WM

Jasamu dikenang

Oleh Hamizah Badiran

PENGASAS dan Presiden Persatuan Disleksia Malaysia, Sariah Amirin, 75, dinobatkan pemenang utama Anugerah Ikon Pesara (AIP) berdasarkan pencapaian dan sumbangannya kepada pembangunan diri kanak-kanak disleksia di negara ini.

Kemenangan itu menyaksikan Sariah membawa pulang pakej pelancongan bernilai RM15,000, wang tunai RM3,000, sijil dan plak penghargaan.

Anugerah julung kali diadakan itu berlangsung meriah pada Karnival Rasa Sayang 2019 (KRS) anjuran Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) di pekarangan Stadium Shah Alam, baru-baru ini.

Penganugerahan berkenaan selayaknya diterima Sariah yang amat berdedikasi dan tidak pernah putus asa memberi kesedaran kepada ibu bapa serta sokongan tidak berbelah bahagi terhadap anak disleksia.

Sariah berkata, ibu bapa tidak seharusnya berasa malu ataupun sedih sekiranya dianugerahkan anak disleksia kerana ia bukan penyakit, tetapi keadaan apabila kanak-kanak mengalami masalah pembelajaran.

“Ibu bapa juga tidak patut menyalahkan anak sekiranya mereka tidak memahami ataupun bertindak lambat apabila mendapat arahan, tetapi perlu sentiasa mendorong dan memberi semangat demi kemajuan anak mereka.

“Mereka mungkin kurang mahir dalam akademik, tetapi sebenarnya amat cekap dalam bidang kemahiran jika diberi pendedahan yang betul.

“Peka keadaan kesihatan merangkumi fizikal dan mental anak serta bertindak segera sekiranya perasan anak anda istimewa berbanding yang lain dengan menemui pakar,” katanya.

Antara sumbangan Sariah selepas bersara daripada sektor awam adalah membangunkan program pemulihan intensif selama tiga bulan untuk membantu kanak-kanak disleksia membaca.

Beliau seterusnya membuka 15 pusat disleksia di seluruh Malaysia dan menerbitkan satu set 10 buku disleksia dalam bahasa Malaysia untuk tahap permulaan yang digunakan di sekolah disleksia di seluruh negara.

Selain itu, satu inisiatif yang dianjurkan oleh Sariah ialah kursus kaedah pengajaran untuk ibu bapa supaya mereka lebih bersedia membantu anak disleksia ketika di rumah.

Beliau turut berharap pesara lain dapat menyumbang kembali kepada masyarakat di samping mencapai impian mereka sendiri.

“Saya sangat meminati bidang pendidikan dan peluang bekerja dengan kumpulan disleksia banyak membantu saya untuk kekal aktif sepanjang tempoh persaraan.

“Saya berharap pesara lain akan terus aktif dengan pelbagai aktiviti yang menarik minat mereka dan pada bila-bila masa sahaja kita berpeluang untuk menyumbang semula kepada masyarakat serta harus melakukannya dengan bersungguh-sungguh,” katanya.

Sementara itu, penganjuran AIP turut mendapat sokongan Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia dan hadiah kepada pemenang disampaikan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan merangkap Pengerusi KWAP, Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir. Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif KWAP, Syed Hamadah Syed Othman.

Menurut Syed Hamadah, penganjuran karnival itu adalah kesinambungan inisiatif pendekatan menyeluruh dalam menggalakkan persediaan persaraan dan penuaan aktif.

Katanya, inisiatif itu direka berdasarkan lima tunjang utama untuk persaraan yang aktif dan bermakna daripada segi kewangan, kesihatan, persekitaran, psikologi dan sosial.

“KRS adalah usaha berterusan kami untuk memperkasa kehidupan golongan bakal pesara dan pesara supaya bersedia melalui alam persaraan dengan bermakna dan aktif,” katanya.

Kira-kira 40 penaja, rakan kongsi dan peserta pameran menyertai karnival yang berlangsung selama dua hari itu. Ia turut menampilkan personaliti tempatan seperti Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah, Datuk Zainal Abidin, Datuk Rosyam Nor, Datuk Fazley Yaakob, Amy Search, Dina Nadzir, Adi Fashla dan Kevin Zahri.

Disiarkan pada: October 21, 2019 @ 5:15pm
d