WM

Bersenam ketika hamil

Oleh Aida Adilah Mat

LARANGAN wanita hamil bersenam kerana bimbang bayi dalam kandungan mengalami masalah atau si ibu mungkin berisiko keguguran adalah mitos semata-mata.

Tiada fakta perubatan membuktikan senaman boleh memudaratkan dan mendatang kesan sampingan kepada bayi yang dikandung.

Bagi Ellia Irniza Zakaria, 39, senaman ketika hamil adalah satu aktiviti sihat yang membantunya kekal cergas sepanjang tempoh kehamilan.

Katanya, biarpun usia kandungannya memasuki trimester ketiga, dia masih lagi melakukan senaman dengan berjalan pantas sejauh sekurang-kurangnya tiga kilometer setiap pagi sebelum ke pejabat.

Selain itu, dia yang pernah mencecah berat badan 92 kilogram turut mengamalkan aktiviti berenang dan berjoging sejak trimester pertama lagi.

Biarpun pada mulanya suaminya, Mohd Hasrul Hashim bimbang,

Ellia mengatakan dia tahu tahap kemampuan dirinya, malah turut mendapatkan pandangan doktor sebelum melakukan aktiviti senaman.

“Apa yang penting adalah kita tahu tahap kemampuan diri kita. Bersenam ikut kemampuan badan. Apa yang tidak boleh ialah jika seseorang itu tidak pernah bersenam, tetapi teringin bersenam ketika mengandung. Itu yang bahaya.

“Saya sudah biasa bersenam. Dalam seminggu, cuma sehari saya cuti bersenam, selebihnya saya akan melakukan senaman seperti berjoging atau ke gimnasium,” katanya.

Ditanya apa yang mendorongnya untuk terus kekal aktif, Ellina memberitahu, semuanya berpunca daripada masalah berat badan berlebihan yang dialami satu ketika dulu.

“Dulu saya berbadan besar. Tapi, sejak empat tahun lalu saya mula mengamalkan gaya hidup sihat. Saya amalkan pemakanan sihat, kurangkan pengambilan karbohidrat dan aktif melakukan senaman.

“Semuanya bermula apabila saya dapati sukarnya untuk mencari pakaian yang sesuai. Malah, kerjaya yang menuntut saya bertemu orang turut menjadi penggerak semangat untuk kurus.

“Bermula daripada situ saya nekad menukar gaya hidup. Berlari dan mendaki bukit sudah menjadi amalan harian. Ini sebabnya biarpun berbadan dua saya tetap meneruskan senaman seperti biasa,” katanya.

Ellia bagaimanapun tidak menafikan ada kala kata-kata netizen menyentap hatinya apabila ada pihak mempertikaikan kegiatan yang dilakukannya itu.

Namun, bagi Ellia sebelum dia melakukan apa-apa aktiviti dia terlebih dahulu mendapatkan pandangan pakar antaranya doktor dan jurulatih kecergasan selain banyak membaca maklumat kesihatan di Internet.

“Saya pernah bertanya kepada doktor adakah wanita hamil akan mengalami masalah jika terus bersenam namun doktor berkata tiada masalah jika kita sudah biasa melakukan kegiatan itu sejak sebelum mengandung.

“Bagaimanapun, ia perlu berpada-pada dan jangan keterlaluan seperti mengangkat bebanan yang berat. Lakukan senaman ringan seperti squad, plank atau lunges yang tidak memberi terlalu banyak tekanan kepada tubuh dan bayi dalam kandungan,” katanya.

Jelas ibu kepada tiga cahaya mata itu, dia pernah bertemu seorang jurulatih senaman aerobik yang tetap aktif sehingga akhir kehamilannya. Justeru baginya mengandung bukan alasan untuk berhenti bersenam jika biasa melakukannya.

Disiarkan pada: September 26, 2019 @ 5:10am
d