WM

Atasi masalah rahang

Oleh Siti Nadirah Hafidzin

KEDUDUKAN tulang rahang yang tidak seimbang bukan saja boleh menjejaskan wajah, malah menyebabkan kedudukan gigi tidak tersusun.

Pelbagai masalah boleh terjadi termasuk gigitan tidak kuat yang mengakibatkan kunyahan tidak sempurna, pertuturan tak jelas selain mengganggu emosi dan keyakinan diri.

Keadaan gigitan yang tidak seimbang itu biasanya tidak dapat disembuhkan dengan rawatan ortodontik (pendakap gigi) semata-mata kerana ia memerlukan pembedahan rahang. Kombinasi rawatan ini dikenali sebagai orthognatik.

Ini adalah pilihan rawatan lebih baik bagi individu mempunyai masalah rahang yang ketara kerana ia bukan rawatan kosmetik semata-mata sebaliknya mampu mengembalikan fungsi asasi seperti proses mengunyah dan pertuturan sekali gus membantu mengembalikan keyakinan diri.

Mengupas mengenai orthognatik, Ketua Pasukan Orthognatik Fakulti Pergigian, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Prof Madya Dr Noraini Abu Bakar berkata, antara keadaan yang memerlukan rawatan itu adalah rahang bawah yang besar dan mengakibatkan gigi bawah ke hadapan, gigi bahagian hadapan terbuka, gigi terlalu jongang dan tulang wajah atau rahang senget.

“Secara umumnya, rawatan ini membabitkan pemakaian pendakap gigi dan diikuti pembedahan rahang yang dirancang rapi. Bagi pembedahan, pesakit biasanya akan dimasukkan ke wad selama beberapa hari sebelum tarikh pembedahan.

“Tempoh rawatan juga bergantung kepada beberapa faktor termasuk kerjasama diberikan pesakit. Secara puratanya tempoh rawatan adalah dua tahun dengan kekerapan temujanji sebanyak enam minggu sekali,” katanya.

Menurutnya, rawatan itu bermula dengan proses pemeriksaan dan rundingan awal bagi mengenal pasti dengan tepat masalah yang dihadapi pesakit selain tujuan pesakit mendapatkan rawatan.

“Rekod yang diambil akan menjadi bahan rujukan pasukan ini untuk mendapatkan formula rawatan yang terbaik bagi setiap kes. Rekod ini termasuk data klinikal, acuan pergigian, gambar dalam mulut wajah, imbasan sinar-X, tulang muka dua dimensi (2D) dan kadang kala tiga dimensi (3D). Dari situ, barulah pilihan rawatan yang sesuai akan dicadangkan.

“Rawatan ini mungkin tidak sesuai bagi mereka yang mempunyai masalah kesihatan kronik termasuk masalah mental. Maklumat kesihatan perlu diberikan kepada pakar untuk dijadikan sebagai rujukan tertentu bagi memastikan status kesihatan sebelum rawatan dimulakan,” ujarnya.

Katanya, proses mengenal pasti serta mencari formula rawatan dan pembedahan terbaik adalah proses yang rumit, memerlukan kepakaran dan kemahiran tinggi berserta komunikasi yang baik antara pakar dengan pesakit.

“Ciri yang diberi perhatian dalam perbincangan ini antara lain akan menentukan sama ada rawatan ini benar-benar sesuai dan akan memberi hasil yang baik kepada pesakit.

“Pakar psikologi juga akan membuat saringan dan perundingan bagi memastikan tahap kesediaan pesakit untuk melalui rawatan ini. Sekiranya semuanya sudah dikenal pasti, pelan rawatan akan dimulakan dengan menentukan sama ada pembedahan rahang membabitkan satu rahang atau kedua-dua rahang,” katanya.

Dr Noraini berkata, ia bergantung kepada struktur wajah dan gigitan asal pesakit serta gigitan akhir yang diinginkan.

