NUR Shahirah (tengah) memulakan latihan di lapangan sebaik sahaja dia menyertai SDP.
NUR Shahirah (tengah) memulakan latihan di lapangan sebaik sahaja dia menyertai SDP.
Suliati Asri


Kadar pengangguran Malaysia nyata semakin meningkat iaitu dari 47,300 kepada 826,100 ia sememangnya memberi kesan terutama graduan yang baharu menamatkan pengajian.

Pasaran pekerjaan di Malaysia juga terkesan dengan krisis ekonomi global yang disebabkan pandemik Covid-19 sekali gus mengakibatkan graduan baharu terpaksa berjuang mencari pekerjaan di pasaran yang kompetitif hari ini.

Pada 2011 kerajaan memperkenalkan inisiatif yang dapat membantu graduan mendapatkan kerja melalui modul latihan dalam dikenali SL1M di bawah unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri.

Program itu dijenamakan semula sebagai Protege pada 2019 di bawah bidang kuasa Kementerian Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (Medac).

Kini, program yang sama memberikan sinar harapan kepada graduan yang mencari pekerjaan di tengah ketidaktentuan ekonomi global akibat Covid-19.

Sime Darby Plantation (SDP) juga adalah sebahagian daripada program Protege yang sentiasa komited dalam mendukung inisiatif dalam rangka membentuk masa depan yang lebih baik kepada belia di Malaysia.

Pengarah Urusan Kumpulan Mohamad Helmy Othman Basha berkata, sebagai syarikat berkaitan kerajaan (GLC), Sime Darby Plantation (SDP) sentiasa menyokong inisiatif ini kerana kami komited untuk melabur dalam modal insan untuk pertumbuhan bangsa kita.

"Program Protege ini memberi kami kesempatan untuk membantu graduan baharu dengan menyediakan platform untuk latihan, baik di dalam kelas mahupun di tempat kerja dan pendedahan yang memberi manfaat jangka panjang kepada mereka.

"Sebagai balasannya, kami dapat melihat sendiri bagaimana program ini memberi mereka kemampuan untuk memberikan yang terbaik dan sumbangan nyata kepada syarikat.

"Kami juga percaya, pengalaman berharga seperti ini akan memberi mereka keyakinan untuk menghadapi pelbagai cabaran ketika mereka mula mencorakkan kerjaya mereka," katanya.

Menurutnya, SDP sudah menjadi sebahagian daripada program itu sejak 2011.

"SDP sudah meraikan 457 graduan sejak 2017, termasuk kumpulan 103 rekrut terbaharu yang sudah menyertai syarikat 3 Ogos lalu.

GAMBAR peserta program Protege 2019.
GAMBAR peserta program Protege 2019.

"Kami gembira kerana mempunyai 23 orang Protege yang berjaya diserap untuk bekerja sepenuh masa di pelbagai jabatan sejak tiga tahun lalu," katanya.

Bekas peserta Protege yang diserap bekerja di SDP, Azreen Awalludin, 25, berkata, program itu memberi pendedahan kepada suasana kerja sekali gus mendorongnya meningkatkan kemahiran berkomunikasi.

Menurutnya, program itu juga menjadi platform untuknya mencungkil bakat dan mempamerkan potensi dirinya.

"Program ini sememangnya memberi banyak manfaat kerana peserta bukan saja memperoleh pengalaman dalam dunia pekerjaan tetapi dapat memperluas hubungan dan mempertingkat diri dalam pelbagai kemahiran melalui latihan diberikan.

"Selain itu, peserta juga mempunyai peluang yang besar untuk diserap untuk menyertai SDP sekali gus menjadi pekerja tetap," katanya.

Bagi Vityasri Jeyapalan, 25, yang mengikuti program Protege tahun lalu, latihan kemahiran insaniah intensif dan peluang latihan di tempat kerja cukup mengujakannya.

Menurutnya, ia bukan saja memberikan latihan praktikal tetapi pengalaman kehidupan sebenar untuk membina asas yang kuat terutama apabila sudah bekerja nanti.

"Saya sangat menggalakkan graduan dan belia di luar sana menyertai program ini kerana ia adalah batu loncatan terbaik terutama yang ingin membina kerjaya," katanya.

Sementara itu, Nur Shahira Madon, 24, berkata program ini adalah satu inisiatif benar-benar membantu graduan baharu sepertinya mendapatkan pengalaman dalam kehidupan pekerjaan sebenar.

Katanya, program Protege ini juga adalah platform latihan yang sangat baik dan mendorong graduan baharu seperti saya untuk lebih cekap serta terlatih.

"Bagi saya, sebagai lulusan Teknologi dan Pengurusan Perladangan, terbabit secara langsung dalam industri perladangan memberi peluang untuk saya memperoleh pengalaman kehidupan sebenar di dalam persekitaran ladang.

"Saya berpendapat, graduan baharu harus menyertai program Protege ini kerana saya percaya ia adalah platform yang baik untuk mempraktikkan pelajaran di kelas dan di ruang belajar sebenar.

"Saya sememangnya mengesyorkan program ini kepada pelajar supaya mereka dapat menyertai dan memperoleh pengalaman di lapangan sama seperti yang saya peroleh menerusi program ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 September 2020 @ 6:25 AM