WM

Senaman di tempat terbuka [METROTV]

Oleh Siti Nadirah Hafidzin

TIDAK semua individu gemar bersenam di gimnasium atau pusat kecergasan kerana lebih sukakan suasana terbuka sambil menghirup udara segar sama ada di pusat rekreasi, taman permainan mahupun padang berhampiran rumah.

Bukan saja sesuai melakukan apa saja bentuk senaman, pada masa sama ia menjadi antara terapi minda dan emosi yang terbaik apabila berada di kawasan terbuka di samping menikmati pemandangan menarik.

Senaman di kawasan terbuka juga boleh dilakukan secara lebih santai tanpa perlu terlalu fokus untuk mengingati setiap langkah mengikut turutan yang tepat.

Apa yang penting adalah tetap bersenam atau sekurang-kurangnya berjalan cepat mengelilingi taman rekreasi kerana secara automatik, ia dapat mengeluarkan peluh dan membuatkan diri menjadi lebih sihat.

Berkongsi langkah senaman yang boleh dilakukan di tempat terbuka, jurulatih kecergasan bertauliah, Maze Md Zain berkata, semua jenis senaman sebenarnya boleh dilakukan di kawasan terbuka asalkan mempunyai alas senaman sekiranya memerlukan posisi duduk atau baring.

“Jangan terlalu terikat untuk bersenam di pusat kecergasan semata-mata kerana ramai yang akhirnya kecundang untuk melakukannya secara konsisten atas pelbagai faktor terutama kekangan masa.

“Disebabkan itu,saya lebih menggalakkan orang ramai untuk bersenam di tempat terbuka atau menyertai apa saja bentuk larian sekurang-kurangnya sekali atau dua kali dalam seminggu kerana ia lebih praktikal dan menyeronokkan. Paling utama adalah kekal sihat tidak kiralah bagaimana bentuk senaman yang dilakukan,” katanya.

Maze berkata, senaman dilakukan secara santai juga membolehkan seseorang itu mencapai apa yang diimpikan, asalkan ia dilakukan secara konsisten dan bersungguh-sungguh.

“Lebih menarik, ajak rakan atau ahli keluarga untuk bersenam bersama kerana selain menyihatkan, ia juga boleh menjadikan hubungan anda lebih akrab.

“Saya sendiri akan meluangkan masa hujung minggu bersenam di taman tasik atau pusat rekreasi bersama rakan dan ia menjadi antara terapi paling seronok bagi mengurangkan tekanan di tempat kerja,” katanya.

Maze berkongsi langkah demi langkah melakukan senaman khusus untuk mengecilkan paha dan perut yang boleh dilakukan secara santai.

LANGKAH DEMI LANGKAH

1. BERDIRI tegak sebelum kedua-dua belah kaki dibuka sedikit, lakukan regangan tangan kiri dan kanan.

2. SQUAD dan bertahan dalam kiraan enam.

3. DALAM posisi berdiri, angkat sebelah kaki ke atas dan bertahan, lakukan untuk kedua-dua belah kaki.

4. KEKAL dalam posisi sama, tolak sebelah kaki ke belakang.

5. LAKUKAN seperti posisi melutut, cuba bertahan selama mungkin.

6. DALAM posisi meniarap, angkat sedikit badan dan bertahan

menggunakan tangan.

7. MASIH mengekalkan posisi sama namun kedua belah tangan

dibuka sambil kedua kaki disilang ke atas.

8. AKHIRI senaman dengan berdiri tegak sambil kedua-dua belah kaki

dibuka untuk meredakan kepenatan.

Disiarkan pada: November 21, 2019 @ 5:10am
d