“Pergerakan gigi melalui pendakap gigi juga akan dikenal pasti dengan tepat sewaktu rundingan ini, sama ada terdapat gigi yang perlu dicabut, memerlukan rawatan gigi lain, koordinasi gigi antara dua rahang dan sekiranya pengembangan rahang diperlukan.

“Pakar bahagian pendakap gigi dan pakar bedah mulut perlu menitikberatkan semua aspek sebelum pelan utama rawatan dihasilkan dan dipersetujui bersama.

“Pelan rawatan ini turut mengambil kira kebaikan dan risiko yang mungkin dihadapi. Rawatan hanya akan dimulakan jika pesakit benar-benar bersedia dan bersetuju dengan pilihan rawatan ini,” ujarnya.

RISIKO

Dr Noraini turut menerangkan antara risiko yang mungkin dihadapi:

Risiko rawatan pendakap gigi adalah:

- Sakit, ketidakselesaan dan ulser pada mulut semasa rawatan

- Tompok putih atau coklat pada gigi termasuk gigi berlubang jika kebersihan gigi tidak dijaga rapi

- Masalah gusi bengkak jika kebersihan gigi tidak dijaga rapi

- Resorpsi akar gigi (akar gigi menjadi lebih pendek) akibat daya daripada pergerakan gigi

- Relaps atau gigi kembali kepada ciri kedudukan asal jika pemakaian alat pemegang gigi tidak mencukupi

Risiko pembedahan rahang:

- Pendarahan sewaktu pembedahan

- Jangkitan kuman

- Bengkak muka selama beberapa hari

- Kebas pada kawasan bibir

- Relaps rahang

Risiko pembedahan akan dikurangkan dengan perancangan dan penyediaan rapi.

Persediaan yang boleh dilakukan pesakit sebelum menerima rawatan ini adalah:

- Dapatkan maklumat yang tepat mengenai keadaan diri dan penerangan terbaik daripada pakar bertauliah. Jangan malu bertanya soalan berkaitan kepada pakar.

- Memahami proses rawatan orthognatik ini supaya anda bersemangat dan bersedia terutama dari segi mental.

- Memastikan kebersihan mulut terjaga rapi dan gigi yang memerlukan rawatan tampalan atau rawatan lain seperti pencucian karang gigi perlu dilakukan terlebih dulu (sekiranya perlu).

Perkara yang perlu dilakukan semasa tempoh mendapat rawatan adalah:

- Menjaga kesihatan badan dengan menyeluruh

- Menjaga kebersihan dan kesihatan gigi serta gusi dengan rapi

- Makan makanan yang lembut seperti sup, agar-agar dan bubur terutama selepas pembedahan. Makanan yang keras seperti kekacang, tulang ayam, kerepek dan jagung boleh merosakkan pendakap gigi dan melambatkan rawatan.

- Memenuhi temu janji seperti yang diberikan bagi melancarkan proses rawatan.

- Permainan sukan yang lasak adalah tidak digalakkan semasa rawatan berlangsung.

Tambah Dr Noraini, selepas pembedahan, ubat penahan sakit dan surut bengkak diberi mengikut pertimbangan pakar. Proses penyembuhan tulang mengambil masa paling kurang enam minggu dan dalam tempoh ini aktiviti lasak sama sekali tidak dibenarkan.

“Selepas rawatan selesai dan pendakap gigi sudah dibuka, alat pemegang gigi boleh tanggal akan diberikan. Tiada pantang larang dari segi pemakanan bagi fasa ini.

“Jangan bimbang kerana semua maklumat diterangkan kepada pesakit secara terperinci,” katanya.

Nasihatnya, dalam apa saja rawatan, perkara paling penting adalah mendapatkan nasihat pakar dan menjalani pemeriksaan rapi sebelum memberikan persetujuan. Perkara inilah yang diamalkan oleh pasukan perubatannya dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada pesakit.

Disiarkan pada: November 21, 2019 @ 5:20am
d