PnP

Turunkan had kad kredit

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

RAMAI yang menyarankan membeli kediaman ketika usia masih muda.

Namun, tidak semua mengambil saranan itu memandangkan mereka lebih mudah membuat pilihan membeli kenderaan berbanding rumah.

Malah, ramai yang beranggapan membeli rumah pada usia muda adalah mustahil kerana banyak komitmen perlu ditanggung di samping gaji yang tidak besar.

Bagaimanapun, berlainan dengan Fathin Amalina Ishak, 33, kerana dia membuat keputusan mencuba nasib melalui skim rumah pertama di bawah kendalian Kerajaan Selangor iaitu Rumah Selangorku.

Kali pertama mendengar mengenai Rumah Selangorku pada 2014 iaitu ketika berumur 28 tahun, Fathin tidak membuang masa untuk memohon.

“Pada waktu itu, kecoh di pejabat saya mengenai skim Rumah Selangorku yang diselenggarakan oleh Kerajaan Negeri Selangor.

“Tanpa membuang masa saya mencuba nasib untuk memohon dan alhamdulillah pada November 2014, saya ditawarkan sebuah rumah di Cyberjaya.

“Menariknya rumah yang bernilai RM250,000 itu turut dilengkapi sebahagian perabot kediaman oleh pemaju,” katanya.

Fathin berkata, malangnya rumah terbabit tidak dapat dimiliki kerana pada masa itu permohonan pinjamannya tidak diluluskan.

“Permohonan saya tidak berjaya kerana memiliki hutang kad kredit.

“Namun, saya tidak berputus asa mencuba nasib sekali lagi apabila saya membuat permohonan semula Rumah Selangorku,” katanya kepada P&P di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Belajar daripada kesilapan, Fatin mencari punca pinjamannya tidak diluluskan.

“Saya bertindak pantas dengan menghubungi pihak bank untuk menurunkan had kad kredit saya daripada RM14,000 kepada RM6,000.

“Daripada situlah, saya belajar walaupun had kad kredit kita tinggi dan tidak mengunakannya ia masih dikira sebagai tanggungan.

“Disebabkan itu, permohonan saya sebelum ini tidak diluluskan,” katanya.

Selepas permohonan kedua Rumah Selangorku pada Disember 2014, akhirnya awal 2015 Fathin ditawarkan apartmen bernilai RM200,000 di Dengkil, Selangor.

“Sebenarnya, tidak mudah memiliki sebuah rumah kerana kita memerlukan wang untuk membuat tempahan rumah berkenaan dan pembeli juga perlu mengeluarkan deposit 10 peratus daripada nilai rumah terbabit.

“Disebabkan simpanan tidak banyak pada waktu itu, saya mengeluarkan wang daripada akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk membayar 10 peratus deposit berkenaan.

“Kali ini, saya bersyukur kerana pinjaman diluluskan dan lega kerana jika berputus asa sudah pasti tidak berjaya memiliki kediaman pada usia bawah 30 tahun.

“Kini saya dan keluarga (suami dan anak) sudah menetap di rumah yang dibeli ini lebih dua tahun,” katanya.

Fathin berpendapat, golongan muda sepatutnya tidak melepaskan peluang memiliki rumah ketika usia masih muda.

Baginya, usaha adalah tangga kejayaan dan jangan pernah berputus asa mencapai apa yang diinginkan.

Disiarkan pada: December 20, 2019 @ 12:19pm
d