WM

Talam ubi versi moden

Oleh Siti Zarinah Sahib

APABILA disebut kuih talam, biasa kita membayangkan kuih yang dikukus dengan dua warna berbeza iaitu putih di bahagian atas (santan), coklat atau hijau di bahagian bawah.

Ingin memberikan nafas baru dalam penyediaan kuih talam, Senior Cef De Parti Kafe Art Nest Hotel RHR, Selayang Nik Izmal Ismail menghasilkan kuih talam dalam bentuk yang lebih menarik dan mudah dimakan.

Menurut Nik Izmal, jika sebelum ini kuih talam disediakan di dalam talam pengukus, namun apabila dipotong kecil ia sukar diambil disebabkan bahagian atas terlalu lembut sehingga ia pecah dan hancur.

"Ingin menjadikan kuih tradisional ini mudah dimakan, saya menghasilkan resipi baru kuih talam ubi kayu seakan manisan moden. Namun cara memasaknya tetap sama menggunakan kaedah mengukus kemudian santan disimbah ke bahagian yang sudah siap dikukus tadi," katanya.

Ia lebih mudah dimakan kerana setiap bahagian akan dimasukkan ke dalam bekas kecil untuk dihidangkan kepada tetamu.

"Kuih talam versi moden ini nampak lebih menarik, tiada lagi masalah pecah atau bahagian atas terlalu lembut. Namun ia perlu dimakan menggunakan sudu kecil," katanya.

Tambahnya, kuih tradisi Melayu ini kini semakin mendapat perhatian disebabkan rasanya yang lemak dan manis. Ia turut menjadi hidangan utama dalam setiap majlis seperti minum petang, keraian atau kenduri kendara.

"Di hotel lima bintang ia turut menjadi hidangan kelas pertama di bahagian kuih-muih disebabkan rasanya yang 'klasik' dan sukar disediakan," katanya yang turut menunjukkan cara penyediaan kuih talam ubi kayu kepada pembaca Hati, Harian Metro.

RESIPI TALAM UBI KAYU

Bahan-bahan:

- 100g ubi kayu diparut halus

- 100g santan

- 30g gula merah dibancuh menjadi air gula

- 3g garam

- 5g tepung beras (dibancuh air)

1. BAHAN-BAHAN utama ubi kayu, gula merah, tepung beras, pandan, garam, santan dan air.

2. MASUKKAN ubi kayu yang diparut ke dalam bekas campurkan gula merah, dan garam.

3. KUKUS bahan tadi selama satu jam.

4. UNTUK kuah, masukkan santan ke dalam bekas.

5. PEKATKAN dengan tepung beras.

6. SETELAH bahan dikukus masak simbahkan dengan santan pekat tadi. Sedia dimakan sebagai pemanis mulut.

Disiarkan pada: April 17, 2019 @ 4:30am
d