WM

Usah abai perkembangan EQ

Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

KEHIDUPAN dunia yang serba pantas hari ini seakan-akan perlumbaan bagi hampir semua orang. Malah kanak-kanak tidak terkecuali daripada perlumbaan untuk sentiasa berada di depan rakan sebaya mereka.

Dalam usaha ibu bapa mempersiapkan anak untuk bersaing, sering kali mereka mengetepikan perasaan, minat atau bakat anak kerana apa yang penting bagi kebanyakan ibu bapa adalah anak perlu cemerlang atau setidak-tidaknya pandai membaca dan mengira waima belum pun berusia tiga tahun.

Trend berlumba anak siapa paling pandai, paling cepat membaca mahupun berkebolehan amat membimbangkan. Hari ini, ramai ibu bapa yang terlalu awal ‘mengakademikkan’ sebelum ‘memanusiakan’ anak.

Ada yang memberikan anak mereka melihat video akademik seawal usia bayi dengan harapan anaknya akan cepat kenal ABC dan nombor. Tidak kurang yang berpendapat ‘anak aku kena pandai membaca dan mengira sebelum umur tujuh tahun!’.

Hakikatnya, pada umur 0 hingga enam tahun, anak anda sangat memerlukan perkembangan emosi dan kemahiran sosial (EQ). bahkan 90 peratus perkembangan EQ anak berlaku dalam tempoh usia ini.

Sepanjang tempoh ini, mereka sepatutnya dipupuk dengan sifat kasih sayang, belas kasihan, menghormati orang lain, disiplin, yakin diri, bersabar dan banyak lagi berbanding penekanan akademik semata-mata.

Tanpa EQ yang sihat, anak akan membesar dengan potensi mengalami masalah tekanan mental.

Menurut Pengasas Pusat Perkembangan Minda Kanak-Kanak KinderKaizen, Dr Putri Afzan Maria, jadual anak zaman kini begitu padat seperti orang bekerja bahkan mereka mungkin lebih sibuk daripada ibu bapa.

Katanya, rutin harian kanak-kanak bermula dari pagi hingga petang dalam persekolahan dan disambung tuisyen sebelah malam diikuti menyiapkan kerja rumah selepas itu.

Ini tidak termasuk kelas tambahan pada hujung minggu dan ini menimbulkan persoalan, bilakah anak ini bermain dan bila pula mereka hendak lepaskan tenaga di luar?

“Emosi adalah tunjang kepada kelangsungan hidup seseorang individu itu bermula dari peringkat kanak-kanak sehinggalah kepada menjadi seorang dewasa. Elemen ini sering diabaikan kebanyakan ibu bapa zaman ini.

“Mungkin sebab inilah, semakin hari semakin ramai anak yang ada isu berkaitan penyakit mental seperti tekanan, kemurungan mahupun kecelaruan keresahan,” katanya.

Dr Putri Afzan antara sembilan tokoh keibubapaan yang mengupas pelbagai topik bermula dari tempoh kehamilan sehingga usia remaja menerusi Forum Keibubapaan Malaysia 2019 anjuran Arba Foundation baru-baru ini.

Data 2017 daripada Kajian Morbiditi dan Kesihatan Kebangsaan (NHMS) menunjukkan remaja berusia 13 hingga 17 tahun di Malaysia menghadapi masalah tekanan mental yang kronik.

Seorang daripada lima dilaporkan menghadapi kemurungan (18.3 peratus), dua daripada lima menghadapi keresahan (39.7 peratus) dan seorang daripada 10 menghadapi tekanan (9.6 peratus).

Obsesi ibu bapa terhadap pendidikan anak mereka secara tidak langsung menafikan banyak perkara yang berkaitan dengan zaman kanak-kanak, termasuk bermain.

Walaupun ibu bapa hari ini mungkin berpelajaran tinggi dan boleh memberikan pendidikan terbaik untuk anak, mereka perlu memahami hidup bukan tertumpu pada pembelajaran akademik saja.

Perkembangan mental kognitif, mewakili hanya 10 peratus daripada perkembangan kanak-kanak dalam enam tahun pertama manakala hampir 90 peratus perkembangan kanak-kanak adalah melalui bermain yang semua komponen mental dan fizikal menyambung, berfungsi serta berkembang.

Menurut Dr Putri Afzan, pendidikan awal kanak-kanak seharusnya bermula dengan bermain kerana ia menjadi tunjang utama asas pembentukan insaniah sekali gus pelbagai kecemerlangan kecerdasan tersendiri yang dimiliki anak kita.

“Bermain adalah satu proses yang sangat semula jadi. Seorang anak yang melalui proses bermain berpeluang membina perkembangan fizikal, emosi, mental dan sosial secara seimbang.

“Kanak-kanak belajar lebih banyak semasa bermain dan membolehkan mereka meneroka dan menemui pengetahuan baru. Bermain membolehkan anak berinteraksi dengan orang lain dan persekitarannya selain membolehkan mereka melihat, menilai dan berfikir untuk diri sendiri sebelum membuat keputusan.

“Di atas semua ini, bermain memperluas dan mengembangkan kreativiti kanak-kanak dan menambah minat untuk belajar sekali gus menyediakan mereka ke alam persekolahan,” katanya.

Beliau berkata, pada usia kecil, kanak-kanak tidak perlu dipaksa belajar untuk cepat membaca atau cemerlang secara akademik. Usia enam tahun pertama adalah tempoh emosi kanak-kanak berkembang dan cara terbaik untuk memupuknya ialah dengan bermain.

Selain itu katanya, itu juga adalah tempoh EQ kanak-kanak paling berkembang dan jika mereka menerima rangsangan yang betul anak akan mempunyai EQ yang stabil. Keadaan ini akan membawa kepada perkembangan IQ yang baik.

Sekiranya EQ seorang kanak-kanak stabil pada ketika berumur tujuh tahun katanya, dia akan mendapat input pembelajaran yang mudah diterima di sekolah.

Dr Putri Afzan turut menasihati ibu bapa agar tak mudah panik sekiranya anak tidak maju seperti rakan sebaya mereka.

“Menjaga dan mengembangka

n kesejahteraan emosi anak lebih penting. Apabila emosi dan tingkah laku mereka stabil, pembangunan IQ akan datang dengan mudah,” katanya.

Disiarkan pada: December 4, 2019 @ 5:20am
d