WM

Seronok bergayut dalam gayat [METROTV]

Oleh Siti Zarinah Sahib

DUDUK dan bergayut selama hampir tujuh jam di sisi bangunan pencakar langit dengan tali sebagai penahan, memberi kepuasan kepada juruteknik akses tali, Aiza Faizin Mohd Rosli, 26, ketika melakukan kerja penyelenggaraan air serta aplikasi silikon bagi bangunan tinggi.

Lali dengan cuaca panas terik dan hujan, bagi wanita ini sepanjang menjalankan tugasan dia perlu teliti dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang disediakan bagi memastikan keselamatan diri ketika bertugas.

“Setiap pekerja perlu mengenakan pakaian set lengkap bagi melindungi kepala hingga kaki ketika melakukan kerja penyelenggaraan. Setiap padanan mesti memenuhi piawaian dalam sektor industri terutama sarung tangan, kasut dan topi keselamatan,” katanya.

Memiliki Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Ladang, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, menurut Aiza, dia langsung tidak menyangka bakal bergelar wanita pendaki bangunan sebaik menamatkan pengajian pada 2014.

Malah ketika menyuarakan keinginannya, keluarga membantah. Namun selepas dijelaskan apa yang dia lakukan akhirnya mereka mula menerima.

Seorang yang gemarkan aktiviti lasak ketika di sekolah, kata wanita kelahiran Kedah ini, pada mulanya dia diperkenalkan rakan yang bekerja dalam bidang sama.

“Teruja ingin mencabar diri, saya menyatakan keinginan mencuba. Alhamdulillah, saya diterima bekerja selepas menjalani sesi temu duga di syarikat Anas Consultancy & Services,” katanya.

Oleh kerana tidak mempunyai pengalaman dan latihan dalam bidang pendakian menggunakan tali, Aiza perlu menjalani latihan sebelum dibenarkan berada di lokasi sebenar.

“Latihan pertama amat mendebarkan. Saya dibawa ke bangunan 53 tingkat bersama pekerja senior. Saya dapat rasakan hormon adrenalina meningkat saat badan diangkat menggunakan tali ke setiap tingkat. Ia cukup memberikan kepuasan dan inilah yang saya inginkan,” kata Aiza mengimbau kenangan ketika mula bekerja.

Katanya, kerjaya itu menguatkan lagi kebergantungannya kepada Allah SWT.

“Tipu jika saya kata tidak gayat dan takut ketika bekerja. Apabila melihat ke bawah, nampak betapa kecil dan kerdilnya kita. Bangunan, kenderaan dan manusia ibarat semut ukurannya. Pandang ke kanan, kiri dan atas, menyelinap dalam hati betapa agungnya Allah.

“Walau sebanyak mana usaha kita, akhirnya Allah juga yang menentukannya. Inilah yang saya belajar iaitu tawakal dan berserah kepada-Nya,” kata Aiza ketika di temui di pejabatnya di Seri Kembangan, Selangor.

KERJAYA 3D

Menceritakan lebih lanjut bidang tugas sebagai juruteknik akses tali, menurut Aiza, ramai menyangka pekerjaannya hanya membabitkan kerja mencuci bangunan. Ia mentaliti biasa yang terima, namun sebenarnya skop pekerjaan ini sangat meluas.

“Juruteknik akses tali sering dikelaskan sebagai 3D iaitu Kotor, Berbahaya dan Sukar kerana tugasan membabitkan kerja pembersihan, mengecat, kerja elektrikal serta pemasangan paip di tempat tinggi.

“Cuci bangunan cuma satu daripada tugasan mengikut permintaan sedangkan dalam bidang ini, kami dilatih dengan pelbagai kemahiran seperti memasang bendera, mengecat dan memasang aplikasi silikon bagi bangunan tinggi,” katanya.

Untuk menjadi tenaga kerja profesional mahir, Aiza perlu mengikuti sesi latihan di lapangan sebenar dan dalam bangunan bagi membolehkan pekerja sentiasa mendapat kemahiran terkini dari semasa ke semasa.

“Latihan berterusan diberikan agar kami sentiasa bersedia berhadapan dengan sebarang kemungkinan ketika berada di atas. Biasanya cabaran membabitkan cuaca seperti hujan dan kilat.

“Sekiranya cuaca tidak mengizinkan kami akan menghentikan kerja dan masuk ke dalam bangunan. Inilah persediaan yang perlu dilakukan untuk mengelak perkara yang tidak diingini,” ujarnya.

Walaupun dikelilingi ramai pekerja lelaki dengan hanya dua wanita, dia langsung tidak terpinggir malah rakan memberikan kerjasama apabila diperlukan.

“Mereka (rakan sekerja lelaki) suka menyakat kami. Namun kami seperti adik-beradik yang bekerja dalam satu pasukan. Apa yang kurang mereka akan bantu tanpa mengira jantina,” katanya yang baru setahun bergelar isteri.

Bagi Aiza, galakan suami menjadi pendorong utama untuk meneruskan pekerjaan dalam lapangan ini.

Disiarkan pada: October 21, 2019 @ 5:30am
d