WM

Urutan meletup naik seri wajah [METROTV]

Oleh Siti Nadirah Hafidzin

TIDAK dinafikan solekan mempunyai peranan tersendiri terutama dalam membawakan aura menawan pada wajah.

Disebabkan itu, ramai wanita menjadi lebih taasub bersolek kerana diyakini mampu menutupi segala kekurangan dan cela pada wajah hinggakan ada yang bersolek sepanjang masa kecuali ketika tidur.

Apabila ditanya, ramai yang memberi alasan sudah terbiasa, selain tidak yakin berhadapan orang ramai dengan wajah polos tanpa solekan.

Hakikatnya, kulit wajah setiap individu itu memerlukan ruang untuk bernafas tanpa sebarang calitan solekan.

Jangan takut tampil tanpa solekan, percaya dengan kecantikan semula jadi dimiliki kerana setiap wanita itu dilahirkan dengan keistimewaan tersendiri.

Menyentuh mengenai kecantikan semula jadi, masih ramai wanita era kini yang mengabaikan kaedah penjagaan kecantikan tradisional seperti urutan seri wajah yang sebenarnya lebih memberi manfaat tanpa kesan membimbangkan.

Juruterapi kecantikan dan kesihatan bertauliah yang menjalankan Sha Homespa, Nor Shahida Mohd Tarmizi berkata, teknik urutan wajah hingga ke bahagian kepala yang dinamakan urutan meletup itu sebenarnya bukan saja untuk melegakan tekanan harian, malah pada masa sama melancarkan peredaran darah di seluruh wajah termasuk di kepala.

“Apabila darah berjalan lancar, seri wajah individu terbabit secara automatik lebih terpancar dan dalam masa sama mengurangkan kedutan. Wajah yang sering diurut dan dibelai juga sebenarnya mempunyai perbezaan ketara kerana ia lebih anjal, berseri dan kelihatan cantik semula jadi tanpa memerlukan solekan tebal.

“Atas sebab itu, setiap wanita dinasihatkan supaya menitikberatkan penjagaan wajah melalui urutan yang memberi banyak manfaat kepada diri bukan saja kecantikan, malah kepada kesihatan berbanding penggunaan lambakan produk kecantikan di pasaran,” katanya.

Kata Nor Shahida yang juga antara tenaga pengajar kelas urutan tradisional, refleksologi juga rawatan ibu berpantang di Akademi QB Beaute Spa , urutan wajah untuk menaikkan seri itu juga mengeluarkan angin yang di ada di sekitar kepala dan wajah sebenarnya boleh dilakukan sendiri di rumah dengan bantuan suami, anak atau adik-beradik dalam tempoh yang singkat.

“Langkah urutan juga tidaklah terlalu sukar, luangkan masa sekurang-kurangnya sekali dalam seminggu untuk mengurut wajah anda bagi mendapatkan hasil diidamkan.

“Sekiranya berkemampuan dan mempunyai masa, tidak salah melakukan urutan itu di pusat kecantikan atau dilakukan individu terlatih kerana hasilnya lebih memuaskan, wanita yang berminat juga boleh belajar kaedah urutan berkenaan,” ujarnya.

Nor Shahida berkongsi langkah demi langkah melakukan urutan seri wajah hingga ke kepala (urutan meletup) khusus untuk menaikkan seri sekali gus melegakan sakit kepala.

Disiarkan pada: October 29, 2019 @ 5:10am
d