WM

Konsep mudah, pantas

Oleh Siti Nadirah Hafidzin

WANITA dan fesyen ibarat irama dan lagu yang tidak dapat dipisahkan. Tanyalah kepada mana-mana wanita, ramai yang obses untuk tampil cantik, namun dengan cara yang mudah.

Mana tidaknya, masa 24 jam sehari penuh dengan rutin harian padat sama ada di pejabat mahupun di rumah yang mewujudkan keterbatasan wanita meluangkan lebih masa terutama ketika bersiap.

Apabila menyentuh mengenai fesyen, selain mencari busana yang sepadan dan menawan, wanita khususnya yang bergelar ibu mahupun yang sentiasa sibuk dengan tugasan di pejabat sebenarnya ingin mengenakan hijab terkini dan sesuai serta manis dipandang.

Situasi itu menyebabkan ramai yang akhirnya terpaksa menyarung apa saja tudung yang mudah tanpa memikirkan ia sepadan dengan baju digayakan mahupun tidak.

Menyedari senario yang menjadi dilema kebanyakan wanita masa kini, terbaharu, Liyyan Couture tampil dengan koleksinya yang sangat mudah digayakan dan praktikal digayakan pada hari sibuk.

Pengasasnya Hayati Maharof berkata, dihasilkan daripada fabrik kapas lembut yang ternyata membuatkan si pemakai selesa, sekali gus memudahkan pergerakan harian terutama ketika cuaca panas.

“Lebih menarik, koleksi terbaharu itu didatangkan dalam pilihan tudung bercorak juga kosong mengikut cita rasa masing-masing.

“Kami membawakan konsep mudah dan pantas, namun tetap tampil anggun,” katanya selepas pelancaran cawangan terbaharu di Bangi Gateway.

Menurut Hayati, semua koleksi dihasilkan mengikut cita rasa wanita masa kini yang kebanyakannya mahukan tudung yang praktikal juga sesuai digayakan dalam pelbagai acara.

“Untuk harga, semua koleksi dijual dalam lingkungan RM45 hingga RM49 sehelai, namun pelanggan akan menikmati potongan harga kombo yang menjimatkan.

“Kami berharap dengan adanya koleksi tudung ini dapat membantu ramai wanita tanpa mengira usia tampil bergaya dengan mudah. Walaupun persaingan untuk tudung sangat sengit, saya yakin pelanggan tahu koleksi yang sesuai dan selesa untuk dijadikan pilihan,”

katanya.

Disiarkan pada: November 12, 2019 @ 5:00am
d