PnP

Ikon kehidupan bandar aktif

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

UEM Sunrise Berhad, melancarkan pelan induk pembangunan perdana terbaharunya, Kiara Bay di tengah bandar Kepong, Selangor dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM15 bilion.

Kiara Bay terdiri daripada unit kediaman, pusat beli-belah, ruang pejabat, hotel, pusat penjagaan kesihatan dan pendidikan yang merangkumi 29.54 hektar tanah pajakan utama di Kepong.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise, Anwar Syahrin Abdul Ajib berkata, fasa pertama projek ini terdiri daripada 870 unit kediaman.

Katanya, unit kediaman berkenaan membabitkan saiz antara 800 hingga 1,250 kaki persegi berharga RM600,000 sehingga RM900,000.

“Kami jangka fasa pertama ini akan siap sepenuhnya menjelang suku keempat 2023 dengan sasaran kadar tempahan kira-kira 60 peratus bagi tahun pertama pelancaran fasa pertama ini.

“Bagi keseluruhan projek perbandaran Kiara Bay ini, kami anggarkan ia siap pada 2039,” katanya pada majlis pengenalan Kiara Bay di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Anwar berkata, pihaknya turut berhasrat membina lebih daripada sekadar struktur dan bangunan, malah masyarakat dan persekitaran yang inklusif untuk semua.

“Mont Kiara adalah bukti kami untuk visi ini dan untuk Kiara Bay.

“Fokus kami dengan konsep ‘liveability’ ini akan menjadi pencetus daripada segala yang kami lakukan di Kiara Bay untuk mewujudkan ikon kehidupan bandar aktif yang mempunyai sesuatu untuk ditawarkan kepada seluruh lapisan komuniti pelbagai generasi,” katanya.

Kiara Bay adalah perbandaran bersepadu yang menawarkan kehidupan bertaraf tinggi di tepi tasik yang berdekatan Kepong Metropolitan Park.

Di antara keunikan bandar ini adalah tasik, kecantikan alam semula jadi dan gaya hidup aktif dengan kemudahan serta kesinambungan persekitaran bandar yang meriah.

Kiara Bay juga boleh diakses melalui beberapa lebuhraya dan jalan utama seperti Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2), Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Lebuhraya Duta Ulu Klang, Jalan Kuching dan Jalan Kepong.

Selain itu, Anwar berkata, terdapat dua persimpangan baharu yang akan menyediakan akses terus dari MRR2 ke Kiara Bay.

Menurutnya, dua stesen MRT 2 iaitu Kepong Baru dan Jinjang juga dijadualkan beroperasi menjelang 2021 dan menjadi stesen MRT terdekat ke Kiara Bay.

Katanya, projek 15 hingga 20 tahun ini membolehkan perancangan induk bersepadu dengan pelbagai produk, kemudahan dan perkhidmatan komuniti seperti Polis Auxiliary dan bas ulang-alik ke stesen MRT terdekat.

“Dengan memanfaatkan pengalaman dan kejayaan kami dalam membangunkan Mont Kiara, kami ingin mencipta nilai yang sama dengan Kiara Bay supaya pembeli rumah dan pelabur dapat menikmati pertumbuhan modal dalam aset mereka,” katanya.

Disiarkan pada: November 1, 2019 @ 10:57am
d