PnP

Pasaran hartanah berkembang perlahan

Oleh Nabil Basaruddin

PASARAN hartanah negara diunjur akan terus berkembang pada kadar yang perlahan pada 2020 disebabkan oleh beberapa faktor makroekonomi dalam dan luar Malaysia.

PropertyGuru berkata, pertumbuhan perlahan itu juga akan turut memberi kesan kepada sektor hartanah seperti segmen kediaman yang sering kali menjadi tumpuan utama.

Menurutnya, antara penyebab utama perkara itu dijangka berlaku disebabkan oleh ketidaktentuan serta turun naik mata wang, dagangan yang lemah serta rantaian perkembangan perlahan oleh kuasa besar dunia.

“Melihatkan kepada semua faktor itu, ia memerlukan suntikan daripada kerajaan bagi menangani permasalahan asas yang menjadi penyumbang kepada situasi bakal berlaku ini.

“Suntikan terbabit perlulah merangkumi penyelesaian isu berhubung tahap kemampuan, pembiayaan dan permintaan serta bekalan yang tidak sepadan.

“Ditambah pula dengan kurangnya peruntukan yang kukuh bagi sektor hartanah dalam Belanjawan 2020, suntikan bagi pemulihan itu dilihat tidak mampu untuk berlaku,” katanya kepada P&P, baru-baru ini.

PropertyGuru turut mengulas langkah dengan menyediakan rumah mampu milik di bawah RM300,000 bukan penyelesaiannya sebaliknya usaha untuk menjadikannya berbaloi untuk dimiliki.

“Mengambil contoh apa yang berlaku di Beijing pada 2016, kerajaan China menetapkan harga tertentu untuk rumah menjadikan timbul isu lambakan rumah kemudiannya.

“Ia bukan sekadar menghasilkan rumah mampu milik saja, tetapi ia juga perlu memenuhi ciri seperti lokasi yang strategik serta tawaran lain menjadikannya sesuai untuk dimiliki,” katanya.

Selain itu, katanya, dalam berdepan cabaran pemilikan hartanah yang timbul khususnya kepada golongan muda pada masa kini, kewujudkan skim sewa untuk milik (RTO) dilihat sebagai antara pilihan yang bersesuaian.

“Kami sentiasa percaya dengan kepelbagaian

pilihan pembiayaan akan memacu ke arah pasaran hartanah yang lebih mampan dan memberikan lebih peluang kepada generasi masa depan,” katanya.

Sementara itu, katanya, PropertyGuru sentiasa mempunyai perspektif projek mega yang dilaksanakan kerajaan sentiasa mempunyai kesan pengganda dalam pertumbuhan ekonomi.

Semua usaha itu, katanya, seperti projek Bandar Malaysia dan projek rel akan merancakkan pembangunan di bahagian selatan Kuala Lumpur.

“Apabila penduduk bandar berpindah ke arah selatan, ini akan membawa kepada peningkatan kawasan pertumbuhan baharu di koridor selatan Lembah Klang dengan prospek yang sesuai untuk hartanah di sekitarnya,” katanya.

Disiarkan pada: January 3, 2020 @ 6:02am
d