MOHAMAD Riyona Hidayat melakukan Skype bersama rakan-rakan untuk berbincang mengenai tugasan.
MOHAMAD Riyona Hidayat melakukan Skype bersama rakan-rakan untuk berbincang mengenai tugasan.
Fazurawati Che Lah


PERINTAH Kawalan Pergerakan (PKP) tidak menghalang mahasiswa meneruskan aktiviti kampus seperti biasa biarpun tidak dibenarkan ke kuliah ketika tempoh ini.

Lebih 74,000 penuntut masih berada di kampus kerana akur arahan PKP, namun mereka mengisi tempoh itu dengan melaksanakan tugas hakiki mahasiswa seperti menyiapkan tesis, mengulangkaji, membaca, melayari Internet dan melakukan senaman di bilik.

Kemudahan teknologi turut dimanfaatkan mereka dalam tempoh ini untuk berhubung dengan pensyarah dan rakan-rakan dengan melakukan perbincangan menggunakan aplikasi atas talian supaya aktiviti kuliah dan pembelajaran tidak terganggu.

PERBINCANGAN bersama rakan sebilik untuk menyiapkan tugasan.
PERBINCANGAN bersama rakan sebilik untuk menyiapkan tugasan.

Penuntut dari Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur, Mohammad Riyona Hidayat Gusli Yono, 21 umpamanya melalui tempoh PKP dengan berada di bilik dengan melakukan aktiviti manfaat seperti menyiapkan tugasan yang diberikan pensyarah sebelum perintah itu berkuat kuasa.

Katanya, dia memilih untuk tidak pulang ke kampung halamannya di Kulai, Johor selepas diberitahu rakan Terminal Bersepadu Selatan (TBS) diserbu orang ramai yang mahu pulang secara

serentak sebaik Perdana Menteri mengumumkan PKP baru-baru ini.

“Saya tidak mahu mengambil risiko dijangkiti ketika bersesak dengan orang ramai di TBS, jadi saya ambil keputusan untuk berada di kampus bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid -19.

“Sejak hari pertama PKP, saya dan rakan lain tidak berdepan masalah untuk mendapatkan makanan kerana pihak universiti sudah pun mengambil langkah awal membantu penuntut yang ada di kampus supaya tidak terputus makanan.

PENUNTUT di kampus menghabiskan masa dengan membaca.
PENUNTUT di kampus menghabiskan masa dengan membaca.

“Awalnya kami menggunakan perbelanjaan sendiri untuk membeli makanan di kafe, tetapi sekarang tidak lagi selepas kerajaan mengumumkan untuk menyediakan makanan percuma kepada penuntut di kampus. Ini sekali gus menjimatkan perbelanjaan kami dalam keadaan sukar ini,” katanya.

Penuntut Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal itu memberitahu, pembelajaran atas talian atau e-Learning ditutup sementara (ketika ditemu bual) namun dia masih berkomunikasi dengan pensyarah dan rakan sekelas menggunakan skype untuk berbincang mengenai tugasan.

“Walaupun berdepan keadaan sukar, rakan dan pensyarah banyak membantu kami dalam menyiapkan tugasan.

Kami selalu berhubung melalui Skype untuk berbincang mengenai tugasan. Dapat juga saya siapkan beberapa tugasan dan latihan diberikan pensyarah.

SEORANG penuntut antarabangsa di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menyampaikan mesej kepada keluarganya menerusi media sosial.
SEORANG penuntut antarabangsa di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menyampaikan mesej kepada keluarganya menerusi media sosial.

“Bagi mengelak rasa bosan kerana kawan sebilik pulang ke kampung, saya turut melakukan beberapa aktiviti senaman selain membaca buku dan menonton cerita di Internet,” katanya.

Mohammad Riyona Hidayat turut berharap pembelajaran atas talian dipercepatkan kerana rata-rata penuntut tidak mahu menangguhkan pengajian akibat pandemik Covid-19 ini terutama bagi mahasiswa yang berada di tahun akhir.

Bagi Muhamad Izuan Mohd Nasir, 22, yang sudah berada di kampungnya sebelum pengumuman PKP tidak menghalang penuntut Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah itu menyiapkan tugasan biarpun berdepan masalah capaian Internet.

“Capaian Internet yang agak perlahan pada sebelah siang menyebabkan saya berdepan masalah untuk mengakses aktiviti pembelajaran atas talian. Jadi saya perlu melakukan tugasan pada sebelah malam.

“Saya akan melayari Internet dan membuat tugasan pada jam 11 malam sehingga pagi kerana pada waktu itu Internet agak laju, sekali gus memudahkan saya menyiapkan tugasan, walaupun terpaksa bersengkang mata, tapi saya tiada pilihan buat masa sekarang,” katanya yang kini berada di Pasir Mas, Kelantan.

Penuntut Ijazah Sarjana Muda Telekomunikasi itu memberitahu, setakat ini, dia banyak berada di rumah dan menggunakan medium WhatsApp untuk berhubung dan berkongsi bahan kuliah bersama rakan-rakan serta pensyarah.

“Saya dimaklumkan UUM akan melaksanakan pembelajaran atas talian bermula 5 April depan. Keadaan ini sedikit melegakan hati kami sebagai penuntut tahun akhir kerana tiada penangguhan untuk semester ini.

“Cuma saya berharap kelajuan Internet ditingkatkan bagi memudahkan saya dan penuntut yang berada di kampung melayari pembelajaran atas talian dengan pantas,” katanya

.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Mac 2020 @ 6:15 AM