WM

Menyambung bulu mata

Oleh Siti Nadirah Hafidzin

JIKA diimbas perkembangan dunia kecantikan, bulu mata panjang menjadi pilihan ramai wanita terutama dalam kalangan selebriti tempatan mahupun antarabangsa.

Bulu mata yang panjang dan lentik bukan sahaja menjadi idaman, malah disifatkan pelengkap kecantikan serta menaikkan kejelitaan wajah.

Pelbagai cara digunakan untuk menambah seri dan gaya pada bulu mata, termasuk penggunaan maskara ekstra lentik atau bulu mata palsu yang mempunyai ukuran panjang maksimum selain ada yang dipelbagaikan dengan aksesori tambahan seperti bertatahkan kristal.

Malah dalam keterujaan mendapatkan bulu mata idaman, ada yang sanggup mengambil ubat atau serum tertentu untuk menjadikan bulu mata tumbuh lebih panjang, lebat dan hitam, selain kaedah terkini iaitu menjalani rawatan penyambungan bulu mata.

Penyambungan bulu mata antara kaedah terkini menjadi pilihan ramai wanita tanpa mengira usia, tidak kira remaja, golongan pertengahan sehinggakan yang berusia lingkungan 50-an ke atas, masih ada yang sanggup melakukannya semata-mata untuk tampil menawan kerana tidak perlu lagi memakai maskara selepas ini.

Selepas penyambungan, bulu mata akan kekal melentik dan panjang setiap masa. Namun yang lebih mengujakan adalah tidak lagi perlu memakai bulu mata palsu.

Namun dalam ketaasuban mengejar kecantikan, ramai yang tidak mengambil tahu hukum sebenar menjalani proses penyambungan itu selain apakah jenis bulu yang digunakan?

Apabila ditanya, ramai yang waswas sama ada penyambungan bulu mata itu boleh dilakukan atau sebaliknya.

Namun, ramai juga yang tetap berdegil dan mahu melakukannya untuk memiliki bulu mata impian.

Mengupas lanjut mengenai kaedah penyambungan bulu mata, perunding kecantikan Azliana Yusof berkata, sebagai pengamal kaedah rawatan kecantikan sejak lebih lima tahun lalu, dia terpanggil untuk memberi kesedaran kepada wanita Islam mengenai penyambungan bulu mata itu.

“Jelas hukumnya haram dilakukan untuk wanita Islam. Proses penyambungan itu dilakukan dengan melekatkan helaian bulu mata sintetik pada bulu mata asal yang mengambil masa kira-kira dua jam.

“Hasil sambungan itu menyebabkan bulu mata individu terbabit berubah serta-merta dan ia berkekalan sehinggalah anda berniat membuka sambungan semula tidak boleh dilakukan sendiri,” katanya.

Katanya, jumlah keseluruhan penggunaan bulu yang disambung berbeza mengikut jumlah asal bulu mata individu itu sendiri.

“Jenis bulu yang disambung juga mempunyai dua pilihan iaitu sintetik atau daripada rambut manusia.

“Proses biasanya dimulakan dengan khidmat nasihat, memeriksa bulu mata asli pelanggan dan kemudian boleh memilih jenis dan tahap kepanjangan bulu mengikut cita rasa sendiri. Bulu mata tambahan ini agak ringan, tapi penggunaan berlebihan boleh mengakibatkan mata nampak pelik dan bulu mata asli tidak dapat menampung beratnya,” katanya.

Menurutnya, kaedah itu boleh dilakukan wanita beragama lain, namun bukan kepada yang beragama Islam.

“Walaupun permintaan untuk kaedah penyambungan ini agak tinggi, saya tetap tidak melakukannya kerana bagi saya soal hukum tidak boleh dibuat main. Jika tetap mahu melebatkan bulu mata, mungkin boleh cuba menyapu serum khas, tetapi bukan dengan penyambungan kerana ia bersikap kekal.

“Namun, apa yang menyedihkan masih ramai pengusaha spa atau pusat kecantikan yang menawarkan kaedah ini termasuk kepada pelanggan beragama Islam. Walaupun ini adalah pilihan masing-masing, saya percaya ramai yang tidak tahu kaedah sebenar rawatan ini hingga menyebabkan mereka berani mencuba asalkan dapat apa yang dihajati,” katanya.

Selain itu, Azliana berkata, wanita yang bukan Islam yang mahu membuat sambungan bulu mata perlu mendapatkan pakar yang berpengalaman dan berlesen serta menitikberatkan soal kebersihan.

“Walaupun ia selamat,kesannya mungkin berbeza antara individu, pelekat yang digunakan untuk menyambung bulu ke bulu mata anda mengandungi bahan kimia dan kandungan bahan lain yang mungkin mendatangkan kesan sampingan.

“Antara risikonya adalah mata menjadi merah, mata kering, terasa terbakar, gatal-gatal, tidak selesa dan kesakitan, ruam, kemerahan atau keradangan pada mata atau kelopak mata selain bengkak,” katanya.

Menurutnya, tidak semua individu mengalami tindak balas negatif kerana ramai yang menjalani kaedah itu dengan selamat tanpa sebarang kesan sampingan.

TAASUB MAHU CANTIK

Seorang eksekutif yang pernah menjalani proses penyambungan bulu mata yang hanya mahu dikenali sebagai Amira, 25, berkata, dia melakukannya kaedah itu dua tahun lalu disebabkan mahu cantik.

“Ketika itu, saya masih menuntut di kolej dan jiwa muda membuatkan terdorong menjalani proses itu. Saya mula mendapat tahu mengenai kaedah ini melalui kenalan yang turut sama melakukannya.

“Disebabkan mempunyai bulu mata yang pendek dan tidak lentik, menjadikan saya tekad mendapatkan rawatan kecantikan itu tanpa memikirkan hukum serta kesan sampingan. Dalam masa tiga atau empat bulan saya perlu memeriksa bulu mata itu sama ada ia masih dalam keadaan baik atau tidak,” katanya.

Amira berkata, dia sangat gembira kerana wajahnya sangat berubah dan ramai memuji perubahan itu.

“Namun selepas setahun, saya mula tersedar apabila ditanya oleh tunang yang kini menjadi suami saya. Dia bertanya adakah bulu mata yang saya gunakan itu membuatkan wuduk yang diambil sah (kerana bulu mata asal ditutupi bulu mata sambungan) selain ia sudah mengubah ciptaan Allah SWT.

“Saya tersentak mendengar pertanyaannya. Bimbang juga solat dan amal ibadat selama ini tidak sah. Saya segera pergi ke pusat kecantikan terbabit untuk mencabut bulu mata sambungan itu. Syukur, tiada kesan sampingan selepas itu dan sehingga kini saya tidak lagi mendapatkan apa saja rawatan kecantikan yang mengubah ciptaan Yang Maha Esa,” ujarnya.

Sementara itu, penceramah bebas, Mohamed Hanafiah Abdul Malek berkata, biarpun rawatan kecantikan itu sudah beberapa tahun ditawarkan, ia seakan-akan menjadi trend baharu dalam kalangan wanita untuk memiliki bulu mata idaman yang lentik berbanding asal.

“Perbuatan itu haram dari segi hukum. Tidak kisah sama ada sambung rambut ke bulu mata atau menggunakan bulu lain.

“Ia boleh menjadi fitnah kerana mengubah ciptaan Allah SWT. Inikan pula mengubah kejadian dengan memanjangkan bulu mata asal kepada yang panjang diinginkan,” katanya.

Disiarkan pada: December 3, 2019 @ 5:10am
d