PnP

Mahkota Bandar Bukit Jalil

PUSAT beli-belah Pavilion Bukit Jalil bakal menjadi antara 10 gedung beli-belah terbesar di Malaysia apabila ia secara rasminya dibuka kepada orang ramai menjelang 2021.

Dengan menawarkan ruang peruncitan seluas 1.8 juta kaki persegi, Pavilion Bukit Jalil turut diangkat sebagai mahkota bandar Bukit Jalil dengan keluasan 20.23 hektar merangkumi komponen peruncitan, kediaman, komersial dan hospitaliti.

Ketua Pegawai Eksekutif Peruncitan Kuala Lumpur Pavilion Sdn Bhd, Datuk Joyce Yap berkata, pusat beli-belah itu juga akan menjadi pusat tumpuan komersial terbesar dalam lingkungan jarak 10 kilometer di Bukit Jalil.

Katanya, pihaknya setakat ini berjaya mengisi ruang perniagaan seluas satu juta kaki persegi dengan barisan penyewa yang mengesahkan penyertaan mereka.

“Kami juga berjaya mendapatkan pengesahan penyewa untuk turut mengisi ruang tambahan seluas 300,000 kaki persegi untuk pusat belah-belah ini.

“Antara penyewa ini termasuk Parkson, Dadi Cinema, Food Republic, The Food Merchant, Harvey Norman, Superstore dan Pavilion Bukit Jalil Ice Rink.

“Kami yakin pusat beli-belah ini akan menjadi tumpuan ramai berdasarkan tarikan yang disediakan seterusnya memberikan pengalaman beli-belah yang unggul kepada pengunjung,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Majlis memperkenalkan Pavillion Bukit Jalil sebagai ‘Ikon Keterhubungan’ dirasmikan Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik.

Kuala Lumpur Pavilion Sdn Bhd, pasukan yang menguruskan pusat beli-belah terkemuka Pavilion Kuala Lumpur adalah Perancang Peruncitan bagi Pavilion Bukit Jalil manakala Regal Path Sdn Bhd pula adalah pemilik Pavilion Bukit Jalil.

Joyce berkata, sebagai pusat beli-belah serantau, Pavilion Bukit Jalil menyasarkan untuk memanfaatkan kehadiran jutaan pelancong luar negara yang melawat Kuala Lumpur pada setiap tahun.

“Tourism Malaysia melaporkan negara ini menerima kehadiran lebih 13.35 juta pelancong antarabangsa dalam tempoh separuh pertama 2019 yang berbelanja RM41.69 billion.

“Jadi, beli-belah adalah aktiviti penyumbang utama dan dengan pembukaan Pavilion Bukit Jalil, ia diharapkan dapat mengukuhkan kedudukan Kuala Lumpur sebagai destinasi beli-belah terunggul di rantau ini,” katanya.

Gedung ini juga bakal menampilkan Piazza seluas 28,000 kaki persegi untuk konsert dan acara luaran dan juga Pavilion Bukit Jalil Exhibition Centre seluas 47,000 kaki persegi.

Disiarkan pada: December 27, 2019 @ 12:33pm
d