WM

'Pantau pelajar dibuang sekolah' [METROTV]

Oleh Intan Mas Ayu Shahimi

‘ANAK remaja di ibu kota bukan setakat ponteng. Mereka tidak datang terus ke sekolah. Mereka melepak di kafe siber dengan baju biasa.

‘Ada kes yang saya jumpa, pelajar perempuan ponteng sekolah, naik motosikal ikut kawan lelaki yang dikenali menerusi media sosial. Kemudian terus tak balik’.

Itu antara kandungan mesej diterima daripada guru, Mohd Farez Atan petang kelmarin. Guru sekolah menengah di Sentul, Kuala Lumpur ini aktif membantu remaja bermasalah sekitar kawasannya untuk kembali ke dalam jaringan masyarakat.

“Hari ini saya memantau peperiksaan. Ada dua nama sampai di tangan. Saya dimaklumkan pelajar perempuan lari dari rumah manakala yang lelaki tak mahu datang dah.

“Kadangkala hendak salahkan ibu bapa, mereka pun tidak tahu. Majoritinya bekerja dan susah hendak memantau pergerakan anak. Tapi ada juga yang sambil lewa saja terhadap kehadiran anak ke sekolah.

“Saya ada pelajar tingkatan satu yang ibunya sendiri minta anaknya berhenti sekolah untuk bekerja. Ada juga pelajar yang memang ponteng sehingga dibuang sekolah. Hendak merayu semula, mak ayah beri alasan malas sebab melecehkan,” katanya.

Jelas Mohd Farez, dia sudah lali berjumpa ibu bapa pelajar ponteng. Ada yang memberi alasan sudah penat menasihat, tidak kurang yang tidak mahu memaksa kerana takut anak memberontak.

“Saya percaya undang-undang Malaysia tidak cukup ketat dalam mengambil tindakan ke atas ibu bapa yang melanggar hak anak untuk mendapat pendidikan.

“Mereka yang sudah dibuang sekolah sepatutnya dikumpulkan nama dan dipantau untuk tindakan susulan. Dalam setahun, ada beberapa kali pihak sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Rela dan polis bekerjasama untuk operasi ponteng.

“Kami tangkap pelajar di kafe siber dan panggil ibu bapa untuk jemput anak pulang. Tahun lalu, kami buat ujian air kencing sekali. Ada yang dikesan positif dadah. Itu tidak termasuk yang menghidu gam,” katanya.

Penulis juga pernah menyaksikan senario tidak menyenangkan ketika berjumpa Mohd Farez awal tahun lalu. Ibu pelajar yang ditegur kerana anaknya tidak ke sekolah hanya tersenyum. Wanita itu kemudian memberi alasan anaknya malas belajar dan tidak mahu memaksa.

PONTENG ISU LAPUK

Bagaimanapun, remaja ponteng sekolah bukan lagi isu baharu. Kalau dulu puncanya lebih terarah kepada kekangan ekonomi keluarga, hari ini isu ponteng dicerminkan sebagai barah dalam masyarakat.

Bermula dengan era munculnya kafe siber, pusat hiburan keluarga, karaoke ‘jamban’, penularan budaya rempit, bohsia-bohjan dan pelbagai aktiviti tidak sihat lain, individu yang menerjah ke usia remaja akan dilabel golongan bermasalah.

Ibu bapa dipersalahkan kerana tidak bijak mendidik anak dari rumah, guru di sekolah dihentam kerana mendenda pelajar yang melakukan kesalahan, manakala masyarakat pula dituduh tidak peka dengan keinginan remaja.

Ironinya, isu ponteng tidak pernah selesai dengan sikap saling menuding jari, bahkan semakin berkembang seiring peredaran masa, zaman serta teknologi.

Menurut Pakar Motivasi Remaja dan Ibu Bapa, Fauziah Sirat, isu ponteng sekolah lazimnya timbul berasaskan dua sebab. Sama ada berkaitan keengganan pelajar ke sekolah atau hubungannya dengan sekolah.

“Remaja adalah sumber terpenting masyarakat. Pelaburan pendidikan dan kesihatan untuk usia ini biasanya akan membantu usaha membentuk remaja menjadi calon dewasa yang produktif.

“Mereka adalah juara, ejen perubahan dan suri teladan. Kalau kita melihat dari perspektif yang lebih luas, cabaran remaja hari ini lebih besar. Mereka berdepan perubahan ekonomi, ledakan informasi, tuntutan kemahiran dan pendidikan era baharu serta gejala sosial.

“Sebagai ahli masyarakat, perkara paling utama yang boleh kita lakukan adalah mengubah pandangan stereotaip terhadap remaja.

“Bina persekitaran yang ‘memberi kuasa’ kepada mereka untuk menonjolkan potensi diri dan hapuskan label remaja jahat, bermasalah, rempit dan sebagainya,” katanya.

PERBAIKI DUA PUNCA

Kata Fauziah, keengganan pelajar ke sekolah hari ini boleh berpunca daripada rasa rendah diri, takut dibuli atau ejek, sukar menyesuaikan diri dengan persekitaran sekolah atau mungkin wujud konflik di rumah.

“Masalah di rumah perlu disantuni dengan bijak. Ada pelajar yang terpaksa berkorban masa untuk menjaga adik atau menolong ibu berniaga.

“Ada juga yang ponteng kerana lemahnya ikatan anak dengan sekolah itu sendiri. Sekolah tidak menarik, tiada aktiviti yang menyeronokkan, mereka tidak faham apa yang diajar, kerap dimarahi guru dan sebagainya.

“Jadi, apabila tidak seronok, dia akan keluar ke tempat yang lebih menyeronokkan. Tempat yang lebih mudah ‘mengenyangkan’ emosi berbanding akal mereka.

“Hal ini terjadi berikutan fitrah remaja itu sendiri yang bahagian otak depannya masih belum berkembang sempurna. Jadi, mereka lebih banyak dipengaruhi tindakan emosi berbanding akal,” katanya.

PUNCA REMAJA PONTENG

1. Keengganan ke sekolah (POSITIF)

- Tidak mahu ke sekolah atas rasa tanggungjawab peribadi sebagai anak.

- Datang daripada keluarga susah, dibesarkan ibu atau bapa tunggal dan mempunyai adik-beradik ramai.

- Rasa tanggungjawab sebagai anak lebih kuat dan sanggup menjaga adik-adik yang masih belum sekolah.

- Memilih mengambil alih tanggungjawab ibu bapa untuk menjaga adik.

- Cenderung memberi keutamaan kepada keluarga.

- Ibu bapa sakit atau memerlukan sokongan.

- Besar kemungkinan mahu bersekolah, tetapi tuntutan keluarga mengatasi tuntutan untuk ke sekolah

Masih boleh dibantu (NEGATIF)

- Enggan ke sekolah disebabkan pengaruh kawan.

- Tiada rasa tanggungjawab terhadap keluarga.

- Mengutamakan keseronokan.

2. Hilangnya ikatan antara diri anak dengan sekolah

- Berlaku apabila remaja berasakan sekolah tidak menawarkan sesuatu yang mampu membangunkan emosi dan keseronokan.

- Cenderung untuk ponteng dan lari dari sekolah.

- Tiada rasa tanggungjawab sebagai anak atau pelajar.

- Lazimnya memilih keluar dari rumah dan sekolah untuk mencari ketenangan.

- Memerlukan sesuatu yang bole mendokong emosi mereka.

Disiarkan pada: November 2, 2019 @ 5:00am
d