PnP

Peranan besar JMB

Oleh Nurul Husna Mahmud

Dalam memilih rumah untuk dimiliki membabitkan hartanah strata atau jenis bertingkat, jarang sekali orang meninjau atau mengambil kira aspek organisasi yang mengurus tadbir aset kawasan penempatan terbabit.

Sedangkan badan pengurusan ini mempunyai kepentingan tersendiri yang dapat menyuntik nilai pasaran hartanah di kawasan terbabit.

Peranan organisasi itu yang dikenali sebagai Badan Pengurusan Bersama (JMB) atau Perbadanan Pengurusan (MC) cukup penting dalam memastikan urus tadbir aset strata merangkumi kemudahan infrastruktur seperti lif dan kawasan komuniti.

Pengerusi JMB Abdullah Hukum, Kamarudin Kusan berkata, peranan pihak JMB yang berkesan dalam sesuatu kawasan boleh dilihat apabila mereka berkemampuan mengawal selia semua aset strata dalam keadaan baik.

Kata Kamarudin, tugas digalas pihaknya itu sangat kritikal, apatah lagi berdepan cabaran terutama peningkatan kos penyelenggaraan meningkat saban tahun selain tiada peningkatan kadar yuran penyelenggaraan dikenakan kepada penduduk.

"Peranan kami di JMB Abdullah Hukum sebenarnya tidak hanya mengurus tadbir aset strata yang ada, sebaliknya melangkau kepada kerja menjaga kebajikan komuniti.

"Dalam kawasan apartmen ini yang boleh dikatakan terdiri lebih 60 peratus golongan B40, menjadikan isu seperti kutipan yuran penyelenggaran membabitkan segelintir penghuni kurang berkemampuan satu cabaran perlu kami hadapi.

"Meskipun JMB mempunyai kuasa untuk mengenakan penalti atau mengambil tindakan bagi memastikan kelancaran dalam kerja urus tadbir aset yang ada, namun 'sejarah' hubungan yang panjang dengan penduduk memberi kekangan untuk mengambil tindakan seperti itu," katanya.

Justeru pihaknya terpaksa menjalankan pelbagai usaha selain pendekatan diplomatik bagi menangani pemilik unit yang culas melunaskan yuran penyelenggaraan, perancangan dan inisiatif lain perlu diteruskan supaya kawasan perumahan itu kekal pada keadaan terbaik.

"Satu cabaran lagi buat JMB Abdullah Hukum, kami terkeluar daripada menerima peruntukan perumahan awam. JMB perlu mencari inisiatif supaya dapat meningkatkan prasarana dengan bantuan komuniti termasuk agensi korporat sekitar.

"Jika bergantung kepada pendapatan kutipan yuran sekitar RM40,000 bagi menjaga kawasan yang memiliki lebih 600 unit rumah selain kawasan umum, ia tidak memadai apatah lagi ada vendor perlu dibayar setiap bulan. Ia termasuk kontraktor kerja membersih kawasan dan pengawal keselamatan antara perbelanjaan yang menelan kos tinggi," katanya.

Antara aspek membantu adalah menjalin erat dengan komuniti sekitar termasuk korporat dan pemimpin tempatan.

"Sebagai JMB kena kenal pasti kelebihan yang ada di kawasan perumahan itu, selain mempunyai rangkaian hubungan dengan pihak lain berdekatan bagi membentuk sokongan terutama membantu pengurusan infrastuktur kawasan penduduk.

"Di sini kami mempunyai dewan orang ramai, surau untuk mendirikan solat Jumaat bagi kemudahan penduduk dan orang yang bekerja di bangunan berhampiran selain padang serta taman permainan kanak-kanak untuk komuniti.

"Bagi nilai tambah seperti taman dan infrastruktur lain, kami bekerjasama dengan korporat dan pemimpin tempatan untuk merealisasikan kejiranan ini supaya harmoni dan memiliki persekitaran ceria serta indah,"katanya.

Keberkesanan peranan dimainkan setiap jawatankuasa JMB dilantik sendiri penduduk di mesyuarat agung tahunan setiap 15 bulan (sepenggal) dibukti dengan peningkatan kadar nilai hartanah dan sewaan di unit rumah kawasan terbabit.

Sementara itu, Pensyarah Fakulti Rekaan dan Senibina Universiti Putra Malaysia (UPM), Ar Wan Sofiah Wan Ishak mengakui peranan dimainkan badan pengurusan seperti JMB atau MC turut memberi impak kepada nilai hartanah.

"Sekiranya bangunan tidak diuruskan dengan baik ia memberi impak terhadap keselesaan serta imej bangunan.

"Nilai pasaran pasti akan terkesan. Kebolehan pihak yang menganggotai badan mengurus tadbir aset ini bukan hanya penting kepada pemilik, tapi juga penting kepada ekonomi hartanah.

"Pemilihan dan perlantikan jawatankuasa JMB atau MC hendaklah tepat memandangkan pengurusan bangunan memerlukan pengetahuan dan pengalaman. Sewajarnya, ia perlu dipilih melalui proses tertentu dan proses pemilihan hendaklah berdasarkan merit, dibuat oleh pihak yang arif.

"Persoalannya, siapakah yang lebih arif? Pihak berkuasa tempatan yang mempunyai kakitangan teknikal yang berpengalaman atau pihak penduduk yang pelbagai? Mana-mana pihak boleh mengambil tanggungjawab ini dengan syarat komitmen yang tinggi perlu diberi dan perlu ada orang yang fasih dalam menilai kebolehan JMB atau MC," katanya.

Tambah pakar itu lagi, dalam pengurusan aset strata berkesan, selain kakitangan berkaliber, beliau tidak menolak sistem pengurusan dan penyelenggaraan yang efisien dan jitu membantu aset strata terjaga dalam keadaan baik.

"Kakitangan pengurusan yang berkaliber dan perlu ada sistem pengurusan serta penyelanggaraan yang jitu dapat memastikan kerja mengurus aset strata lebih berkesan. Antara yang penting adalah manual sistem bangunan yang merangkumi inventori sistem, jadual penyelenggaraan, senarai pembekal dan juruteknik.

"Manual ini juga termasuk keperluan utuk merekod setiap kali penyelenggaraan, pembaikan atau pertukaran sistem dibuat untuk rujukan," katanya.

Wan Sofiah menyarankan supaya pemilik rumah juga mengambil cakna peranan JMB atau MC dalam membantu menjaga kejiranan dan kawasan sekitar perumahan berkenaan.

"Semangat kejiranan dan berfikiran sivik adalah penting dalam kalangan rakyat Malaysia secara keseluruhannya. Bagi penduduk di bangunan strata, mereka perlu tahu peranan JMB atau MC di kawasan perumahan mereka.

"Perlu ada platform bagi penduduk untuk berkongsi maklumat, pendapat dan cadangan untuk kepentingan bersama," katanya.

Disiarkan pada: February 25, 2022 @ 6:20am
d