WM

Bentuk minda kreatif

Oleh Aida Adilah Mat

SEORANG kanak-kanak lelaki dihantar ke kelas melukis oleh ibu bapanya ketika berusia tujuh tahun. Ketika itu dia belum boleh membaca dengan baik.

Pada awal kehadirannya, dia dilihat seperti kurang keyakinan diri mungkin kerana sering diejek rakan disebabkan tidak boleh membaca dengan lancar dan mungkin atas faktor saiz badan yang agak besar.

Perubahan ketara dapat dilihat daripada tingkah laku kanak-kanak itu selepas dia berjaya memenangi beberapa pertandingan melukis dan mewarna di sekolah.

Itu antara kisah seorang pelajar yang menghadiri kelas melukis di bawah bimbingan Hafifah Sulaiman.

Hafifah berkata, beliau cuba mendekati pelajar itu ketika dia menyertai sesi pendidikan seni dan berbual mesra dengan pelajar itu.

“Ketika itu saya sudah mengajarnya hampir enam bulan. Dia menceritakan apa yang berlaku dan saya dapati dia mungkin menghadapi masalah kurang keyakinan diri kerana sering diejek oleh rakan.

“Saya mula mendorongnya untuk menyertai pertandingan mewarna atau melukis di sekolah. Saya juga sering meminta kanak-kanak ini mengajar rakan yang lain untuk mewarna dan melukis sebaik dia.

“Selepas itu saya menyedari perubahan tingkah laku, cara percakapan dan tahap keyakinannya mula berubah. Dia jauh lebih yakin, tidak sama ketika mula-mula memasuki kelas saya dulu.

“Pada awal menyertai kelas seni, dia seolah-olah mempunyai pemikiran negatif yang membuatkannya tidak mampu meluahkan idea bernas dan kreatif. Namun, apabila diberi dorongan yang betul, murid ini mula menunjukkan perubahan,” katanya.

Cerita Hafifah itu menunjukkan kelas melukis sebenarnya boleh membantu pembentukan pemikiran kreatif kanak-kanak biarpun belum ada kajian khusus seni lukis mampu merangsang tumbesaran kanak-kanak khususnya dari segi psikologi dan emosi.

“Secara fitrahnya, kanak-kanak memang suka malah ingin dihargai dan dipuji. Kanak-kanak mempunyai keinginan meneroka dan bereksperimen dengan perkara yang mereka tidak ketahui. Aktiviti atau pembelajaran seni adalah antara laluan kepada mereka untuk meluahkan perasaan dan emosi dalam bentuk karya.

“Penghasilan karya seni boleh menjadi platform untuk mereka menyampaikan sesuatu perkara secara tidak langsung dan boleh menjadi refleksi pemikiran seseorang.

“Bagi saya, banyak kelebihan yang mereka boleh peroleh sekiranya diterapkan pembelajaran seni kreatif.

“Kesan paling jelas apabila latihan seni yang diberikan mampu menguatkan otot jari dan koordinasi tangan (psikomotor). Pada masa sama ia juga boleh mempertingkatkan dan menajamkan penggunaan pancaindera serta deria melalui proses penghasilan seni,” katanya.

Katanya, ketika berada di kelas lukisannya, pelajar digalakkan berkomunikasi dengan guru mengenai pelbagai perkara dan ia akan membuat tahap keyakinan meningkat.

Kesannya, keyakinan diri untuk bercakap mahupun bertanya soalan bertambah baik. Di dalam kelas juga, kanak-kanak akan digalakkan untuk membuat tugasan seni secara berkumpulan.

Komunikasi di antara guru dan pelajar boleh meningkatkan kemahiran sosial mereka.

EMOSI MENERUSI WARNA

Warna boleh menggambarkan apa yang bermain di fikiran. Ia saling berkait terutama jika seorang kanak-kanak keletihan. Biarpun mereka tidak menceritakan hal sebenar namun ia boleh menterjemahkan emosi mereka.

Kata Hafifah, setiap kali pelajarnya melakarkan hasil seni, beliau akan meneliti cara mereka melukis dan warna yang digunakan.

“Melalui pengalaman saya mengajar pelajar yang kurang penggunaan psikomotor tangan atau dalam bahasa ringkasnya tidak mempunyai kemahiran melukis dan mewarna yang baik selalunya sering menggunakan warna terang seperti merah jambu terang, jingga terang dan juga kuning.

“Sekiranya tidak cukup tidur dan terlalu penat semasa menghadiri kelas seni, pelajar akan cenderung menggunakan warna pekat seperti merah, jingga dan hitam.

“Mereka juga menggenggam pensel dengan kuat dan seolah-olah mahu melepaskan geram pada pensil itu dan menekan pensel sehingga warna yang terhasil sangat pekat serta terang.

“Namun, sekiranya dalam emosi baik, mereka dapat duduk di kerusi dan melakukan aktiviti seni dengan baik dari segi pemilihan warna, cara melukis, mendengar arahan dan mampu berkomunikasi bersama guru serta rakan,” katanya.

GILAP SIKAP RAJIN

Tidak dinafikan, ramai yang beranggapan kepandaian melukis itu adalah anugerah semula jadi, namun sekiranya anugerah itu tidak digilap dengan latihan, ia akan pudar.

Bakat yang diperoleh dalam bidang seni sebenarnya perlu digilap dan diberi latihan sewajarnya.

Antaranya mereka perlu kerap melakukan latihan melalui kekerapan melukis atau mewarna.

“Melalui latihan melukis, garisan yang dihasilkan akan bertambah baik manakala latihan mewarna pula membolehkan mereka membuat pemilihan warna yang bersesuaian dan baik. Dari sini akan tampillah keselarasan dan keserasian warna dalam keseluruhan lukisan.

“Bagi saya, anugerah yang paling bernilai sekiranya ingin mendapatkan hasil seni yang baik adalah sikap rajin berlatih.

“Penghasilan karya seni yang baik bukanlah semata-mata lukisan dengan warna menarik, tetapi kreativiti dan idea yang membuatkan sesuatu lukisan menjadi karya yang bagus.

“Pengalaman hidup juga antara ciri penting dalam menghasilkan karya seni yang baik. Minat terhadap seni haruslah dipupuk sewaktu kecil supaya dapat melatih minda dan daya kreativiti mereka sebelum minat terhadap seni pudar apabila sudah dewasa kelak.”

Disiarkan pada: November 6, 2019 @ 5:00am
d