WM

UPSR hanyalah permulaan

Oleh Siti Nadirah Hafidzin

‘PAK CIK dulu masa sekolah tak ada A, masa itu Penilaian Darjah Lima, keputusan pak cik 3B 2C, sebutir A pun pak cik tak ada, tapi bermula dari situ, pak cik tanam azam untuk berjaya. Pak cik yakin itu bukan pengakhiran tapi satu permulaan untuk melangkah lebih jauh dan cemerlang.

‘Alhamdulillah berkat usaha dan doa ibu bapa, pak cik kini bergelar Prof Ir Ts Dr Hj Pakharuddin Mohd Samin, Pengarah Program Kejuruteraan Aeronautik, Automatif dan Luar Pantai Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor,” demikian tulisan dicatatkan Dr Pakharuddin di Facebook milik isterinya sebaik keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) diumumkan minggu lalu.

Pelbagai reaksi ibu bapa dapat dilihat di media sosial sejak Khamis lalu, ada yang bersyukur, ada juga yang berbangga dengan keputusan cemerlang anak. Ada yang bersahaja dan menerimanya dengan positif, tidak kurang ada yang terlalu hampa dan kecewa dengan keputusan UPSR diperoleh si anak.

Dalam senario ini, ada segelintir ibu bapa yang dilihat terlalu berusaha mengejar berapa banyak bilangan ‘A’ sehingga menyebabkan anak tertekan terutama jika gagal mencapai kejayaan diimpikan.

Benar, semua ibu bapa tentu mengharapkan anak menunjukkan pencapaian cemerlang dalam setiap bidang diceburi terutama akademik, namun dalam keterujaan itu, ibu bapa perlu sedar peperiksaan yang dijalankan di sekolah bukanlah penentu atau menjadi pengukur sebenar kejayaan pada masa akan datang.

Masih terlalu panjang liku kehidupan yang perlu ditempuh, UPSR hanyalah permulaan dan ia bukanlah satu garis penamat sekiranya anak gagal mencapai kejayaan cemerlang.

Mengupas mengenai isu ini, kaunselor, Zumasni Rajikin berkata, berdasarkan pemerhatiannya didapati ramai ibu bapa masa kini terlalu berusaha keras memastikan anak mampu meraih sebanyak mungkin A dalam peperiksaan.

“Tidak dinafikan tiada ibu bapa yang mahukan anak mereka gagal dalam pelajaran, namun perlu berhati-hati dan jangan sesekali membuatkan anak anda tertekan demi mencapai impian anda.

“Ingat, UPSR adalah peperiksaan permulaan. Masih banyak lagi peperiksaan yang perlu mereka hadapi sebelum melangkau ke alam pekerjaan kelak. Oleh itu, berpada-pada dan jangan keterlaluan, perlu ingat mereka masih kanak-kanak dan terlalu muda untuk melalui tekanan,” katanya.

Menurutnya, dalam membimbing anak, ibu bapa sendiri perlu sanggup berkorban menemani mereka belajar. Ibu bapa juga perlu membantu anak membahagikan masa sebaik-baiknya, tetapi aspek paling penting adalah mengetahui kemampuan anak.

“Setiap anak berbeza, walaupun mereka adalah adik-beradik tetapi kemampuan setiap orang tidak sama. Setiap anak mempunyai kebijaksanaan dan kecenderungan berbeza juga.

“Disebabkan itu, jangan memaksa anak sehingga membuat mereka tertekan. Benar, tidak salah menghantar mereka ke kelas tambahan atau tuisyen selain mengatur waktu pembelajaran anak, namun perlu ada waktu berseronok seiring dengan usia mereka.

“Bayangkanlah mereka baru berusia 12 tahun dan usia itu sangat kritikal dalam menentukan keperibadian serta kecenderungan mereka kelak,” ujarnya.

Katanya, apabila keputusan sudah diperoleh terimalah dengan hati terbuka kerana itu adalah kemampuan anak anda.

“Mereka (anak) sudah berusaha sebaik mungkin, tidak mengapa jika tidak cemerlang kerana yang paling penting adalah usaha. Ibu bapa perlu menghargai usaha mereka untuk belajar. Tidak semestinya anak yang tidak mendapat banyak A dalam mata pelajaran ini tidak akan berjaya kelak.

“Selain itu jangan sesekali malu dengan apa saja keputusan anak anda walaupun sekiranya ada yang gagal, beri nasihat serta dorongan kepada mereka supaya lebih berusaha pada masa akan datang kerana ia sebenarnya lebih menaikkan semangat mereka untuk berjaya,” katanya.

TERIMA KELEBIHAN DAN KEKURANGAN ANAK

Bagi Rahmahwati Herman, 39, dia tidak memaksa anak sulungnya, Muhammad Aqhil Samsairil, 12, untuk belajar di luar kemampuan namun tidak pula memandang remeh soal pelajaran.

“Anak sulung saya baru saja mengambil keputusan UPSR minggu lalu dan mendapat 3A dan 3B. Sebagai ibu, saya sangat bersyukur dan berbangga dengan keputusan itu kerana tahu dia sudah berusaha sedaya mungkin.

“Bagi saya, pelajaran itu sememangnya sangat penting, tetapi saya tidak memaksa. Saya akui bersikap tegas terhadap anak untuk membentuk sahsiah diri mereka sendiri,” katanya.

Menurutnya, bagi disiplinkan anak, dia tidak pernah memasang televisyen pada waktu malam dan memastikan tiga anaknya menggunakan waktu itu untuk mengulang kaji pelajaran.

“Setiap Isnin hingga Jumaat dari jam 8 hingga 10 malam adalah waktu untuk anak ulang kaji pelajaran. Pada masa sama, saya juga tidak menonton televisyen pada waktu itu dan bersama-sama mereka membantu apa yang termampu.

“Selain itu, saya juga tidak berikan anak telefon pintar sendiri, jika ada tugasan sekolah yang memerlukan pencarian di Internet, saya akan bantu anak dan gunakan telefon pintar saya untuk menyiapkan tugasan itu,” katanya.

Namun dalam ketegasan, Rahmahwati berkata, dia tetap berusaha menyeimbangkan tekanan dan kepenatan dialami anak terutama ketika hujung minggu.

“Saya cuba penuhi permintaan mereka. Jika anak sulung mahu menonton siaran langsung bola sepak di stadium, saya akan cuba turuti dan bawa dia ke stadium bersama keluarga. Begitu juga jika anak mahu menonton wayang, kami akan pergi satu keluarga.

“Ini pendekatan yang saya gunakan. Kita sendiri tidak suka jika dipaksa, jadi mengapa mahu menggunakan pendekatan memaksa kepada anak? Paling utama saya tidak mahu anak belajar disebabkan terpaksa kerana saya mahu mereka lakukan semuanya itu ikhlas mengikut kehendak sendiri,” katanya.

Katanya, apabila keputusan UPSR diumumkan baru-baru ini, dia menerimanya dengan penuh kesyukuran kerana tahu anaknya sudah melakukan yang terbaik.

“Sebagai ibu saya mahukan yang terbaik kepada anak apatah lagi saya adalah ibu tunggal. Semua ini adalah untuk masa depan mereka juga bukanlah disebabkan saya mahu menunjuk-nunjuk atau berlumba dengan kenalan atau ahli saudara lain.

“Budaya berlumba mengejar A ini sangat tidak sihat. Saya selalu ingatkan anak supaya berusaha sebaik mungkin, berdoa dan selebihnya kita serahkan kepada Yang Maha Esa,” katanya.

Disiarkan pada: November 27, 2019 @ 5:20am
d