WM

Pesanan nenek segar diingatan

Oleh Siti Zarinah Sahib

CEMBURU melihat kegigihan arwah nenek bercucuk tanam sehingga memiliki kebun sayur mini di belakang rumah mendorong Nurul Shahida Fitri Mahammud, 24, melakukan perkara sama apabila berpindah ke rumah sendiri.

Pesanan arwah neneknya agar berbudi kepada tanah kerana hasilnya sangat berbaloi masih segar di ingatan dan itulah yang menjadi penguat semangatnya untuk mula bercucuk tanam.

“Masih terngiang-ngiang di telinga kata-kata arwah nenek supaya saya berbudi pada tanah kerana kita akan mendapat hasil yang tidak disangka-sangka. Memang benar apabila saya mula menanam satu pokok ia mula bertambah kepada dua dan seterusnya,” katanya.

Menurut Nurul Shahida, pada asalnya dia hanya menggunakan barangan kitar semula seperti botol, plastik dan besen sebagai tempat penanaman manakala tanah dan baja diperoleh di nurseri dengan kos RM20.

Oleh kerana bergelar suri rumah sepenuh masa, dia memahami kesukaran wanita apabila perlu menyediakan bahan herba dalam masakan, namun tiada stok di rumah.

“Kebiasaannya sayur herba ini hanya diperlukan sedikit saja dalam masakan. Namun jika tiada ia akan menjejaskan rasanya. Misalnya daun pandan dalam nasi lemak atau pengat akan memberikan aroma yang enak,” katanya.

Memikirkan sayuran herba yang banyak kegunaannya membuatkan wanita ini mula menanam kesum dan pandan yang benihnya diambil dari kawasan paya di rumah neneknya.

Kemudian ditambah kepada pokok lain seperti kari, pegaga, serai, periuk kera dan kunyit.

Kebanyakan tumbuhan ini memang senang hidup, asalkan cukup air dan cahaya matahari sudah pasti ia subur.

“Cuma ada juga pokok yang sukar tumbuh seperti pegaga liar. Saya pernah cuba menanamnya berkali-kali, tetapi tidak berhasil. Tidak tahu di mana salahnya,” katanya.

Jika dulu arwah nenek menjadi sumber inspirasi Nurul Shahida, kini suami dan anak menjadi pendorong utamanya.

Tambahan pula sekarang dia hamil anak kedua dan sering mengalami alahan menyebabkan suami dan anak membantu menyiram, membaja serta menggemburkan tanah tanaman.

“Anak saya pula pantang nampak saya atau suami membelek-belek pokok pastinya dia turut membantu menyiram dan membaja tumbuhan,” katanya.

Menurut Nurul Shahida dia sering melakukan aktiviti menyiram pada sebelah petang, membaja pokok tiga kali seminggu dan menyembur racun serangga organik seminggu sekali dengan bantuan anak dan suami..

Katanya, sejak berkebun banyak kos dapat dijimatkan. Dia juga dapat mengajar anak mengenai jenis sayur-sayuran dan pentingnya memulakan tabiat makan sayur.

“Saya nasihatkan wanita supaya mula menanam sayur-sayuran kerana banyak kebaikannya. Selain menjimatkan saya dapat mendidik anak sejak awal pentingnya pengambilan sayur hijau terutama yang tiada bahan kimia. Pada masa sama berkebun menjadi terapi menenangkan sekiranya dalam keadaan tertekan,” katanya.

Disiarkan pada: November 1, 2019 @ 5:10am
d