WM

Minyak, besi 'mainan' setiap hari [METROTV]

Oleh Siti Zarinah Sahib

TEPAT jam 11 malam saat insan lain mulai lena, Suhaila Mohd Ridzuan, 30, memulakan tugasannya sebagai jurutera penyelenggaraan trek Transit Aliran Ringan (LRT), Rapid KL.

Sambil mengenakan pakaian seragam dan jaket keselamatan, wanita ini bersama 10 kakitangan terdiri daripada jurutera dan juruteknik bersedia menuju ke laluan LRT bermula di depoh Kelana Jaya Line.

Sebaik sistem elektrik dimatikan tepat 12.30 tengah malam, sambil menaiki kenderaan pelbagai guna yang di dalamnya terdapat peralatan menggerudi, mereka bersedia melakukan kerja menajamkan landasan atau menukarkan kayu yang menjadi penghubung landasan.

Sebagai jurutera wanita, sudah pasti tugasan dilalui Suhaila ini mencabar keupayaan fizikal, mental dan emosi namun sepanjang empat tahun bertugas dia sudah lali dengan minyak, besi, kayu serta gerudi yang menjadi permainannya setiap hari.

Kata wanita berkulit cerah ini, tiada apa yang perlu dirisaukan kerana sejak mendaftar masuk ke depoh Rapid KL di Subang Jaya, dia sudah didedahkan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang perlu diikuti.

“Jadi dalam apa juga pekerjaan sama ada dilakukan pada waktu siang atau malam, kami perlu mengutamakan keselamatan diri terlebih dulu. Pakaian perlu diutamakan termasuk memastikan peralatan dalam keadaan baik. Setakat ini tiada perkara buruk pernah berlaku,” katanya ketika di temui di pejabat Rapid KL, baru-baru ini.

Memulakan tugasan sebagai jurutera pada 2013 sebaik menamatkan pengajian di Universiti Tenaga Nasional (Uniten) dalam jurusan kejuruteraan sivil, selama dua tahun Suhaila mencari pengalaman dalam bidang pembinaan sebelum diterima sebagai kakitangan Rapid KL.

“Mulanya memang saya tidak tahu akan ditempatkan dalam jabatan penyelenggaraan dan melakukan tugasan berkaitan laluan LRT. Namun selepas diletakkan bersama kakitangan lelaki dengan hanya dua jurutera wanita, saya semakin bersemangat membuktikan boleh melakukannya,” katanya.

Kata ibu kepada seorang cahaya mata ini, membuang rasa malu, dia selalu bertanya kepada kakitangan yang lebih berpengalaman mengenai bidang tugas dan perkara yang kurang difahaminya. Bekerja dalam bidang ini tidak hanya bersandarkan teori semata-mata sebaliknya dia perlu turun padang melihat sendiri landasan dipasang, ditajamkan, ditukar kepada baharu atau diganti kayu di tengahnya.

“Memang ia sangat menguji ketahanan mental dan fizikal. Ini kerana bidang kerja saya bukan pada waktu pejabat sebaliknya ketika malam, sekurang-kurangnya 10 hingga 15 hari bagi memastikan proses penambaikan rel berjalan lancar dan disiapkan mengikut waktunya,” katanya.

Sebagai pekerja dia sangat bersyukur kerana rakan sangat memahami dan memberikan nasihat sekiranya Suhaila kurang mahir mengenai sesuatu. Tiada isu diskriminasi kerana mereka sama-sama bertanggungjawab ke atas keselamatan penumpang.

RELA KORBANKAN MASA

Empat tahun bergelar jurutera rel, Suhaila mengakui cabaran paling getir adalah bermain dengan masa. Jika dulu sebelum berkahwin, dia tidak perlu memikirkan tanggungjawab terhadap suami tetapi kini ada dua jiwa yang perlu diberikan perhatian. Untuk itu dia terlebih dulu berbincang dengan pasangan mengenai waktu kerja dan bidang tugas dilakukannya.

“Alhamdulillah suami memahami dan memberikan sokongan sejak hari pertama kami mengenali satu sama lain. Sebaik memiliki cahaya mata tumpuan perlu diberikan kepada si kecil pula. Apabila bekerja sehingga lewat pagi, suami membantu menjaga si kecil,” katanya.

Dia juga perlu berhati-hati apabila ditugaskan mengemudi laluan LRT. Setiap kali ada projek besar seperti menukar laluan rel yang jangka hayatnya di antara 15 hingga 20 tahun, persiapan perlu dilakukan selama sebulan. Ini termasuk melaksanakan sistem berjadual kawasan yang perlu diganti dan peralatan yang mencukupi.

“Ini kerana proses penggerudian mengambil masa termasuk melakukan sambungan. Ada kala ia memakan masa selama lima jam untuk menyudahkan satu bahagian landasan sahaja.

“Tepat jam 5 pagi kami perlu memberhentikan operasi kerana sistem LRT akan bermula pada jam 6 pagi. Namun dalam tempoh itu pemeriksaan perlu dibuat agar tiada masalah timbul sebaik LRT beroperasi sepenuhnya,” kata anak jati Melaka ini.

Bagi projek berskala besar, 20 jurutera dan juruteknik diperlukan bagi melakukan kerja mengangkat landasan, memotong dan menggerudi. Di sinilah kecekapan dan pengetahuan jurutera digunakan sepenuhnya.

Ditanya adakah pernah melalui kejadian seram ketika bertugas, sambil tersenyum dia mengakui ia perkara biasa bagi petugas malam. Ini kerana mereka melalui laluan yang panjang dalam suasana malam yang pekat. Jadi tidak mustahil makhluk ghaib muncul mengusik mereka.

“Pernah saya mendengar hilai tawa dan suara menangis mendayu ketika bertugas di satu stesen. Bukan saya seorang malah rakan turut mengalami perkara sama. Tiba-tiba suasana menjadi sejuk dan berangin diikuti derai tawa yang menjengkelkan. Kami hanya berdiam diri sambil mulut tidak putus membaca ayat al-Quran.

“Takut dan seram bersilih ganti, tambah pula pengalaman pertama. Kali kedua mengalaminya, saya seakan sudah lali. Asalkan ‘dia’ tidak muncul di depan dan mengganggu kerja-kerja kami,” katanya tersenyum.

Suhaila turut menasihati wanita yang ingin berkecimpung dalam bidang kejuruteraan rel supaya tidak malu dan bersedia berdepan cabaran. Industri rel semakin berkembang pesat malah Prasarana turut menyediakan akademi untuk kakitangan mendapatkan latihan serta ilmu dalam kerja penyelenggaraan rel.

Disiarkan pada: September 16, 2019 @ 5:15am
d