WM

Alahai cucu nenek!

Oleh Siti Nadirah Hafidzin

Jangan marah atau pukul cucu aku! Ala cucu nenek, mari sini dekat nenek!

Si ibu menjeling geram melihat kelakuan anaknya sedangkan nenek pula menyebelah si cucu. Tidak hairanlah jika ke rumah nenek, anak mula buat perangai kerana tahu ada yang akan ‘membelanya’.

Inilah antara sebab mengapa ada yang melabel anak dijaga datuk dan nenek akan menjadi nakal dan terlebih manja.

Jika diperhatikan, rata-rata ibu bapa kita dulunya bersikap tegas (dan garang) berubah menjadi sangat penyayang apabila mempunyai cucu, apatah lagi cucu pertama.

Dalam keadaan itu, si anak sering tersepit dan dipersalahkan kononnya terlalu tegas dengan anak walhal teguran yang dibuat demi kebaikan mereka.

Mahu melawan bimbang dikatakan anak derhaka, jika diikutkan

risau anak menjadi terlalu manja dan tidak boleh ditegur. Situasi itu akhirnya mencetuskan dilema yang sukar diselesaikan terutama sekiranya tidak diselesaikan dengan segera.

Azizah Kasim, 60, yang mempunyai 16 cucu berusia dua hingga 17 tahun tersenyum apabila diajukan persoalan ini.

“Saya menjaga empat cucu sejak mereka kecil dan tahu bagaimana perasaan menjadi nenek dan ibu.

“Kasih sayang itu tidak berbeza. Saya sayangkan anak-anak saya namun ada sesuatu yang sukar diluahkan apabila berdepan dengan cucu. Mereka ibarat air yang menyejukkan dan menenangkan hati,” katanya.

Ditanya adakah dia terasa hati apabila cucu-cucunya dimarah, Azizah berkata, bukan tidak suka namun ia lebih kepada perasaan tidak sampai hati terutama sekiranya kesalahan yang dilakukan itu kecil.

“Saya juga menegur anak-anak sekiranya terlalu garang namun saya cuba mengawal perasaan itu kerana tahu ia demi masa depan mereka (cucu).

“Saya memang tidak sampai hati memarahi cucu namun jika kesalahan dilakukan itu besar, saya memilih untuk menjauhkan diri sekiranya mereka sedang dimarah, apatah lagi jika dipukul kerana bimbang akan menyebelahi mereka,” ujarnya.

Tambahnya, dalam memanjakan dia tetap menegur sekiranya cucu-cucunya melakukan kesalahan namun tidak sampai memukul.

Berkongsi tip dalam menjaga keharmonian hubungan kekeluargaan atas sebab datuk dan nenek terlalu menyebelahi cucu, kaunselor keluarga, Zumasni Rajikin berkata, situasi itu sebenarnya sangat dekat dengan masyarakat kerana dialami lebih 50 peratus keluarga di negara ini.

“Sudah menjadi lumrah, ramai warga emas bergelar datuk atau nenek lebih menyayangi cucu. Bagaimanapun ia bukan bermaksud mereka tidak menyayangi anak-anak namun kaedah dan pendekatan yang dilalui itu berbeza antara anak dengan cucu.

“Ada beberapa kes di mana si anak meluahkan rasa bingung apabila kedua-dua ibu bapa (nenek dan datuk) sering campur tangan dan tidak membenarkan mereka bersikap tegas kepada cucu,” katanya.

Tambahnya, apabila situasi seperti itu terjadi, paling utama jangan mengambil tindakan tergesa-gesa kerana ia boleh diselesaikan dengan cara baik terutama bagi memastikan tidak ada hati yang terguris.

Zumasni berkongsi langkah sesuai yang boleh dilakukan apabila berdepan dengan dilema ‘manjakan cucu’.

1). Tegur anak bukan di depan ibu bapa

Perkara ini sangat penting demi menjaga hati ibu bapa, lumrah golongan berusia mudah tersinggung sekiranya berlaku sesuatu perkara yang tidak berkenan di hati mereka. Langkah terbaik tegurlah anak anda secara tertutup dan bukan di depan datuk dan neneknya.

2). Luangkan masa berbual mesra

Topik yang dibincangkan perlulah mengenai kekeluargaan, tanya juga kepada mereka (datuk dan nenek) cara terbaik yang sesuai dilakukan sekiranya si cucu melakukan kesalahan. Jangan tanya dengan nada memperli atau kurang ajar, sebaiknya gunakan suara lembut bagi mendengar sendiri pendapat mereka.

3). Beri peluang anak-anak tinggal bersama datuk dan nenek

Tidak salah menghantar anak tinggal bersama datuk dan nenek, contohnya pada hujung minggu atau cuti sekolah. Jadi datuk dan neneknya berpeluang melihat sendiri ‘perangai’ si cucu yang perlu ditegur.

4). Sentiasa ingatkan anak supaya berkelakuan baik

Setiap kanak-kanak tentu ada sikap nakalnya dan menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk menegur serta memperbetulkan kesalahan itu. Jadi sentiasa nasihatkan anak supaya berkelakuan baik dan jangan mengambil peluang di atas kebaikan datuk dan nenek itu untuk melakukan perkara yang anda larang.

5). Terima dengan hati terbuka ibu bapa anda sangat menyayangi cucu mereka

Tanyalah kepada mana-mana datuk atau nenek, jarang yang bercerita keburukan cucu walaupun hakikatnya kanak-kanak itu sememangnya nakal.

‘Biasalah, mereka budak-budak lagi’, antara ayat biasa yang diungkapkan apabila orang mengadu kesalahan si cucu. Semuanya dek rasa terlalu sayang datuk dan nenek kepada cucu yang memang menunjukkan layanan berbeza ketika mendidik anak sendiri.

Disiarkan pada: September 18, 2019 @ 5:20am
d