WM

Bukan sekadar butik vendor

Oleh Siti Zarinah Sahib

SASARAN mereka dalam perniagaan bukan untuk mendapat keuntungan semata-mata. Berpegang kepada konsep semakin banyak memberi, lebih banyak rezeki diperoleh, dua wanita ini cuba menjadikan butik mereka sebagai medium mempromosikan pelbagai cerita.

Bagi Raja Mariam Raja Hairudin dan Fathin Fathana Jamil, Cherita bukan sekadar butik vendor sebaliknya mereka ingin berkongsi dengan masyarakat mengenai program amal yang dijalankan.

“Saya percaya perniagaan bukan berdasarkan keuntungan saja sebaliknya berapa banyak yang sanggup diberi. Konsep pemasaran menggunakan ruang media masih baharu di Malaysia, namun inilah yang kami cuba sampaikan,” katanya.

Menjelaskan lebih lanjut, kata Mariam, idea menjadikan Cherita sebagai medium pemasaran tercetus selepas melihat di YouTube mengenai konsep majalah yang diamalkan pada sebuah butik di Amerika Syarikat.

Setiap satu jenama ada latar belakang yang cuba diketengahkan. Begitu juga konsep dan tema yang akan bertukar mengikut tempoh tertentu.

“Pada mulanya kami memilih tema pada setiap lapan minggu, namun ia terlalu singkat menyebabkan kami kesuntukan masa dan beralih kepada 12 minggu. Apa yang kami lakukan adalah menukar latar belakang kedai berdasarkan tema pada setiap bulan begitu juga dekorasi dan barangan,” katanya.

Setakat ini Cherita sudah mengetengahkan empat konsep yang unik dan tersendiri seperti Cherita Suri yang mengetengahkan vendor wanita, Cherita Cultural, Cherita Raya dan Cherita Fabulous.

“Cherita Cultural misalnya memaparkan budaya dan adat resam yang diperlihatkan menerusi permainan tradisional bersama anak Buku Jalanan Chow Kit (BJCK).

“Ia sesuatu yang cukup berharga apabila dapat bertemu pengasas BJCK, Cikgu Ayu yang menceritakan usahanya memberikan pendidikan kepada anak jalanan yang tiada sijil kelahiran dan kad pengenalan.

“Kami terharu melihat anak ini tersenyum ceria dapat berkongsi pengalaman mengenali budaya dan permainan tradisional yang mereka tidak pernah kenal sebelum ini, “ katanya.

Menurut Fathin pula, tidak semua organisasi yang mereka hampiri menyatakan kewangan sebagai keperluan utama. Sebaliknya ada yang hanya inginkan sentuhan dan belaian serta ruang berkongsi kasih sayang.

“Sebelum memberikan sumbangan menerusi acara yang dijalankan, kami akan bertanya terlebih dulu apa yang mereka inginkan. Misalnya kami pernah mengadakan pertemuan dengan pesakit kanser di hospital. Mereka tidak mahu duit sebaliknya kata-kata semangat, pelukan dan teman berkongsi cerita,” katanya.

JADI SAHABAT KARIB

Meninjau keseluruhan kedai di The Linc, Ampang ini, pandangan tertumpu pada dinding belakang yang berhias mural hasil kreativiti Art Batalion iaitu sekumpulan anak muda yang menjadikan bidang seni sebagai kerjaya utama.

Setakat ini terdapat 39 jenama yang mempromosikan barangan seperti pakaian, beg tangan, aksesori, pakaian kanak-kanak, barangan keperluan rumah dan pokok. Pendek kata semua produk yang ada di butik adalah barangan yang boleh dijual.

“Barang yang kami ketengahkan hampir keseluruhannya mempunyai elemen Malaysia. Oleh itu ramai khususnya pelancong menjadikannya sebagai cenderahati untuk dibawa pulang. Keunikan ini menyebabkan kami sanggup mendapatkan pengasas yang berada di kampung.

“Misalnya pembuat produk kraf Orang Asli, pencanting batik serta kolaborasi dengan pelarian yang menghasilkan kraf tangan adalah sesuatu yang sangat bernilai.

“Pada masa sama kami dapat membantu meningkatkan ekonomi mereka. Kami juga percaya setiap jenama mempunyai cerita tersendiri dan harus diketengahkan,” katanya.

Walaupun pernah dipersoalkan mengapa bersusah payah membuat acara sedangkan mereka mempunyai butik, Fathin berkata, peniaga juga perlu melakukan kerja amal kerana dari situ rangkaian perniagaan boleh berkembang.

“Apa yang kami lakukan adalah antara cara meningkatkan penjenamaan. Vendor hanya perlu meletakkan barangan mereka dan kami akan mempromosikan mengikut cara tersendiri. Setiap tiga bulan, sama ada jenama akan bertukar atau kekal bergantung kepada vendor,” kata Mariam yang dulunya perunding acara manakala Fathin membuka kedai sendiri di Bangsar.

Mereka dipertemukan kerana minat dalam perniagaan serta berkongsi cita rasa sama. Pada masa akan datang kedua-dua wanita ini merancang mengadakan acara mengenai kanser payudara dalam kalangan lelaki dan mencari rakan kongsi yang besar untuk membuka cawangan di dalam pusat beli-belah.

Disiarkan pada: November 25, 2019 @ 5:00am
d