WM

Air tangan 'it's done'

Oleh Intan Mas Ayu Shahimi

‘IT’S DONE...’ Gemersik suara wanita ini setiap kali mengakhiri video masakannya di laman Instagram bagaikan membentuk satu fenomena baru di pentas media sosial.

Siapa tidak kenal dengan Eina Azman. Orangnya lembut, peramah dan cukup merendah diri. Pemilik nama sebenar Datin Paduka Ainur Syakina Azman, 24, ini mungkin agak jarang muncul di kaca televisyen sejak melahirkan pasangan putera puterinya, Karl Kareef dan Arianna Aubrey (tiga tahun).

Begitupun, Eina tetap aktif memuat naik pelbagai gambar menarik, berkongsi perkembangan diri, keluarga dan anak-anak, serta merekodkan aktiviti memasaknya di laman Instagram.

Berkongsi kegembiraannya di dapur, kata Eina, dia memang sengaja mengurangkan aktiviti seni sejak berkeluarga kerana mahu fokus kepada dua kembarnya.

“Selain menjaga keluarga, benda yang paling saya suka sekarang adalah dapur. Masak, masak dan masak. Mereka yang ikut Instagram saya tahu, kalau pergi mana-mana pun memang saya akan memasak.

“Walau melancong ke luar negara sekalipun, dapur tetap berasap. Saya suka ke dapur dan memasak. Tambahan suami juga suka masakan rumah.

“Jadi, setiap hari, sekurang-kurangnya sekali, mesti saya akan memasak. Selain suka makan, suami tidak jemu memberi sokongan dan dorongan,” katanya.

Menurut Eina, ketika awal usia perkahwinannya dulu, suami juga ada memberi komen. Namun dia bukan seorang yang mudah berputus asa dengan kritikan.

“Kalau suami kata tak sedap, saya akan belajar lagi sampai menjadi. Ada masanya, suami beri cadangan supaya saya masak hidangan mengikut cara yang disukai. Itupun saya jadikan pembakar semangat untuk terus belajar.

“Alhamdulillah, sekarang sudah semakin cekap. Walaupun belum pakar, tapi bolehlah kalau hendak menjamu orang makan. Tidaklah mereka sakit perut," katanya.

MINAT KE DAPUR

Tidak lengkap cerita jika tidak bertanya mengenai permulaan wanita ini ke dapur. Apalagi jika menilai daripada penampilan dan rupanya, tentu ramai tidak percaya wanita muda berstatus selebriti ini cukup selesa menyediakan juadah hasil air tangan sendiri.

“Sebenarnya, sejak kecil saya sudah biasa masuk dapur. Dalam umur 10 ke 11 tahun, saya suka menyibuk, tetapi mummy dan nenek selalunya tidak benarkan saya ke dapur sebab cuai.

“Asal masuk dapur, mesti ada saja yang pecah. Walaupun mereka bising, saya tetap masuk juga sebab rasa ingin tahu. Saya mahu belajar!

“Jadi, apabila mencapai usia 16 tahun, saya sudah boleh memasak. Hidangan pertama saya adalah ayam masak lemak cili padi. Ahli keluarga suka. Mereka kata, masih boleh belajar lagi dan asah kemahiran yang ada. Mendengar komen mereka, saya jadi berkobar-kobar untuk terus belajar,” katanya sambil ketawa.

Adat bermain di pentas media sosial, ada waktunya Eina tidak dapat lari daripada kecaman netizen yang suka melontar komen tidak menyenangkan terhadap cara masakan dan resipinya.

“Sebagai manusia biasa, tipulah kalau tak ada rasa kecewa, marah atau hendak berputus asa. Semua perasaan ini akan ada bila membaca kecaman netizen. Tapi itu semua hanya pada permulaan.

“Mula-mula dulu memang ramai yang kecam. Mereka kata ‘eh sepatutnya letak ini..kenapa letak itu? Eh, kenapa begini dan begitu. Banyak betul ‘eh’ yang keluar, buat perasaan jadi bercampur-baur.

“Tapi, bila berfikir balik, saya akan tenang. Kenapa harus fikir apa orang cakap, sedangkan setiap masakan itu berbeza? Air tangan juga berbeza. Kalau kita makan di restoran nasi kandar umpamanya, tentu rasanya berbeza antara satu dengan lain. Sebabnya, mereka gunakan perencah lain dan cara masakan juga berbeza.

“Masakan juga adalah sebahagian daripada cabang seni. Kita boleh masukkan apa yang dirasakan sedap dan keluarkan mana-mana yang difikir membuatkan makanan kurang sedap. Semuanya terpulang kepada yang memasak,” katanya yang turut popular dengan tanda pagar #carasayabyeinaazman dan #MAGGICukupRasa.

SPONTAN IT’S DONE

Mungkin ramai yang tertanya-tanya dari mana datangnya slogan ‘it’s done’ setiap kali wanita ini selesai memasak.

Kata Eina, dia tidak mengambil masa khusus mahupun merancang sebarang slogan untuk gambar atau video masakan yang dihasilkan.

“Ia terkeluar secara spontan. Sebenarnya, saya sudah gunakan sejak empat tahun lalu. Setiap kali habis memasak, saya akan kacau-kacau dan spontan sebut ‘it’s done...’

“Hanya dua tahun kebelakangan ini orang baru perasan. Mungkin dulu pengikut Instagram saya tidak ramai atau mereka tidak mengikut perkembangan video masakan yang saya muat naik. Sekarang, kalau sebut it’s done, orang akan tahu itu slogan Eina Azman,” katanya.

Tambah Eina, selain merakam video masakan untuk dihidangkan kepada suami dan tetamu yang bertandang, dia juga kerap bereksperimen dengan menu si kembar.

“Dua anak saya mempunyai selera makan berbeza. Anak perempuan suka nasi, yang lelaki suka pasta, spageti dan makanan barat. Saya seronok mempelbagaikan masakan untuk mereka.

“Memandangkan budak-budak memang cepat bosan dengan menu sama, saya akan ubah sikit-sikit. Sesekali, saya buat kelainan. Walaupun masih kecil, saya sudah mula ajar mereka makan sedikit pedas. Saya tidak mahu anak membesar jadi orang yang cerewet dan memilih makanan.

“Hendak memasak pelbagai hidangan tidak susah. Ada banyak cara ringkas yang boleh digunakan termasuk MAGGI Cukup Rasa. Ia melengkapkan rasa hidangan dan mempercepatkan proses memasak,” katanya.

Apapun, kata Eina, dia seronok merakam lebih banyak video masakan dan puas dapat berkongsi ilmu serta idea masakan dengan pengikutnya di Instagram.

“Saya buat video untuk memotivasikan lebih ramai wanita supaya mereka cuba memasak. Ramai yang kata memasak ini susah, tapi kita ada banyak cara mudah. Selagi tidak mencuba, kita takkan tahu,” katanya.

Disiarkan pada: September 30, 2019 @ 5:15am
d