PnP

M Arisa buah tangan terbaharu Mah Sing

Oleh HM Digital

KUMPULAN pemaju hartanah, Mah Sing sentiasa komited untuk terus membina kediaman berkualiti pada harga berpatutan sekali gus memenuhi permintaan pasaran semasa.

Sebagai pemaju terkemuka di Malaysia, Mah Sing meletakkan matlamat utamanya untuk berkembang di kawasan mempunyai pertumbuhan populasi besar dan mencari lebih banyak tanah di lokasi strategik dengan menawarkan harga kediaman mampu milik.

Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Mah Sing, Tan Sri Leong Hoy Kum berkata, Mah Sing mempunyai bank tanah sebanyak 844.17 hektar membabitkan nilai pembangunan kasar (GDV) dan jualan tidak dibil kira-kira RM25.8 bilion setakat 30 Jun 2019.

Jumlah itu, katanya mampu mengekalkan pertumbuhan kumpulan bagi lapan hingga sembilan tahun akan datang.

Leong berkata, pihaknya berada di kedudukan yang terbaik untuk terus memberi tumpuan menambah bank tanah di Lembah Klang terutama dalam pelbagai hartanah berpatutan.

“Baru-baru ini, kami melancarkan M Arisa di Sentul dengan harga permulaan RM299,000 membabitkan GDV RM652 juta.

“Bagi 2019, Mah Sing memperoleh tiga tanah utama di sekitar Lembah Klang iaitu M Oscar (Off Kuchai Lama, bersebelahan Happy Garden & Sri Petaling), M Luna (Kepong), dan M Adora (Wangsa Melawati), membolehkan kami memasarkan projek ini dalam tempoh singkat.

“Dengan pelancaran M Oscar dan M Arisa secara rasmi baru-baru ini, kami juga akan memperkenalkan projek M Luna (Kepong) ke pasaran, manakala M Adora dirancang dibuka pendaftaran tidak lama lagi,” katanya di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurutnya, sejak 2013 Mah Sing memberi tumpuan kepada pembinaan rumah yang menawarkan harga mampu milik dan kumpulan akan terus melakukannya dengan tahun ini sasaran jualan 81 peratus adalah daripada kediaman di bawah RM700,000.

Beliau berkata, 2019 adalah tahun yang istimewa untuk Mah Sing kerana sudah mencapai ulang tahun ke-25 sebagai pemaju hartanah terkemuka di Malaysia.

“Perjalanan selama 25 tahun yang lalu membolehkan kami berkembang menjadi antara pemaju bersepadu Malaysia dengan kepelbagaian pembangunan.

“Ini termasuk kediaman, komersial, perhotelan dan perindustrian, dengan 50 projek di sekitar Greater Kuala Lumpur, Lembah Klang, Pulau Pinang serta Johor.

“Sehingga kini, Mah Sing sudah menjual kira-kira 41,000 unit hartanah kediaman kepada pembeli yang mempercayai produk kami,” katanya.

Disiarkan pada: November 8, 2019 @ 11:04am
d