PnP

Rumah ideal empat beranak

Oleh Hafiz Ithnin

"WALAUPUN rumah ini harganya hampir sama dengan sebuah rumah baharu, tetapi saya berpuas hati kerana mementingkan komuniti sedia ada," jelas Mohd Hafiz Abu Hasan.

Mungkin bagi mereka yang ingin membeli kediaman pertama, rumah baharu menjadi pilihan, tetapi tidak pada Mohd Hafiz dan isterinya, lazelin Shamsuddin yang melihat rumah jenis sekunder mempunyai kelebihan tersendiri terutama aspek persekitaran seperti komuniti dan lokasinya yang strategik.

Pasangan itu membeli apartmen bersaiz sekitar 1,000 kaki persegi itu dengan harga RM412,000 pada 2018 yang terletak di Setapak, Kuala Lumpur dan merasakan ia juga suatu pelaburan yang baik.

Jelas Mohd Hafiz, rumah itu adalah milik bersama Iazelin yang mengambil masa kurang enam bulan sahaja untuk proses pembelian dan tidak mengalami kesukaran untuk mendapatkan pembiayaan daripada bank serta diuruskan ejen dengan baik.

"Mungkin bagi segelintir pembeli rumah pertama melihat rumah baharu menjadi keutamaan, tetapi saya dan isteri inginkan rumah yang sudah siap dibina dan boleh mendapatkan kunci dengan segera.

"Bukan kerana terburu-buru, tetapi apabila melihat kepada persekitaran harga pasaran hartanah yang semakin meningkat di kawasan ibu negara khasnya, tindakan melengahkan pembelian menyebabkan harga menjadi lebih tinggi dan umur kami berdua juga semakin meningkat," katanya.

Jelasnya, pemilihan rumah strata yang mempunyai saiz 1,000 kaki persegi itu juga dilihat ideal untuk keluarganya yang hanya mempunyai dua anak.

"Jika membeli rumah teres di ibu kota, pastinya harga yang dibayar kami itu tidak dapat dan memiliki rumah terlalu besar juga untuk kami tinggal hanya empat orang buat masa ini dilihat tidak sesuai.

"Jadi, kami melihat pembelian rumah perlu ideal dengan saiz keluarga dan kedudukan strategik untuk pergi ke tempat kerja juga penting kerana ia dapat mengurangkan kos pengangkutan harian," katanya.

Tambahnya, apabila membeli rumah sekunder sudah ada komuniti sedia ada dan mereka dapat meninjau terlebih dahulu cara pengurusan menguruskan rumah penduduk bagi memastikan apabila sudah membeli tidak timbul masalah yang disebabkan pihak pengurusan rumah.

"Bagi kami pengurusan rumah amat penting kerana jika sesebuah rumah strata tidak ditadbir dengan baik, ia boleh mendatangkan masalah kepada penduduk sendiri seperti kerosakan lif atau persekitaran yang kotor.

"Jadi sebelum membelinya, kami sudah 'merisik' dengan penduduk setempat mengenai cara pengurusan rumah mentadbir bangunan ini. Berbanding rumah strata baharu, kita tidak tahu cara pihak pengurusan mentadbir operasi bangunan kediaman," katanya.

Mohd Hafiz berkata, dia dan isteri juga mementingkan persekitaran kejiranan yang baik dan melihat rumah yang dibelinya mempunyai komuniti yang baik.

"Biasanya apabila tinggal di rumah jenis strata kita tidak mengenali jiran antara satu sama lain, tetapi di rumah yang dibeli saya dan isteri ini boleh dikatakan kejiranannya baik dan sentiasa bertegur sapa.

"Pastinya apabila menghuni sesebuah rumah kita mahukan suasana kejiranan kerana kita juga boleh menjadi sistem sokongan antara satu sama lain terutama membabitkan isu keselamatan rumah," katanya.

Mohd Hafiz berkata, jika ingin membeli rumah sekunder dia menasihatkan supaya membuat tinjauan terlebih dahulu keadaan rumah terutama menilai kos yang perlu dikeluarkan bagi kerja membaik pulih sekiranya terdapat kerosakan dalam rumah.

"Bagi rumah ini, saya mengeluarkan modal tambahan hampir RM10,000 bagi menambah baik sistem pendawaian dan membuat sedikit ubah suai mengikut cita rasa kami.

"Jika membeli rumah sekunder, tetapi perlu mengeluarkan belanja yang terlalu besar dilihat sebagai langkah pembelian yang merugikan kerana ia akan mengganggu aliran tunai yang lain," katanya.

Katanya, status rumah pegangan bebas juga menjadi faktor pembelian rumah itu kerana pada masa hadapan ia boleh menjadi aset pelaburan kepada mereka sekeluarga sekiranya berhasrat untuk memiliki rumah lain.

"Tambahan, rumah ini mempunyai kedudukan yang strategik iaitu dekat untuk ke pusat bandar raya, mempunyai akses pengangkutan awam dan paling utama ialah hampir dengan pelbagai laluan masuk ke lebuh raya memudahkan pergerakan kami untuk ke mana-mana," katanya.

Disiarkan pada: September 18, 2020 @ 7:00am
d