WM

Bersenam tidak lagi membosankan [METROTV]

Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

RAMAI mengetahui latihan senaman konvensional boleh jadi sangat membosankan.

Melakukan latihan yang sama setiap hari mungkin mampu menurunkan tahap kecergasan seseorang.

Kemunculan rutin tarian seperti zumba jauh berbeza daripada latihan konvensional dan sangat menyeronokkan, mudah serta menarik sehingga anda dapat menikmatinya selama berjam-jam.

Apatah lagi tarian ini dilaksanakan secara berkumpulan sebagai platform terbaik untuk peserta mengeratkan hubungan sambil bersenam dan menambah kenalan baharu.

Selain itu, ketika melakukan lenggok gerakan tarian ini, tubuh akan banyak mengeluarkan kalori daripada proses pembakaran lemak sehingga menyebabkan penurunan berat badan lebih cepat.

Semakin ramai yang menjadikan tarian kecergasan sebagai rutin menurunkan berat badan yang secara tidak langsung membebaskan mereka daripada penyakit berbahaya.

Menyedari kesedaran mengenai gaya hidup sihat melalui tarian semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat, studio tarian Funky Fresh Studio menganjurkan program tarian Funky Fit Fever 2019 di Stadium Chin Woo, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Program menggabungkan tarian kecergasan zumba dan hip hop itu menarik minat lebih 400 peserta pelbagai peringkat umur dan menariknya, ia turut disertai masyarakat berbilang bangsa.

Program itu turut mendapat sokongan jurulatih antarabangsa iaitu Zes Prince Paltu yang sememangnya terkenal dalam tarian zumba selain penyertaan wakil peserta luar negara antaranya Brunei, Indonesia dan Filipina.

Pengarah Urusan Funky Fresh Entertainment Network Siti Hadzrah Abd Rahim berkata, aktiviti tarian untuk kecergasan semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat. Oleh itu, program itu diadakan khusus untuk mempromosi kesihatan dan kecergasan melalui tarian.

Katanya, tarian bukan saja dapat menjadi rutin senaman yang menarik malah memupuk budaya hidup sihat saat negara berdepan kadar rakyat mengalami obesiti yang semakin meningkat setiap tahun.

“Diiringi muzik rancak, tarian boleh dilakukan dengan lebih menyeronokkan dan secara tidak langsung menjadikan rutin senaman tidak lagi membosankan apatah lagi apabila disertai rakan dan ahli keluarga.

“Aktiviti kecergasan menjadi keutamaan dalam membentuk masyarakat sihat selain teknik senaman berubah dari semasa ke semasa,” katanya.

Peserta, Shaidatul Bakish Herman, 49, berkata, faktor umur bukan alasan untuk wanita menjadikan aktiviti kecergasan sebahagian rutin harian.

Malah, katanya, pada usia sebeginilah sepatutnya perlu terus aktif untuk mengekalkan kesihatan apatah lagi dia juga pernah berdepan saat getir berjuang sebagai pesakit kanser tujuh tahun lalu.

“Saya sedar hanya dengan amalan dan gaya hidup cergas boleh mengembalikan diri saya semula selepas bertarung dengan kanser.

“Tambahan pula gen kanser daripada ibu antara faktor risiko yang saya lupa dan abaikan. Saya teruskan gaya hidup kurang sihat hinggalah saya diserang kanser.

“Sebaik saja habis pusingan kemoterapi dan radioterapi, saya ubah gaya hidup sepenuhnya seolah-olah kemunculan diri saya yang baharu dengan memastikan badan sihat, gembira dan positif,” katanya.

Disiarkan pada: October 24, 2019 @ 6:01am
d