WM

Keselamatan anak dalam kenderaan

Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

KAJIAN Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) menunjukkan 58 peratus kematian kanak-kanak dan bayi di negara ini disebabkan kemalangan jalan raya dan kekurangan sistem keselamatan kanak-kanak menjadi faktor penyumbang yang serius kepada kematian.

Menggunakan tempat duduk kereta untuk kanak-kanak dan memasangnya dengan betul boleh mengurangkan risiko kecederaan maut sehingga 70 peratus.

Fakta ini jelas menunjukkan pentingnya kesedaran semua ibu bapa agar mula menitikberatkan penggunaan tempat duduk bayi dan kanak-kanak di dalam kereta bagi memastikan keselamatan mereka.

Mungkin ada antara kita yang biasa memangku atau meriba bayi di tempat duduk depan ketika si ayah memandu, tidak kurang juga yang membiarkan anak kecil duduk di bangku depan manakala ibu di belakang.

Ada juga yang membiarkan dua atau tiga anak duduk di depan bermain-main ketika ibu atau bapa memandu dan paling menyedihkan apabila melihat ibu atau bapa memangku atau meriba anak ketika memandu.

Baru-baru ini, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bersama Bosch Automotive Aftermarket melancarkan Bengkel Keselamatan Kereta dan Jalan Raya untuk Wanita ‘Heels & Wheels’ untuk mendidik wanita dengan pengetahuan penyelenggaraan kereta dan kepentingan sistem keselamatan kanak-kanak untuk menyelamatkan nyawa.

Bengkel itu antara lain bagi berkongsi ilmu penyelenggaraan kereta yang mudah untuk dipelajari pemandu wanita dalam sesi khusus mengenai kepentingan sistem keselamatan kanak-kanak (CRS) - kerusi kereta bayi dan kanak-kanak - termasuk kaedah pemasangan dan penggunaan yang betul.

Peserta bengkel, Sahila Abdullah, 34, berkata, dia menekankan penggunaan kerusi kereta buat dua anaknya sejak lahir sebagai langkah keselamatan.

Katanya, meskipun anak keduanya kini berusia enam tahun, dia masih memastikan anaknya itu duduk di kerusi kereta kanak-kanak sebagai persediaan jika berlaku perkara yang tidak diingini.

“Kita perlu biasakan dari awal lagi penggunaan kerusi kereta bayi dan kanak-kanak. Pada mulanya mereka akan meronta dan cuba melepaskan diri, tapi lama kelamaan akan jadi kebiasaan buat anak-anak,” katanya.

Bagi Siti Aishah Md Sallah, 35, penggunaan kerusi kereta kanak-kanak tidak boleh dipandang ringan dan dia menyambut baik tindakan mewajibkan penggunaannya tahun depan.

Ini kerana katanya, banyak kelebihan khususnya langkah keselamatan yang selalu menjadi perkara dianggap kurang penting bagi sesetengah ibu bapa.

“Sejak anak saya bayi, dia sudah dibiasakan dengan penggunaan kerusi kereta bayi apatah lagi saya memandu sendiri ke pusat jagaan untuk menghantarnya sebelum ke tempat kerja. Jadi, rasa lebih selamat berbanding membiarkan anak duduk saja di tempat duduk dalam kereta.

“Program ini bukan saja menimbulkan kesedaran dan membuka mata lebih ramai wanita terhadap kepentingan penggunaan kerusi kereta, malah mendidik kami mengenai pemanduan dan langkah keselamatan mengendali kenderaan.

“Saya menghantar sendiri kereta untuk diselenggara dan tahu apa yang perlu dibuat. Memandangkan kebanyakan masa suami saya bekerja di luar daerah atau negeri, mahu atau tidak saya perlu berdikari dalam memastikan kereta sentiasa dalam keadaan terbaik,” katanya.

Program yang dilancarkan Timbalan Menteri KPWKM, Hannah Yeoh dan dihadiri 60 kakitangan wanita dari Jabatan Pembangunan Wanita itu adalah antara inisiatif #BoschEmpowersWomen.

Ia juga sebahagian daripada kempen utama keselamatan kereta dan jalan raya ‘Drive for Life’ Bosch AA yang dilancarkan awal Mei lalu, sejajar dengan agenda kerajaan untuk mengurangkan kemalangan jalan raya di negara ini.

KEPENTINGAN KERUSI KERETA KANAK-KANAK

1. Kerusi kereta perlu diletakkan menghadap belakang untuk bayi baru lahir

Tidak boleh diletakkan menghadap ke depan kerana jika berlaku perlanggaran, impak akan menyebabkan bayi terdorong ke depan dan mungkin mencederakan atau menyakitkan tulang rusuk mereka yang belum matang.

Sebaliknya perlu diletakkan menghadap belakang kerana jika berlaku impak, bayi hanya akan tersandar ke tempat duduk mereka.

2. Tidak boleh pasang kerusi kereta pada kerusi penumpang depan.

Ini kerana impak pengaktif beg udara membawa maut kepada bayi.

3. Kenapa kerusi kereta begitu penting?

Bayangkan jika anda mendukung bayi berbanding menggunakan kerusi kereta, apabila ada impak, apa yang akan berlaku kepada bayi?

4. Bayi boleh mula menggunakan kerusi kereta dari lahir. Di pasaran terdapat pelbagai kerusi kereta untuk bayi dan kanak-kanak mengikut peringkat umur.

Disiarkan pada: September 25, 2019 @ 5:10am
d