PAKAIAN daripada salah satu pasukan mengikut etnik.
PAKAIAN daripada salah satu pasukan mengikut etnik.
Fazurawati Che Lah

UNIVERSITI Malaysia Sabah (UMS) merangkul tempat pertama dalam Pertandingan Malam Citra Bayu (MCB) ke-13 yang berlangsung di Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang, sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

UMS yang diwakili 19 penuntut daripada Kelab Kebudayaan UMS itu turut merangkul tiga anugerah utama iaitu Koreografi Terbaik, Busana Terbaik dan Penari Lelaki Terbaik yang dimenangi Jay Adner.

Menurut pegawai pengiring, Norain Abd Razak, kemenangan itu adalah usaha gigih pasukan UMS yang mengidamkan gelaran johan selepas tewas di tempat kedua pada tahun lalu.

"Pada tahun lalu, UMS mendapat tempat kedua dan anugerah Penari Wanita Terbaik.

"Alhamdulillah pada tahun ini kita berjaya mendapat tempat pertama dengan nama karya Meruked Mawa, sebuah tarian etnik dari suku kaum Lundayeh Sipitang hasil koreografi Quenner Mitchell Pauzi ," katanya.

UMS menerima wang tunai RM2,000, trofi, cenderahati dan sijil selepas menewaskan peserta lain, antaranya daripada Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Malaya (UM) serta Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

PASUKAN penari dengan pakaian yang berwarna warni.
PASUKAN penari dengan pakaian yang berwarna warni.

Malam Citra Bayu (MCB) adalah program yang memperkenalkan astetika sosio-budaya Sabah kepada masyarakat khususnya warga Semenanjung Malaysia melalui pertandingan tarian kebudayaan Sabah.

Persembahan tarian ini akan dipersembahkan mahasiswa Sabah yang sedang menuntut di universiti awam dan swasta di Semenanjung dan Sabah.

Program yang sudah mencapai kali ke-13 ini adalah usaha murni Pertubuhan Siswa-siswi Sabah (PERSIS) USM dalam mempromosikan keunikan etnik Sabah melalui seni tarian.

Penganjuran selama 13 tahun Malam Citra Bayu ini mendapat sambutan yang luar biasa bukan sahaja dari warga USM malahan juga dari warga luar USM sendiri membolehkan program ini mampu bertahan sehingga kini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mei 2020 @ 6:30 AM