PnP

Bandar Raya Koperasi pertama di Malaysia

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

PROJEK pembangunan Mutiara KPFB Coop Residensi di Rawang, Selangor dijangka menjadi Bandar Raya Koperasi pertama di Malaysia.

Pembinaan projek ini akan mengguna pakai konsep yang sama seperti bandar koperasi pertama dan terbesar di dunia iaitu Bronx, New York, Amerika Syarikat.

Projek yang bakal direalisasikan oleh Koperasi Peserta-Peserta Felcra Malaysia Bhd (KPFB) dengan kerjasama Palladium Builders Sdn Bhd itu membabitkan nilai pembangunan kasar (GDV) RM2 bilion.

Pengerusi KPFB, Datuk Sabari Misran berkata, pihaknya akan membina kira-kira 4,000 unit bangunan meliputi pelbagai kelas dan saiz termasuk lot komersial seperti pejabat dan lot kedai.

“Pembinaan projek ini membabitka tanah berkeluasan 42 ekar (103.78 hektar) milik Mutiara KPFB Sdn Bhd, iaitu anak syarikat KPFB.

“Projek ini dijangka memulakan pembinaan pada Februari 2020 dan siap sepenuhnya dalam tempoh tiga hingga empat tahun,” katanya pada majlis menandatangani dokumen perjanjian di antara KPFB dan Palladium Builders di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Sabari berkata, kelebihan yang diberikan bukan saja kepada anggota KPFB, malah ia antara inisiatif KPFB dalam memberi peluang kepada koperasi lain yang ingin memiliki kediaman dan lot komersial ini dengan harga yang lebih rendah berbanding harga biasa.

“Dengan adanya unit kediaman ini, ia akan dapat membantu golongan berpendapatan sederhana untuk memiliki rumah.

“Koperasi juga akan membantu ahli mendapatkan pembiayaan perumahan bagi memudahkan pemilikan kediaman oleh ahli koperasi,” katanya.

Beliau berkata, konsep utama projek ini bercirikan pembangunan yang disediakan kepada golongan berpendapatan tinggi, sederhana dan sederhana rendah yang akan tinggal tanpa ada perbezaan.

“Penduduk di sini akan tinggal di dalam komuniti yang sama dan menggunakan kemudahan yang sama seperti surau,kolam renang, gimnasium, dewan komuniti, gelanggang futsal, tenis serta skuasy. Selain itu, ia turut menempatkan galeri koop dan ruang pejabat,” katanya.

Disiarkan pada: November 1, 2019 @ 9:23am
d