mengulangkaji pelajaran yang kurang mahir,” katanya.

Bagi Nur Salsabila Jusoh, 18, yang memperoleh keputusan 7A dalam SPM baru-baru ini berkata, program Empower ECER banyak membantu pelajar kurang berkemampuan sepertinya.

Pelajar SMK Laloh, Kuala Krai itu berkata, selepas bapanya meninggal dunia, tanggungjawab menyara keluarga digalas kakaknya yang bekerja sebagai kerani.

“Saya perlu belajar bersungguh-sungguh untuk mengubah nasib keluarga dengan memberi tumpuan sepenuhnya di dalam kelas.

“Program Empower ECER menyediakan bantuan kelas tuisyen percuma dengan mendedahkan teknik menjawab peperiksaan dengan betul. Saya juga sangat teruja setiap kali menghadiri program NLP (Neuro-Linguistic Programming) yang banyak membantu saya meningkatkan potensi diri dan berfikiran lebih positif,” katanya.

Program Empower ECER Latihan Akademik sebahagian daripada Program Pembangunan Modal Insan anjuran Majlis Pembangunan Ekonomi Wilayah Pantai Timur (ECERDC) dengan kerjasama rakan strategik, Institut Pendidikan Berterusan dan Pengajian Profesional (iCEPS) Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Program ini membantu pelajar berlatarbelakangkan keluarga dari kategori kumpulan B40.

Program ini memberikan impak besar di dalam peningkatan pencapaian pelajar UPSR, PT3 dan SPM.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mac 2020 @ 6:45 AM
Digital NSTP Subscribe