PnP

Tawar 1,437 unit hartanah

Oleh Sofyan Rizal Ishak

PAMERAN Hartanah MyRumah (MyRumah) anjuran The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) kembali untuk siri keempat bagi tahun ini di Kuantan City Mall bermula hari ini (20 September) hingga 22 September 2019.

Acara yang dianjurkan buat kali pertama di Kuantan itu menawarkan lebih 1,437 unit hartanah kediaman dan komersial dengan nilai pembangunan kasar (GDV) melebihi RM323.6 juta.

MyRumah Kuantan yang menyasarkan pembeli rumah dan pelabur hartanah di wilayah pantai timur Malaysia itu disertai enam pemaju utama yang menawarkan hartanah pada harga bermula RM137,000 sehingga RM1.58 juta.

Pemaju yang turut serta dalam edisi kali ini adalah O&C Properties (Kuantan) Sdn Bhd, Konsortium Perumahan Rakyat Terengganu Sdn Bhd, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Jabatan Perumahan Negara (JPN), Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) dan Uda Land (East) Sdn Bhd.

MyRumah Kuantan turut disertai tiga pihak bukan pemaju iaitu Amanah Raya Berhad, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Takaful Ikhlas.

Selain tawaran kediaman daripada pelbagai pemaju, pengunjung juga berpeluang mencuba nasib dalam Cabutan Bertuah Utama dan sesi Cabutan Bertuah Pasport MyRumah yang turut diadakan sepanjang tiga hari terbabit.

Pembeli yang layak juga berpeluang bagi mendapatkan manfaat daripada promosi menarik, diskaun dan rebat pembelian terutama daripada pemaju yang mengambil bahagian.

Acara yang mendapat sokongan KPKT dan mula dianjurkan pada 2016 itu sebelum ini berlangsung di Kuala Lumpur (Mac), Melaka (Julai) dan Johor Bahru (Ogos) serta akan berkunjung ke Shah Alam (Oktober) dan Ipoh (November).

Disiarkan pada: September 20, 2019 @ 5:00am
d