WM

Pencuci mulut paling pantas

Oleh Siti Nadirah Hafidzin

Hidangan pencuci mulut yang mudah disediakan dan hasilnya lazat menjadi idaman setiap wanita terutama apabila menerima tetamu pada saat akhir.

Agar-agar antara juadah pencuci mulut yang tidak lapuk ditelan zaman dan bukan juga hidangan yang tular pada waktu tertentu saja.

Sejak zaman dulu lagi, agar-agar menjadi hidangan pencuci mulut paling mudah disediakan dan digemari setiap lapisan usia.

Bukan saja enak dimakan ketika sejuk, ia juga boleh disediakan dalam pelbagai perisa mengikut kehendak dan kegemaran masing-masing.

Mungkin ada yang menggemari agar-agar sirap, laici, coklat atau pandan. Apa yang pasti, kebanyakan kanak-kanak juga menggemari hidangan ini.

Hanya mengambil masa 15 minit, hidangan agar-agar boleh disediakan sesiapa saja tanpa perlu mempunyai kemahiran memasak.

Menurut suri rumah, Khamsiah Ahmad, sukatan rasa termasuk kemanisan agar-agar dan perisa yang dikehendaki boleh ditentukan individu itu sendiri.

"Hidangan agar-agar sering menjadi menu penyelamat sekiranya tidak mempunyai masa yang panjang untuk menyediakan juadah pencuci mulut.

"Hanya dengan modal yang rendah, agar-agar laici antara jenis juadah lazat yang dapat menarik minat semua. Ternyata hidangan ini sesuai untuk semua termasuk kanak-kanak kerana ia lembut dan enak," katanya.

Walaupun ramai yang sedia tahu mengenai langkah menyediakan agar-agar namun masih ada individu terutama golongan muda yang masih tidak pernah mencuba menyediakan hidangan pencuci mulut ini.

Khamisiah berkongsi resipi mudah yang boleh dilakukan sesiapa saja untuk menyediakan agar-agar laici lazat.

Disiarkan pada: February 9, 2018 @ 11:12am
d