PnP

Khuatir harga melambung

Oleh Nurul Husna Mahmud

PEMILIK rumah terutama rumah dalam kategori strata bukan sahaja perlu tahu mengenai ansuran atau deposit rumah dan caj guaman dalam pembelian sesuatu hartanah, sebaliknya caj lain baik insurans, yuran mahupun caj tertentu perlu diteliti.

Strata tidak kurang pentingnya seperti pemilikan hartanah lot yang membabitkan geran persendirian atau dikongsi.

Secara ringkasnya strata adalah agihan daripada pembangunan hartanah oleh pemaju kepada petak individu, aksesori atau harta bersama ditadbir sistem perbadanan mewakili pemilik kediaman dalam pengurusan kawasan berkenaan.

Justeru, melihat revolusi kepada perumahan sedia ada, satu kawasan kediaman yang mempunyai harta guna sama seperti lif, kolam renang, kawalan keselamatan dan taman rekreasi. Malah aktiviti seperti pengecatan semula, penyelenggaraan tangki air, paip sanitasi, pendawaian semula serta infrastruktur berkaitan juga perlu di bawah tanggungjawab bersama penduduk sekitar dan semua ini tertakluk bawah Akta Pengurusan Strata 2013.

Ia penting dalam mengekalkan keharmonian serta memastikan keselesaan kepada semua penduduk di kawasan terbabit.

Membicarakan berkenaan yuran strata dikenakan kepada pemilik ketika ini, pemilik Syarikat Pemaju Anggun Armada Sdn Bhd Datuk Rosdi Ariffin berpendapat ia satu bebanan buat pemilik kediaman berpendapatan rendah.

"Saya merujuk kepada kebanyakan pasangan muda atau pemilik B40 membeli rumah flat atau apartmen kos rendah, rata-rata melihat caj seperti strata yang dikenakan dalam tempoh tertentu kepada mereka ada kalanya membebankan.

"Terutama mereka yang tinggal di bandar dengan jumlah pendapatan isi rumah sekitar RM4,000 dan ke bawah, mereka ini masih belum mencukupi untuk memiliki kediaman selain melunaskan caj tambahan seperti strata dan sebagainya.

"Mungkin pada satu tahap perlu pertimbangan inisiatif baik pemaju sendiri mahupun suntikan rebat tertentu bagi membolehkan unit contoh flat dan rumah kos rendah terus dimiliki golongan berkenaan," katanya.

Berlainan pula pendapat Pensyarah Kanan dan Ketua Kumpulan Penyelidikan 'Real Asset' Fakulti Alam Bina dan Ukur, Universiti Teknologi Malaysia Johor, Dr Muhammad Najib Razali, beliau berpendapat jika yuran pengurusan ditanggung oleh pihak pemaju maka ia akan menyebabkan harga rumah semakin melambung.

"Jika kos diserap oleh pemaju dikhuatiri akan menyebabkan harga rumah akan terus melambung. Pada waktu industri perumahan yang kini sedang mengalami keadaan penawaran melebihi permintaan yang mana tidak membuat harga rumah turun, jika yuran ini ditanggung oleh pihak pemaju, maka ia akan menyebabkan keadaan harga rumah akan semakin tinggi.

"Dalam senario lain yang mana isu rumah mampu milik masih tidak menampakkan jalan penyelesaian, cadangan kos strata diserap kepada pemaju hartanah adalah kaedah yang tidak wajar ketika ini.

"Untuk memberi pengecualian kepada penduduk rumah berstrata ini pula, ia akan memberi masalah besar kepada kerajaan yang mana kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri terpaksa memberi subsidi yang besar untuk menampung kos penyelenggaraan.

"Kerajaan negeri mengeluarkan belanja yang besar untuk mengatasi masalah penyelenggaraan terutama masalah lif rosak, longkang tersumbat serta aspek kebersihan terutama perumahan strata kos rendah. "Pendekatan penyelesaian jangka masa panjang diperlukan dalam memberi impak yang lebih berkesan untuk mengurang kos penyelenggaraan termasuk penggunaan teknologi dan sebagainya," katanya.

Langkah terbaik kata Muhammad Najib, inisiatif atau bantuan bersasar bagi memastikan agihan bantuan bersesuaian dapat disalurkan mengikut keperluan golongan tertentu.

"Disebabkan bayaran yuran strata memberikan masalah kepada kumpulan B40 yang mendiami projek perumahan kos rendah, peranan Jabatan Kebajikan Masyarakat, pusat zakat, yayasan tertentu penting agar kumpulan ini juga dapat menikmati kehidupan yang lebih selesa.

"Persepsi perumahan kos rendah adalah kawasan yang tidak bersih dan kurang diselenggara perlu dihakis kerana setiap rakyat Malaysia berhak menikmati kehidupan yang harmoni terutama dalam harta yang diguna bersama.

"Inisiatif bandar selamat yang diumumkan kerajaan harus juga meliputi kawasan perumahan kos rendah dan sederhana. Pihak berkaitan perlu lebih aktif dalam membantu kumpulan yang tidak mampu untuk membayar yuran pengurusan disebabkan keperluan lain yang lebih mendesak untuk penerusan hidup," katanya.

Faktor perlu diteliti kerajaan dalam membantu golongan terbabit ialah mengenal pasti pergerakan gaji yang perlahan di kalangan kumpulan B40 menyebabkan pendapatan yang terhad untuk kumpulan dalam menanggung beban membayar yuran strata ini sedangkan kos penyelenggaran semakin meningkat saban tahun.

Disiarkan pada: September 11, 2020 @ 7:00am
d