WM

Amal pejuang kanser

Oleh Siti Nadirah Hafidzin

MENGENALI pasangan suami isteri berjiwa murni ini sungguh mengujakan, mana tidaknya, hampir kebanyakan masa dihabiskan dengan melawat pesakit kanser tanpa mengira usia dan bangsa di serata lokasi sejak tahun lalu. Satu persatu rumah diziarahi dengan harapan dapat bersama-sama berkongsi kesedihan dan kesakitan, pada masa sama cuba membawa sinar gembira bukan saja buat pesakit malah seluruh ahli keluarga mereka.

Apabila ditanya bagaimana tercetusnya idea untuk melakukan sesi ziarah, Zaki Yahya bersama isteri tercinta, Siti Aishah Ismail tersenyum sebelum memulakan bicara.

Siapa sangka, di sebalik keramahan dan keceriaan itu terselit coretan kisah dirinya sendiri dalam melawan kanser pangkal hidung tahap akhir sejak 2017.

Menurut Zaki, dia disahkan menghidap kanser pangkal hidung tahap empat ketika masih bertugas di Sarawak.

“Ketika itu saya tinggal di sana seorang diri disebabkan bekerja, saat disahkan menghidap kanser yang sudah sampai tahap akhir, semuanya seolah-olah gelap dan tiada ruang untuk bernafas. Tiada kata yang dapat membayangkan betapa luluhnya hati tatkala berdepan ujian sehebat ini.

“Saya kemudian terpaksa pulang ke sini dan tinggal bersama isteri dan anak di Selangor disebabkan faktor kesihatan tidak mengizinkan, akhirnya saya berhenti kerja. Keadaan diri sangat lemah dan ketika itu saya hanya mampu berbaring,” katanya.

Menurutnya, mujur ada isteri tercinta setia di sisi, yang bukan saja membantu malah berkongsi susah dan senang, suka duka dalam melawan setiap kesakitan.

“Ketika dalam keadaan nazak, tiada apa yang mampu saya lakukan selain memohon doa dan kekuatan daripada Yang Maha Esa.

“Syukur, rakan tidak henti datang ke rumah dan menziarah selain memberikan semangat untuk saya terus kuat. Ia membuka mata saya betapa pentingnya sokongan semangat daripada insan sekeliling di saat diri tidak sihat,” katanya.

Benar ajal adalah ketentuan Ilahi dan tiada siapa yang mampu menolaknya. Namun Zaki berkata, dia sangat bersyukur kerana keadaan kesihatan dirinya menunjukkan perubahan positif hari demi hari.

“Siapa sangka, daripada terlantar, saya kemudian sudah boleh duduk. Daripada duduk sedikit demi sedikit saya boleh berdiri dan berjalan semula menggunakan tongkat yang menunjukkan betapa besarnya kekuasaan Allah SWT.

“Semua ini umpama anugerah, saya diberikan peluang kedua untuk hidup yang membuatkan tekad untuk melakukan sesuatu bermakna terutama dalam membantu pesakit kanser seperti diri saya. Ia juga menjadi detik permulaan saya mula melakukan sesi ziarah sahabat kanser bersama isteri,” katanya.

ZIARAH SAHABAT KANSER

Zaki berkata, walaupun dalam keadaan kesihatan yang belum sihat sepenuhnya, dia yang dibantu isteri tercinta tetap meneruskan niat dihajati.

“Program ini tidak membabitkan sesiapa apatah lagi keuntungan, saya dan isteri hanya pergi ke rumah pesakit kanser yang diketahui tidak kira di mana saja. Kunjungan ini adalah untuk memberikan semangat juga sokongan kepada mereka.

“Saya tahu betapa kita perlukan semangat saat keadaan tidak sihat apatah lagi sekiranya disahkan mempunyai kanser, semangat itu yang cuba diberikan kepada sahabat yang senasib dengan saya,” katanya.

Katanya, dia juga sangat bersyukur kerana isteri turut bersemangat meneruskan program itu yang kini dinamakan Persatuan Ziarah Sahabat Kanser yang sudah didaftarkan, baru-baru ini.

“Dia (isteri) adalah pinjaman terindah daripada Yang Maha Esa kepada diri saya, kesabarannya dalam menjaga saya sepanjang tempoh sakit tidak dapat dibayangkan dan disebabkan itu, dia juga mahu bersama-sama memberi semangat kepada keluarga pesakit kanser supaya lebih sabar dan bijak ketika berdepan emosi pesakit yang tidak menentu.

“Kini, lebih 30 keluarga sudah kami ziarah yang semuanya adalah keluarga mempunyai pesakit kanser, dengan hanya memandu kereta sendiri ditemani isteri saya kuatkan semangat bersama-sama berkongsi kekuatan ini,” katanya.

Zaki berkata, apa yang paling utama adalah kekuatan kerana kanser tidak mempunyai ubat khusus.

“Saya tahu betapa peritnya ketika disahkan mempunyai kanser, saya juga tahu betapa sakitnya ketika menjalani kemoterapi juga emosi yang sangat tidak stabil. Kini saya sendiri belum bebas daripada kanser dan masih memerlukan pemantauan doktor setiap empat bulan.

“Apa yang saya tahu saya perlu kuat. Kuat untuk melawan kanser demi isteri, anak, cucu dan untuk sahabat kanser yang senasib,” ujarnya.

Sementara itu, Siti Aishah berkata, selagi hayat dikandung badan dia akan setia menemani suaminya terutama dalam meneruskan program ziarah itu.

“Saya mempunyai pengalaman sendiri menjaga pesakit kanser tahap akhir dan saya tahu bagaimana sukarnya untuk menangani emosi serta kerenah mereka. Pengalaman itula

h yang ingin saya kongsi bersama keluarga yang kami ziarah supaya lebih kuat dan cekal dalam berdepan dugaan ini.

“Anggaplah ujian ini sebagai tanda diri kita disayangi, paling utama seluruh ahli keluarga itu sendiri sebenarnya yang perlu kuat, kawal emosi sendiri kerana apabila disahkan menghidap apa juga penyakit, bukan saja individu itu yang terkesan malah ia turut mempengaruhi seluruh ahli keluarga,” katanya.

Katanya, dalam kesibukan bersama meneruskan misi itu, dia tetap menasihati suami tercinta supaya menjaga kesihatan diri.

“Walaupun daripada luaran dia (suami) nampak kuat, hakikatnya terlalu banyak kesan sampingan terutama daripada kesan kemoterapi yang dialaminya. Disebabkan itu, saya tidak akan membiarkan dia seorang diri, ke mana saja dia pergi, sedaya upaya saya akan turut serta.

“Saya berharap program yang kami jalankan ini mampu membawa kegembiraan kepada individu yang kami ziarah termasuk seisi ahli keluarga,” katanya.

Disiarkan pada: November 4, 2019 @ 5:30am
d