MESEJ pencegahan pandemik Covid-19 memberi peringatan kepada pelajar mengenai pentingnya penjarakan fizikal dalam memutuskan penularan pandemik Covid-19
MESEJ pencegahan pandemik Covid-19 memberi peringatan kepada pelajar mengenai pentingnya penjarakan fizikal dalam memutuskan penularan pandemik Covid-19
Suliati Asri


MCDONALD'S Malaysia, Jabatan Pendidikan Negeri Wilayah Persekutuan dan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor bekerjasama menerusi program #KitaJagaKita bagi menyebarkan mesej pencegahan pandemik Covid-19.

Program itu bertujuan mendekati lebih 35,000 murid membabitkan 30 sekolah terpilih sekitar Lembah Klang yang berhampiran dengan restoran McDonald's.

Majlis pelancaran program #KitaJagaKita yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Keramat Wangsa, Kuala Lumpur baru-baru ini menyaksikan McDonald's Malaysia menyumbang lebih 1,000 mesej pencegahan Covid-19 untuk diletakkan di persekitaran sekolah.

Mesej-mesej yang disumbangkan adalah dalam bentuk poster, papan tanda dan juga pelekat bertujuan memberi kesedaran mengenai langkah-langkah keselamatan yang perlu diambil bagi mencegah penularan pandemik Covid-19.

Selain mengetengahkan pentingnya mendengar arahan guru, mesej pencegahan itu juga menekankan amalan penjarakan fizikal, pembersihan tangan, pemakaian pelitup muka dan pemeriksaan suhu badan.

Semua mesej pencegahan pandemik Covid-19 itu diletakkan di sekolah-sekolah yang terbabit secara berperingkat bermula Ogos lalu.

Naib Presiden dan Ketua Pegawai Pemasaran McDonald's Malaysia, Melati Abdul Hai berkata, inisiatif yang dilaksanakan itu antara langkah pihaknya memberi sokongan terhadap usaha berterusan kerajaan menangani penularan pandemik Covid-19.

Menurutnya, sebagai syarikat terkemuka, McDonald's ingin memberi impak positif kepada masyarakat di sekitar lokasi operasinya terutama dalam keadaan sukar dengan pandemik yang masih berleluasa.

"Semoga sumbangan mesej-mesej ini mampu meningkatkan semangat #KitaJagaKita dalam kalangan murid, guru, ibu bapa dan pihak pengurusan sekolah supaya saling prihatin dan mengambil berat antara satu sama lain.

MESEJ pencegahan Covid-19 di letakkan
MESEJ pencegahan Covid-19 di letakkan

"Sama-samalah kita beringat dan memastikan diri serta persekitaran kita sentiasa selamat daripada jangkitan wabak ini," katanya.

Bagi Pengetua SMK Keramat Wangsa, Mustafa Kamal Musa, pihak sekolah sangat menghargai sumbangan yang diberikan McDonald's Malaysia ini.

"Sumbangan ini adalah satu penambahbaikan yang cukup penting bagi kami terutama dalam mendidik dan mengingatkan murid mengenai kepentingan amalan keselamatan Covid-19.

"Besar harapan saya supaya mesej yang disumbangkan ini dapat diikuti oleh semua murid," katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru, SMK Keramat Wangsa Mejar Jeneral (B) Datuk Ahmad Hadiatullah Maknun Radzuan berkata, sumbangan mesej pencegahan Covid-19 itu secara langsung membolehkan pihaknya sebagai ibu bapa menarik nafas lega, memandangkan ia dipaparkan secara jelas di sekitar kawasan sekolah.

"Tidak dinafikan, ada kerisauan setiap kali anak pergi ke sekolah. Mereka ini perlu sentiasa diingatkan, kadang-kadang apabila seronok berjumpa kawan, mereka boleh lupa apa yang kita pesan.

"Selain itu, peranan guru di sekolah juga sangat penting untuk memantau langkah-langkah keselamatan yang ditetapkan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 September 2020 @ 6:10 AM