PnP

Kediaman mesra keluarga

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

DIKELILINGI kehijauan dengan suasana nyaman dan permai, pemilik kediaman Pristine Fasa 1, projek kendalian TH Properties Sdn Bhd boleh mengukir senyuman apabila berjaya mendapatkan kunci kediaman masing-masing.

Pristine Fasa 1 yang sudah dijual sepenuhnya ialah pembangunan rumah kontemporari terkini TH Properties yang dibina di atas tanah hak milik kekal di Bandar Enstek oleh THP Enstek Development Sdn Bhd iaitu anak syarikat milik penuh kumpulan.

Ketua Pegawai Operasi TH Properties Sdn Bhd, Nik Badrul Hisham Nik Hassan berkata, pihaknya menyedari betapa pentingnya membina rumah berkualiti dan mampu milik yang memenuhi permintaan masyarakat.

“Kami mengutamakan keperluan mereka dan menjadikan suara mereka faktor asas dalam pembinaan rumah, selain daripada mengikuti perkembangan dan trend dalam pasaran hartanah.

“Sebagai pemaju hartanah yang berbangga dengan portfolio rumah kontemporari dan inovatif yang luas dan memenuhi setiap belanjawan dan gaya hidup, TH Properties benar-benar yakin dapat memenuhi keperluan kediaman bakal pembeli rumah dan menyediakan pengalaman membeli rumah terbaik buat mereka,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Pristine Fasa 1 merangkumi 43 rumah teres dua tingkat dengan 37 unit terdiri daripada rumah seluas 20 x 80 Jenis B dengan kawasan binaan 1,662 kaki persegi (kps) dan 1,772 kps.

Sementara itu, enam lagi unit terdiri daripada rumah berukuran 20 x 100 Jenis C dengan kawasan binaan 1,774 kps dan 1,833 kps.

Dengan menzahirkan konsep moden, projek keseluruhan Pristine mengutamakan saiz rumah dan ketinggian siling yang mewujudkan ruang selesa dan tanggapan pertama yang menarik, pilihan terbaik bagi keluarga dan pasangan suami isteri untuk mengukir kenangan indah bersama.

Tambahan lagi, tingkap dan pintunya direka khas untuk memastikan setiap unit menerima cahaya semula jadi dan pengudaraan optimum yang mewujudkan kesinambungan dari kawasan luar ke ruang hidup dalaman, menjadikan rumah Pristine terang, lapang dan berangin,
serta sesuai untuk kehidupan selesa dan
mesra keluarga.

Disiarkan pada: December 27, 2019 @ 12:39pm
d