NURLIYANA (tengah) bergambar bersama rakan sekerja.
NURLIYANA (tengah) bergambar bersama rakan sekerja.
Oleh Suliati Asri


TEORI sudah dikuasai, kini hanya tinggal untuk dipraktikkan di lapangan seterusnya memberi peluang kepada mahasiswa merasai dunia pekerjaan yang sebenar.

Namun, selepas separuh jalan, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan berikutan pandemik Covid-19 sekali gus menjadikan latihan amali bertukar 360 darjah.

Tiada lagi kerja di pejabat dan lapangan kerana segala urusan dilakukan di rumah sahaja. Hal ini pastinya sesuatu yang bukan kebiasaan kerana latihan amali adalah tempoh di mana penuntut mengutip pelbagai pengalaman dalam dunia pekerjaan.

Namun, ia sebenarnya memberi pengalaman baharu dan unik bukan saja kepada penuntut tetapi juga koordinator latihan industri yang menguruskan semua penuntut yang menjalani latihan industri pada tahun akhir pengajian mereka.

Bagi penuntut, selain terpaksa melakukan kerja dari rumah (WFH) dengan skop kerja yang berlainan, mereka juga perlu melakukan pembentangan akhir secara dalam talian.

Bagaimanapun, melakukan praktikal tatkala pandemik Covid-19 ini akan dikenang sampai bila-bila sebagai satu pengalaman berharga.

Penuntut jurusan Kewartawanan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Nurliyana Mohd Asri, 23, berkata pengalaman praktikal ketika PKP nyata memberi pengalaman baharu buatnya.

Katanya, ketika di kampus, sudah terbayang bagaimana kesibukan yang akan dialami walaupun menjalankan praktikal sebagai pelatih dalam kumpulan pembangunan perniagaan yang sememangnya di luar bidang pengkhususannya.

"Dalam pembangunan pemasaran, walaupun banyak kerja yang boleh dilakukan di dalam pejabat, keluar berjumpa pelanggan juga adalah satu keperluan selain terbabit dengan penganjuran pelbagai acara.

"Tetapi apabila perlu bekerja di rumah, ia memberikan pengalaman yang tidak pernah terjangka di mana segala tugasan yang memerlukan kita berada di luar boleh dilaksanakan dengan baik dari rumah sahaja.

ACARA sebelum PKP yang sempat dilaksanakan Nurliyana.
ACARA sebelum PKP yang sempat dilaksanakan Nurliyana.

"Situasi ini juga menuntut saya untuk lebih kreatif dalam menyelesaikan tugasan yang diberikan hanya dari rumah saja," katanya yang kadangkala merasa sedikit tertekan apabila menghadapi masalah untuk menyiapkan kerja.

Menurut Nurliyana, perasaan takut untuk kembali ke pejabat selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) juga satu perasaan yang unik.

"Gembira dapat kembali bekerja seperti biasa tapi diselubungi perasaan risau disebabkan ada kakitangan dari syarikat lain di dalam bangunan premis yang sama positif Covid-19.

"Mana tidaknya, kita tidak tahu kemungkinan atau risiko dijangkiti itu mungkin ada mungkin tidak. Sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan dan mengikuti panduan yang diberikan Kementerian Kesihatan Malaysia, perasaan kembali normal," katanya.

Bagi Pensyarah Penerbitan di Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM Shah Alam Mohamed Shamil Hizamie Mohamed Norhisham, praktikal di kala penularan Covid-19 ini adalah pengalaman yang berharga bukan saja kepada penuntut tetapi juga dirinya selaku Koordinator Latihan Industri.

Katanya, pengalaman menangani pelbagai masalah pelajar tatkala isu Covid-19 ini akan diingati sebagai satu pengalaman berharga. Ini kerana pelajar bukan saja perlu menyesuaikan diri dengan situasi yang kerap berubah malah pensyarah juga harus lebih peka dan memahami situasi dihadapi pelajar tetapi turut mengubah proses penilaian.

PEMBENTANGAN projek akhir secara atas talian disebabkan penularan Covid-19.
PEMBENTANGAN projek akhir secara atas talian disebabkan penularan Covid-19.

"Latihan Industri atau Practical Training mendedahkan pelajar kepada dunia sebenar dan bertujuan persediaan mereka sebelum mula bekerja. Bagaimanapun, PKP ini secara langsung mengehadkan kepelbagaian aktiviti yang boleh dijalani oleh mereka.

"Jika dibandingkan dengan pelajar yang menjalani latihan amali dalam fasa 'normal,' pelajar semester ini boleh dianggap sedikit mencabar ekoran mereka berusaha memenuhi kehendak syarikat, pensyarah dan pelbagai pihak lain bagi menyempurnakan latihan industri dengan jayanya.

"Namun, pelajar perlu menganggap latihan amali ini sebagai satu peluang untuk mereka menilai kemampuan fleksibiliti diri yang mampu menyempurnakan pelbagai halangan bagi menggapai tujuan pembelajaran," katanya.

Menurutnya, sistem praktikal sentiasa berubah dari semasa ke semasa. Tambahan pula, tindakan pencegahan oleh kerajaan Persekutuan membuka ruang buat fakulti untuk menjadi lebih fleksibel dalam menilai latihan praktikal pelajar tahun akhir.

"Pihak pengurusan, pensyarah dan seluruh warga fakulti mahukan yang terbaik buat pelajar dalam menjalani latihan amali yang penting ini.

"Jadi, perbincangan akan sentiasa dilaksana dan sebarang perubahan yang akan dibuat kelak adalah untuk memudahkan urusan pelajar ekoran mereka berdepan situasi yang sedia sukar dalam menjalani latihan dalam norma baharu ini," katanya.

Tidak hanya praktikal, pembentangan projek akhir juga punya kelainan tersendiri di mana ia tidak dilaksanakan secara bersemuka tetapi secara atas talian.

Justeru, kata Mohamed Shamil penuntut perlu menganggap latihan amali di kala Covid-19 ini sebagai satu peluang untuk mereka menilai kemampuan fleksibiliti diri yang mampu menyempurnakan pelbagai halangan bagi menggapai tujuan pembelajaran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Julai 2020 @ 7:00 AM