WM

Badan langsing dengan mesin senaman unik

BERSENAM dua atau tiga kali seminggu mungkin kedengaran berat bagi sesetengah wanita, apalagi jika diajak melakukan aktiviti kecergasan setiap hari. Satu hal yang kerap dijadikan alasan adalah kekangan masa.

Kekangan masa untuk bersiap, memandu ke gimnasium, berebut tempat letak kereta, semuanya dianggap leceh dan membazir masa serta wang. Oleh itu, bila agaknya impian bertubuh cantik sempurna dapat direalisasi?

Baru-baru ini pengeluar peralatan kesihatan dan kesejahteraan, OSIM (Malaysia) Sdn Bhd membawa budaya alternatif untuk senaman kreatif lagi menyeronokkan, khusus buat mereka yang malas keluar bersenam.

Ketika memperkenalkan OSIM uDance, Pengurus Besar OSIM Malaysia, Chia Sook Fun berkata, mesin senaman unik itu direka meniru pergerakan pinggul semasa menari.

“Pergerakannya yang mendatar mengikut angka 8 membantu membentuk badan langsing, sihat dan cantik. Ia pergerakan popular dalam senaman melangsingkan tubuh di Jepun dan Korea.

“Apa yang pengguna perlu lakukan hanyalah duduk di atas kerusi ini dengan tetapan yang dipilih. Mereka boleh menari, meregangkan badan, melakukan tendang tinju atau senamrobik mengikut rentak muzik sambil mengekalkan keseimbangan tubuh di kerusi yang bergerak.

“Ini boleh dilakukan di rumah pada bila-bila masa, sambil menonton televisyen, melayan kerenah anak, bersantai bersama keluarga atau mungkin ketika sibuk membaca,” katanya.

Jelasnya, banyak manfaat diperoleh menerusi tarian, terutama dalam pergerakan yang membabitkan seluruh anggota tubuh.

“Kajian menunjukkan menari dengan kerap dapat meningkatkan tahap kesihatan jantung dan fungsi paru-paru. Ia juga boleh membantu meningkatkan kecergasan aerobik, menguatkan otot dan membentuk tubuh langsing.

“Biarpun demikian, tidak ramai yang berkesempatan mengambil bahagian dalam senaman seperti ini. Kebanyakan kita menjalani gaya hidup yang sibuk dan sukar meninggalkan pejabat tepat pada masanya untuk menghadiri kelas kecergasan.

“Lebih teruk, laporan jabatan perangkaan juga mendedahkan waktu purata bekerja seminggu di Malaysia ialah 45.5 jam. Ia menunjukkan bahawa separuh daripada kita hari ini bekerja selama 48 jam seminggu atau melebihi lapan jam sehari. Jadi, sebab itulah kita perkenalkan OSIM uDance,” katanya.

Disiarkan pada: October 22, 2019 @ 5:30am
d